Sunday, August 9, 2009

Solat Terawikh datang lagi...

Ramadhan muncul lagi. Baru-baru ini aku menerima satu mesej melalui kawan tentang apa pandangan aku tentang bilangan rakaat solat terawikh. Antara 20 dan 8, manakah pilihan aku.
Sudah pasti ini bukan isu baru untuk aku. Setiap tahun, bila muncul Ramadhan, akan muncullah soalan-soalan ini. Maka jawapan aku kepada yang bertanya melalui sms itu ialah:

a) Aku akan ikut imam sampai habis. Sekiranya imam buat 8 rakaat, maka 8 rakaatlah yang aku buat. Jikalau imam buat 20, 20 jugalah yang aku buat.

b) Jika aku menjadi imam, aku akan memilih melakukan 8 rakaat.
Apakah alasan aku untuk turut bersolat bersama imam sehingga habis tak kira berapa rakaatkah yang beliau lakukan. Ini adalah kerana Rasulullah SAW pernah berkata:
إن الرجل إذا صلى مع الإِمام حتى ينصرف حسب له قيام الليلة
“Sesungguhnya seorang lelaki apabila mendirikan solat bersama imam sehingga selesai, maka dikira baginya solat sepanjang malam.” (Sunan Abu Daud:1375, hadith ini dinilai sahih oleh Shaikh al-Albani di dalam Sahih Sunan Abu Daud).
Maka berdasarkan hadith inilah, aku membuat keputusan untuk mengikut imam sehingga habis tidak kira berapa rakaatkah solat terawikh yang beliau imami.
Dan apa pula alasan aku untuk lebih memberi keutamaan kepada 8 rakaat jika aku diberi peluang menjadi imam. Ini adalah berdasarkan hadith ‘Aisyah RA:
ما كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يزيد في رمضان ولا في غيره على إحدى عشرة ركعة
Maksudnya : “Sesungguhnya Nabi tidak pernah menambah (bilangan rakat solat malamnya) pada bulan ramadhan dan bulan lain-lain lebih dari 11 rakaat.” (HR Al-Bukhari : 2013, Muslim :736).
Akan tetapi pemilihan aku kepada 8 rakaat ini tidak pula menjadikan aku untuk memerangi mereka yang bersolat melebihi 11 rakaat (termasuk 3 witir). Ini kerana wujud hadith daripada Ibn ‘Umar RA yang berbunyi:
سأل رجل النبي صلى الله عليه وسلم وهو على المنبر: ما ترى في صلاة الليل؟ قال: (مثنى مثنى، فإذا خشي الصبح صلى واحدة، فأوترت له ما صلى)
Seorang lelaki datang kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, ketika itu baginda sedang berkhutbah. Lelaki itu bertanya: “Bagaimana cara solat malam?” Baginda menjawab: “Dua rakaat dua rakaat, maka apabila kamu bimbang waktu Subuh akan masuk, maka tutupilah solat-solat kamu itu dengan satu rakaat solat Witir.” (HR al-Bukhari: 473).
Maka, bagi aku tidaklah sepatutnya kita bergasak sesama Islam dalam isu rakaat terawikh ini. Oleh kerana ada dalil bagi kedua-dua pihak, maka tak ada apa perlu digaduhkan.

Cuma, kita selalu lupa dengan adab-adab di dalam solat terutamanya solat terawikh ini.
Apakah adab-adab yang dilupakan itu dan dipandang ringan. Ini adalah hasil pemerhatian aku:

1) Membaca al-Quran dengan laju. Sedangkan Allah SWT berfirman: Dan bacalah al-Qur’an dengan tartil (al-Muzammil 73:04).

2) Meninggalkan bacaan doa iftitah. Ini dapat dilihat apabila selepas mengangkat takbiratulihram, maka terus membaca surah al-Fatihah. Walaupun ia hanyalah sunat, kita hendaklah mencontohi bagaimana Rasulullah SAW bersolat.

3) Mengabaikan toma’ninah. Ini mungkin berlaku kerana mahu mengejar bilangan rakaat dan mahu cepat habis solat. Solat terawikh adalah solat istirehat, maka apa yang perlu untuk berlumba-lumba menamatkannya. Lakukan dengan tenang.

Abu Hurairah radhiallahu 'anh meriwayatkan bahawa pada satu ketika pernah seorang lelaki bersolat di dalam masjid sambil diperhatikan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Apabila lelaki itu selesai bersolat, baginda menyuruh dia bersolat semula dengan bersabda: “Kembalilah bersolat kerana sesungguhnya kamu masih belum bersolat.” Hal ini berulang sebanyak 3 kali sehingga akhirnya lelaki itu mengakui bahawa dia tidak tahu bagaimana lagi untuk membetulkan solatnya. Lalu Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengajar dia dengan bersabda: Apabila kamu berdiri untuk solat, bertakbirlah, kemudian baca daripada al-Qur’an apa yang memudahkan bagi kamu. Kemudian rukuklah sehingga kamu kekal tenang di dalamnya (thama’ninah), kemudian berdirilah semula sehingga kamu tegak di dalamnya, kemudian bersujudlah sehingga kamu kekal tenang di dalamnya (thama’ninah), kemudian duduklah sehingga kamu kekal tenang di dalamnya (thama’ninah) dan lakukanlah sedemikian bagi keseluruhan solat kamu.” (HR al-Bukhari:757).

Di dalam hadith yang lain pula disebutkan: “Sempurnakanlah rukuk dan sujud kerana sesungguhnya perumpamaan orang yang tidak menyempurnakan rukuknya dan sujudnya adalah seperti orang yang lapar, tidaklah dia makan kecuali satu atau dua biji kurma yang tidak mencukupkannya sama sekali (maksudnya – tidak mendapat apa-apa manfaat daripada solatnya).” (Musnad Abu Ya’la:7184. Di nilai sanadnya sebagai jayyid oleh Husain Salim Asad). 4) Tidak merapatkan dan meluruskan saf solat. Ini jelas kelihatan apabila masing-masing mementingkan kepentingan diri sendiri dan keselesaan diri di dalam solat jemaah. Sifat buruk ini membawa kepada pengabaian sunnah Rasulullah SAW di dalam hal saf solat jemaah ini. Bagaimana cara saf yang Nabi SAW ajar? Kata Nabi SAW: “Tegakkanlah shaff-shaff, sesungguhnya apabila kalian melaksanakannya, maka itu seperti shaf-shaf malaikat. Rapatkanlah bahu-bahu, tutuplah celah-celah, dan berlemah-lembutlah terhadap saudara kalian, serta jangan biarkan ada celah untuk syaithan. Barangsiapa menyambung shaff, Allah akan menyambung hubungan dengannya. Barangsiapa memutuskan shaff, maka Allah akan memutuskan hubungan dengannya” (HR. Ahmad, Abu Dawud, dan An-Nasa’i; serta dishahihkan Syaikh Al-Albani dalam Shahih Sunan Abi Dawud nombor 620 dan Shahih At-Targhib wat-Tarhib nombor 495).

No comments: