Wednesday, March 12, 2014

Empat Fasa Didikan Anak Mengikut Sunnah Rasulullah S.A.W Rasulullah S.A.W merupakan manusia mulia yang tinggi darjatnya disisi Allah Ta'ala. Beliau merupakan contoh teladan bagi orang-orang yang beriman. Oleh itu, kita diwajibkan mencontohi Rasulullah S.A.W dalam setiap perkara termasuklah dalam hal mendidik anak-anak. Sesungguhnya Rasulullah S.A.W telah memberi garis panduan dalam mendidik anak-anak. Terdapat empat fasa bagaimana mendidik anak-anak sebagaimana yang disarankan oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W. Fasa Pertama : Dari umur 0-6 tahun Pada fasa ini, ibubapa hendaklah memberikan kasih sayang kepada anak-anak dengan memanjakan mereka, bergurau senda dan bermain bersama-sama. Sekiranya anak-anak membuat salah, jangan sesekali dirotan atau dipukul. Fasa Kedua : Dari umur 7-14 tahun Pada fasa ini, Islam masih memberi penekanan dalam memberikan kasih sayang tapi perlulah disulami dengan ketegasan dalam memberi arahan, menekankan pada disiplin dan juga melatih mereka pada tangungjawab. Selain itu, pada fasa ini, anak-anak perlu didedahkan dengan didikan solat, puasa, dan ibadah-ibadah yang lain. Menurut hadith Abu Daud, “Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur sepuluh tahun dan asingkanlah tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan)". Menurut hadis tersebut, antara contoh sikap tegas yang boleh dilakukan oleh ibubapa adalah memukul anak-anak yang tidak solat sekiranya telah mencapai umur 10 tahun. Namun terdapat beberapa syarat yang harus dipatuhi dalam hal merotan anak-anak. Antaranya : 1. Anak mengerti mengapa dia dirotan. 2. Orang yang memukul/merotan adalah walinya contoh ayahnya. 3. Tidak boleh memukul secara berlebihan sehingga memudaratkan. 4. Kesalahan yang dilakukan memang patut mendapat hukuman. 5. Memukul/merotan dengan niat mendidik, bukannya untuk melepaskan marah. Fasa Ketiga : Dari umur 15-21 tahun Pada fasa ini, ibubapa seeloknya mendekati anak-anak dengan BERKAWAN dengan mereka. Banyakkan berborak dan berbincang dengan mereka tentang perkara yang mereka hadapi. Bagi anak remaja perempuan, berkongsilah dengan mereka tentang kisah kedatangan ‘haid’ mereka dan perasaan mereka ketika itu. Jadilah pendengar yang setia kepada mereka dan menghormati pandangan dan pendapat mereka selagi tidak bersalahan dengan syariat Islam. Sekiranya tidak bersetuju dengan sebarang tindakan mereka, elakkan mengherdik atau memarahi mereka terutama dihadapan adik-beradik yang lain tetapi banyakkan pendekatan secara diplomasi walaupun kita adalah ibubapa mereka. Ini kerana fasa ini adalah fasa remaja dimana anak-anak kita mudah memberontak. Fasa Keempat : Dari umur 21 keatas Pada fasa ini, anak-anak hendaklah diberikan kebebasan dalam membuat keputusan, dan memberikan sepenuh kepercayaan pada setiap keputusan yang anak-anak buat. Namun, ibubapa perlulah memantau dan memberikan nasihat diiringi dengan doa semoga sehala keputusan yang mereka amibil adalah betul dan mengikut landasan Islam yang sebenarnya