Tuesday, June 7, 2016

Ramadhan 1437H datang lagi....

AsSalmualaikum Didoakan kita diberi kekuatan untuk memenuhi tuntutan ramadhan yang datang lagi menjengah 1437H.Antara tuntutan yang wajib bagi kita orang mukmi ialah mempertingkatkan hubungan kita dengan Al-Quran. Sewajibnya kita bukan sekadar muamalah bahkan kena mua'syarah serta mua'yasah.Hidup bersama Al-Quran bermaksud bukan sekadar membaca tetapi memahami dan mengambil Al-Quran sebagai panduan dala urusan hidup kita. Namun sayangnya Ramadhan saban tahun yang datang menjengah baki umur kita hanya tinggal sekadar bacaan yang direbutkan pahalanya....Makin banyak Ramadhan yang kita dipertemukan semakin sedikit orang Islam yang mengambil kandungan yang terdapat dalam 'manual pengguna' bagi manusia ini yang namanya AL-QURAN....ura

Wednesday, March 12, 2014

Empat Fasa Didikan Anak Mengikut Sunnah Rasulullah S.A.W Rasulullah S.A.W merupakan manusia mulia yang tinggi darjatnya disisi Allah Ta'ala. Beliau merupakan contoh teladan bagi orang-orang yang beriman. Oleh itu, kita diwajibkan mencontohi Rasulullah S.A.W dalam setiap perkara termasuklah dalam hal mendidik anak-anak. Sesungguhnya Rasulullah S.A.W telah memberi garis panduan dalam mendidik anak-anak. Terdapat empat fasa bagaimana mendidik anak-anak sebagaimana yang disarankan oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W. Fasa Pertama : Dari umur 0-6 tahun Pada fasa ini, ibubapa hendaklah memberikan kasih sayang kepada anak-anak dengan memanjakan mereka, bergurau senda dan bermain bersama-sama. Sekiranya anak-anak membuat salah, jangan sesekali dirotan atau dipukul. Fasa Kedua : Dari umur 7-14 tahun Pada fasa ini, Islam masih memberi penekanan dalam memberikan kasih sayang tapi perlulah disulami dengan ketegasan dalam memberi arahan, menekankan pada disiplin dan juga melatih mereka pada tangungjawab. Selain itu, pada fasa ini, anak-anak perlu didedahkan dengan didikan solat, puasa, dan ibadah-ibadah yang lain. Menurut hadith Abu Daud, “Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur sepuluh tahun dan asingkanlah tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan)". Menurut hadis tersebut, antara contoh sikap tegas yang boleh dilakukan oleh ibubapa adalah memukul anak-anak yang tidak solat sekiranya telah mencapai umur 10 tahun. Namun terdapat beberapa syarat yang harus dipatuhi dalam hal merotan anak-anak. Antaranya : 1. Anak mengerti mengapa dia dirotan. 2. Orang yang memukul/merotan adalah walinya contoh ayahnya. 3. Tidak boleh memukul secara berlebihan sehingga memudaratkan. 4. Kesalahan yang dilakukan memang patut mendapat hukuman. 5. Memukul/merotan dengan niat mendidik, bukannya untuk melepaskan marah. Fasa Ketiga : Dari umur 15-21 tahun Pada fasa ini, ibubapa seeloknya mendekati anak-anak dengan BERKAWAN dengan mereka. Banyakkan berborak dan berbincang dengan mereka tentang perkara yang mereka hadapi. Bagi anak remaja perempuan, berkongsilah dengan mereka tentang kisah kedatangan ‘haid’ mereka dan perasaan mereka ketika itu. Jadilah pendengar yang setia kepada mereka dan menghormati pandangan dan pendapat mereka selagi tidak bersalahan dengan syariat Islam. Sekiranya tidak bersetuju dengan sebarang tindakan mereka, elakkan mengherdik atau memarahi mereka terutama dihadapan adik-beradik yang lain tetapi banyakkan pendekatan secara diplomasi walaupun kita adalah ibubapa mereka. Ini kerana fasa ini adalah fasa remaja dimana anak-anak kita mudah memberontak. Fasa Keempat : Dari umur 21 keatas Pada fasa ini, anak-anak hendaklah diberikan kebebasan dalam membuat keputusan, dan memberikan sepenuh kepercayaan pada setiap keputusan yang anak-anak buat. Namun, ibubapa perlulah memantau dan memberikan nasihat diiringi dengan doa semoga sehala keputusan yang mereka amibil adalah betul dan mengikut landasan Islam yang sebenarnya

Wednesday, September 4, 2013

MUNGKIN BUKAN KERANA ILMU…

Jika pertikaian itu hanya kerana ilmu, insyaAllah tidak akan ada tuduh menuduh, laknat melaknat, bahkan hingga ke tahap mempertikaikan keislaman seseorang. Ulama-ulama silam pun banyak berbeza pendapat, bukan hanya dalam soal-soal ranting tetapi menyentuh juga soal pokok… namun, hampir tidak ada kedengaran tuduh menuduh, caci mencaci, sindir menyindir, bahkan kafir mengkafir, seperti yang kita lihat sekarang. Namun, berbeza dengan ilmuan masakini – kekadang ada yang jadi begitu berani menuduh tanpa bertemu empat matapun untuk mendapat apa maksud sebenar tentang kata-kata, pandangan atau pendapat yang diperselisihkan. x Jika benar semuanya kerana ilmu hadapilah secara ilmiah dan berakhlak, Jangan dicampur adukan dengan kepentingan komersial, dendam peribadi dan hasad dengki. Kesihanilah masyarakat yang umumnya masih rendah tahap ilmunya (malah masih tidak terkawal emosinya) – jangan sampai gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah atau terlebih sudu daripada kuahnya. Ada pihak yang menegur pihak lain… yang dakwanya tidak beradab, tetapi ironinya nada tegurannya itupun sudah tidak beradab. Ada yang mendakwa ingin menjunjung akhlak Islamiah, tetapi ironinya kepentingan akhlak itu telah dibela dengan cara yang tidak berakhlak. Masyarakat tiba-tiba tertusuk oleh satu persoalan, apakah semua ini kerana perbezaan ilmu atau hanya kerana kepentingan diri dan puak? Perjuangan menegakkan Islam dalam diri dan masyarakat sewajarnya mengambil bukan sahaja ‘apa’ yang dibawa oleh Rasulullah SAW tetapi juga ‘bagaimana’ baginda memperjuangkannya. Kata Imam Malik:” Jahiliyah yang ke dua tidak akan dapat diatasi melainkan mengikut kaedah menangani jahilyah yang pertama.” Tetib perjuangan Rasululllah SAW. mestilah diikuti langkah demi langkah berdasarkan awlawiyat (keutamaan) dan waqi’ (realiti) semasa umat kini yang dari segi prinsipnya sama juga seperti yang pernah dihadapi oleh baginda. Imam Ghazali berpesan:“Jangan membawa masyarakat awam kepada perbahasan-perbahasan yang sukar difahami. Tetapi cukuplah ajarkan mereka ilmu tentang tatacara ibadah dan sikap amanah dalam bekerja. Penuhi hati mereka dengan sikap takutkan neraka dan mengharapkan syurga seperti yang diperintahkan dalam al Quran.” Musuh perkara yang lebih penting ialah perkara yang penting. Justeru, kecenderungan suatu pihak mengocak ‘keharmonian’ ilmu dan amalan dengan persoalan-persolan khilafiah dan kemudian disanggah oleh pihak lain secara lebih aggresif, sesungguhnya tidak banyak menyumbang dalam usaha dakwah dan mendidik umat. Berbeza dalam menilai kedudukan hadis, berbeza pula dalam mentafsirnya; begitu juga perbezaan ketika mentafsir fakta yang didakwa bersifat hakiki manakala pihak lain mengatakan itu bersifat majazi, sesungguhnya telah menimbulkan ‘keserabutan’ yang bukan sedikit dikalangan orang awam yang sepatutnya didedahkan kepada input yang lebih utama! Menyambung perbahasan silam yang sudah terhenti pada titik ‘kita bersetuju untuk tidak bersetuju’ bukanlah tindakan yang bijaksana. Jika ulama-ulama silam ‘berperang’ dengan ilmu dan hujah, namun masih dalam kerangka adab dan akhlak tetapi kini berbeza sekali. Kelihatan seolah-olah medan ilmu ini telah dicemari oleh kata-kata, tulisan-tulisan, yang menyinggung pihak lain secara langsung atau sindiran. Ironinya, apabila kita terjebak membela kebenaran tetapi bukan dengan cara yang benar! Satu kesalahan tidak mewajarkan kita melakukan kesalahan kedua yang kononnya untuk menegur kesalahan sebelumnya. Jangan hanya menilai apa yang kita sampaikan itu benar, tetapi nilailah juga apakah kaedah, ketika (‘timing’) dan sasarannya benar. Jangan sampai umat ini terpinga-pinga dengan lambakan hujah yang bertentangan, tetapi semuanya didakwa dari kitab muktabar dan bersumberkan ulama-ulama yang berotoriti. Akibatnya umat ini akan menjadi seperti semut yang diajak membandingkan mana lebih terang antara bulan dan matahari… Perbezaan tidak lagi diterima sebagai satu hakikat yang bukan sahaja mesti diterima keyataannya tetapi mestilah diraikan dan dimanfaatkan dengan cara yang bijaksana dan beradab. Penyakit orang berilmu ialah hasad. Justeru, umat mengharapkan para ulama membina satu kematangan baru dalam menguruskan perbezaan, agar setiap perbezaan tidak dianggap satu pertentangan. Tidak ada jaguh mutlak dalam perjuangan Islam selepas Rasulullah SAW justeru setiap individu dan kumpulan, tidak punya ‘kekebalan’ daripada godaan nafsu dan syaitan. Tertib perjuangan Baginda bermula dengan turunnya wahyu-wahyu di peringkat Makiyyah yang menekankan soal tauhid (keimanan). Dua kaedah perjuangan yang dilaksanakan oleh Baginda Rasul di peringkat ini ialah berdakwah (menyeru) dan mentarbiah (mendidik). Bagi yang masih belum menerima Islam, Rasululah melancarkan operasi dakwah. Umat Arab diajak berfikir tentang alam yang pasti ada yang menjadikannya itu (Allah). Kemudian di¬terangkan prinsip Tauhid, keimanan kepada Allah, kehidupan Hari Akhirat, syurga dan neraka. Rasulullah fokus kepada soal “akar” dalam diri manusia. Lampu hati yang ter¬putus daripada “cahaya” hidayah oleh pintasan syirik dinyalakan semula. Hasilnya, hati yang gelap itu menjadi bercahaya semula walaupun keadaan luaran (masyarakat jahiliah) masih gelap-gelita. Bagi mereka yang sudah menerima Islam pula, Rasulullah s.a.w. terus mendidik agar keimanan mereka terus mantap dan tahan uji. Jika sebelumnya iman itu diterima dengan akal, maka di peringkat didikan iman itu dimantapkan ke dalam jiwa. Dua langkah itu (dakwah dan tarbiah) dilakukan secara lemah lembut dan konsisten ini melahirkan generasi sahabat yang sungguh cintakan Allah, yakin pada hari akhirat dan mengasihi sesama saudara seperti mengasihi diri mereka sendiri. Pada waktu itu, walau sebesar dan sekejam mana pun pertentangan, Rasulullah s.a.w. tidak membalasnya. Bukan kerana takut, bukan kerana lemah, justeru apa kurangnya keberanian Nabi Muhammad berbanding Nabi Ibrahim yang sanggup menentang Namrud? Tetapi Nabi Muhammad berpegang kepada kitaran proses membangunkan ummah berdasarkan “kaedah” yang telah di¬tentukan Allah. Tempoh berdakwah dan mendidik tidak boleh “terkacau” oleh agenda pertumpahan darah atau perkara-perkara yang bersiaf pinggiran. Justeru dalam dakwah dan didikan mesejnya tidak lain melainkah keindahan, keamanan dan kasih sayang – antara Allah dengan manusia (habluminallah) dan antara manusia sesama manusia (habluminannas)! Setelah 13 tahun dididik dengan keyakinan yang men¬dalam terhadap perkara-perkara ghaib itu, Rasulullah s.a.w. berhijrah, satu tindakan “pengunduran” untuk me¬ngambil lajak buat melonjak lebih jauh dan tinggi. Bermula dengan persaudaraan sesama sahabat yang mula-mula beriman di Makkah, kemudian antara suku Aus dan Khazraj di Madinah. Dan pada ketika itu ke¬kuatan iman dan ukhwah pun berpadu dan para sahabat telah bersedia untuk menerima perintah Allah yang seterusnya. Dengan itu bermulalah tahap kedua dalam perjuangan Rasulullah dengan turunnya ayat Quran yang menuntut dilaksanakan peraturan Allah sebagai satu cara hidup yang lengkap. Menerusi surah-surah Madaniyah Allah menjelaskan falsafah dan pelaksanaan sistem hidup Islam yang syumul. Walaupun begitu ini tidak bererti persoalan iman (tauhid) mula “didormankan” apalagi di-pinggirkan. Sebaliknya, kekuatan iman terus dimantapkan sebagai satu “on going process” dalam kesemarakan pem¬bangunan material dan fizikal. Semoga jalan dakwah, tarbiah dan tertib perjuangan ini terus akan dihiasi oleh sikap lapang dada, menegur secara beradab dan berhujah secara berakhlak. Sama ada yang disentuh soal pokok atau ranting, furiiyah mahupun akidah, yang ditegur dan menegur… wajib menjunjung prinsip adab dan akhlak Islamiah. Inilah hak yang mesti diberikan kepada sesiapa sahaja yang masih bersyahadah dan mengaku Islam… Tolong pastikan segala perberbezaan ini adalah kerana ilmu bukan kerana nafsu

Monday, May 6, 2013

Kemudi 'HATI' kita....

Ketenangan itu dicapai melalui zikrullah. Namun zikrullah yang bagaimana dapat memberi kesan dan impak kepada hati? Ramai yang berzikir tetapi tidak tenang. Ada orang berkata, “ketika saya dihimpit hutang, jatuh sakit, dicerca dan difitnah, saya pun berzikir. Saya ucapkan subhanallah, alhamdulillah, Allah hu Akbar beratus-ratus malah beribu-ribu kali tetapi mengapa hati tidak tenang juga?” Zikrullah hakikatnya bukan sekadar menyebut atau menuturkan kalimah. Ada bezanya antara berzikir dengan “membaca” kalimah zikir. Zikir yang berkesan melibatkan tiga dimensi – dimensi lidah (qauli), hati (qalbi) dan perlakuan (fikli). Mari kita lihat lebih dekat bagaimana ketiga-tiga dimensi zikir ini diaplikasikan. Katalah lidah kita mengucapkan subhanallah – ertinya Maha Suci Allah. Itu zikir qauli. Namun, pada masa yang sama hati hendaklah merasakan Allah itu Maha Suci pada zat, sifat dan af’al (perbuatannya). Segala ilmu yang kita miliki tentang kesucian Allah hendaklah dirasai bukan hanya diketahui. Allah itu misalnya, suci daripada sifat-sifat kotor seperti dendam, khianat, prasangka dan sebagainya. • Dimensi kata, rasa dan tindakan Jika seorang hamba yang berdosa bertaubat kepada-Nya, Allah bukan sahaja mengampunkannya, malah menghapuskan catatan dosa itu, bahkan menyayangi dan memberi “hadiah” kepadanya. Firman Allah: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai…”At Tahrim 8 Firman Allah lagi: “… Sungguh, Allah menyukai orang yang taubat dan menyukai orang yang menyucikan diri” al baqarah 222. Sifat ini berbeza sekali dengan kita manusia yang kekadang begitu sukar memaafkan kesalahan orang lain. Dan segelintir yang mampu memaafkan pula begitu sukar melupakan – forgive yes, forget not! Hendak memberi hadiah kepada orang yang bersalah mencaci, memfitnah dan menghina kina? Ah, jauh panggang daripada api! Begitulah kotornya hati kita yang sentiasa diselubungi dendam, prasangka dan sukar memaafkan. Tidak seperti Allah yang begitu suci, lunak dan pemaaf. Jadi, apabila kita bertasbih, rasa-rasa inilah yang harus diresapkan ke dalam hati. Ini zikir qalbi namanya. Tidak cukup di tahap itu, zikrullah perlu dipertingkatkan lagi ke dimensi ketiga. Hendaklah orang yang bertasbih itu memastikan perlakuannya benar-benar menyucikan Allah. Ertinya, dia melakukan perkara yang selaras dengan suruhan Allah yang Maha Suci dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya. Yang halal, wajib, harus dan sunat dibuat. Manakala yang haram dan makruh ditinggalkannya. Zina, mengumpat, mencuri, memfitnah dan lain-lain dosa yang keji dan kotor dijauhi. Bila ini dapat dilakukan kita telah tiba di dimensi ketiga zikrullah – zikir fikli! Sekiranya ketiga-tiga dimensi zikrullah itu dapat dilakukan, maka kesannya sangat mendalam kepada hati. Sekurang-kurang hati akan dapat merasakan empat perkara: • Rasa kehambaan. • Rasa bertuhan. • Memahami maksud takdir. • Mendapat hikmah di sebalik ujian. Hati adalah sumber dari segala-galanya dalam hidup kita, agar kehidupan kita baik dan benar, maka kita perlu menjaga kebersihan hati kita. Jangan sampai hati kita kotori dengan hal-hal yang dapat merosak kehidupan kita apalagi sampai merosak kebahagiaan hidup kita di dunia ini dan di akhirat nanti. Untuk menjaga kebersihan hati maka kita juga perlu untuk menjaga penglihatan, pendengaran, fikiran, ucapan kita dari hal-hal yang dilarang oleh Allah SWT. Dengan menjaga hal-hal tersebut kita dapat menjaga kebersihan hati kita. Dengan hati yang bersih kita gapai kebahagiaan dunia dan akhirat. • Rasa kehambaan. Rasa kehambaan ialah rasa yang perlu ada di dalam hati seorang hamba Allah terhadap Tuhan-Nya. Antara rasa itu ialah rasa miskin, jahil, lemah, bersalah, hina dan lain-lain lagi. Bila diuji dengan kesakitan, kemiskinan, cercaan misalnya, seorang yang memiliki rasa kehambaan nampak segala-galanya itu datang daripada Allah. Firman Allah: “Katakanlah (Muhammad), tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung kami, dan hanya kepada Allah bertawakal orang-orang yang beriman.” At Taubah: 51 Seorang hamba akan pasrah dan merasakan bahawa dia wajar diuji. Bukankah dia seorang hamba? Dia akur dengan apa yang berlaku dan tidak mempersoalkan mengapa aku yang diuji? Kenapa aku, bukan orang lain? Ini samalah dengan mempersoalkan Allah yang mendatangkan ujian itu. Menerima hakikat bahawa kita layak diuji akan menyebabkan hati menjadi tenang. Jika kita “memberontak” hati akan bertambah kacau. Imam Ghazali rhm pernah menyatakan bahawa cukuplah seseorang hamba dikatakan sudah “memberontak” kepada Tuhannya apabila dia menukar kebiasaan-kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya. Misalnya, dia tidak lalu mahu makan-minum secara teratur, tidak mandi, tidak menyisir rambut, tidak berpakaian kemas, tidak mengemaskan misai dan janggut dan lain-lain yang menjadi selalunya menjadi rutin hidupnya. Ungkapan mandi tak basah, tidur tak lena, makan tak kenyang adalah satu “demonstrasi” seorang yang sudah tercabut rasa kehambaannya apabila diuji. Bila ditimpa ujian kita diajar untuk mengucapkan kalimah istirja’ – innalillah wa inna ilaihi rajiun. Firman Allah: “…Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-nyalah kami kembali.” Al baqarah 156 Mengapa kita diperintahkan mengucapkan istirja’? Kalimah ini sebenarnya mengingatkan kita agar kembali merasakan rasa kehambaan. Bahawa kita adalah hamba milik Allah dan kepada-Nya kita akan dikembalikan. Kita layak, patut dan mesti diuji kerana kita hamba, bukan tuan apalagi Tuhan dalam hidup ini. • Rasa bertuhan. Rasa kehambaan yang serba lemah, miskin, kurang dan jahil itu mesti diimbangi oleh rasa bertuhan. Bila kita rasa lemah timbul pergantungan kepada yang Maha kuat. Bila kita rasa kurang timbul pengharapan kepada yang Maha sempurna. Bila miskin, timbul rasa hendak meminta kepada yang Maha kaya. Rasa pengharapan, pengaduan dan permintaan hasil menghayati sifat-sifat Allah yang Maha sempurna itulah yang dikatakan rasa bertuhan. Jika rasa kehambaan menyebabkan kita takut, hina, lemah sebaliknya rasa bertuhan akan menimbulkan rasa berani, mulia dan kuat. Seorang hamba yang paling kuat di kalangan manusia ialah dia yang merasa lemah di sisi Allah. Ketika itu ujian walau bagaimana berat sekalipun akan mampu dihadapi kerana merasakan Allah akan membantunya. Inilah rasa yang dialami oleh Rasulullah SAW yang menenteramkan kebimbangan Sayidina Abu Bakar ketika bersembunyi di gua Thaur dengan katanya, “la tahzan innallaha maana – jangan takut, sesungguhnya Allah bersama kita!” Rasa bertuhan inilah yang menyebabkan para nabi dan Rasul, mujaddid dan mujtahid, para mujahid dan murabbi sanggup berdepan kekuatan majoriti masyarakat yang menentang mereka mahupun kezaliman pemerintah yang mempunyai kuasa. Tidak ada istilah kecewa dan putus asa dalam kamus hidup mereka. Doa adalah senjata mereka manakala solat dan sabar menjadi wasilah mendapat pertolongan Allah. Firman Allah: “Dan pohonlah pertolongan dengan sabar dan solat.” Al Baqarah. Dalam apa jua keadaan, positif mahupun negatif, miskin ataupun kaya, berkuasa ataupun rakyat biasa, tidak dikenali ataupun popular, hati mereka tetap tenang. Firman Allah: “Dialah Tuhan yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah daripada keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentang langit dan bumi, dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana.” Al Fathu 4. Bila hati tenang berlakulah keadaan yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya: Maksudnya: Amat menarik hati keadaan orang beriman, semua pekerjaannya baik belaka, dan itu ada hanya pada orang beriman: Jika memperoleh kesenangan, dia bersyukur. Dan itu memberikannya kebaikan (pahala). Jika ditimpa bahaya (kesusahan), dia sabar dan itu juga memberikannya kebaikan.” – Al Hadis. • Memahami maksud takdir Allah. Mana mungkin kita mengelakkan daripada diuji kerana itu adalah takdir Allah SWT. Yang mampu kita buat hanyalah meningkatkan tahap kebergantungan kita kepada Allah di samping berusaha sedaya upaya menyelesaikan masalah itu. Ungkapan yang terkenal: We can’t direct the wind but we can adjust our sail – kita tidak mampu mengawal arah tiupan angin, kita hanya mampu mengawal kemudi pelayaran kita. Kemudi dalam pelayaran kehidupan kita hati. Hati yang bersifat bolak-balik (terutamanya bila diuji) hanya akan tenang bila kita beriman kepada Allah – yakin kepada kasih-sayang, keampunan dan sifat pemurah-Nya. Dalam apa jua takdir yang ditimpakan-Nya ke atas kita adalah bermaksud baik sekalipun kelihatan negatif. Baik dan buruk hanya pada pandangan kita yang terbatas, namun pada pandangan-Nya yang Maha luas, semua yang ditakdirkan ke atas hamba-Nya pasti bermaksud baik. Tidak salah untuk kita menyelesaikan masalah yang menimpa (bahkan kita dituntut untuk berbuat demikian), namun jika masalah itu tidak juga dapat diselesaikan, bersangka baik kepada Allah berdasarkan firman-Nya: “Ada perkara yang kamu tidak suka tetapi ia baik bagi kamu dan ada perkara yang kamu suka tetapi ia buruk bagi kamu, Dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan kamu tidak mengetahuinya” Surah Al Baqarah : 216 Seorang ahli hikmah, Ibn Atoillah menjelaskan hakikat ini menerusi katanya, “barang siapa yang menyangka sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdir-Nya, maka itu adalah kerana pen¬deknya penglihatan akal dan mata hati seseorang.” Siapa tidak inginkan kekayaan, malah kita dituntut mencari harta. Namun jika setelah berusaha sedaya upaya, masih miskin juga, bersangka baiklah dengan Tuhan… mungkin itu caranya untuk kita mendapat pahala sabar. Begitu juga kalau kita ditakdirkan kita tidak berilmu, maka berusahalah untuk belajar, kerana itulah maksud Allah mentakdirkan begitu. Kalau kita berkuasa, Allah inginkan kita melaksanakan keadilan. Sebaliknya, kalau kita diperintah (oleh pemimpin yang baik), itulah jalan untuk kita memberi ketaatan. Rupanya cantik kita gunakan ke arah kebaikan. Hodoh? kita terselamat daripada fitnah dan godaan. Ya, dalam apa jua takdir Allah, hati kita dipimpin untuk memahami apa maksud Allah di sebalik takdir itu. Jadi, kita tidak akan merungut, stres dan tertekan dengan ujian hidup. Hayatilah kata-apa yang ditulis oleh Ibnu Atoillah ini: “Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.” Tadbirlah hidup kita sebaik-baiknya, namun ingatlah takdir Tuhan sentiasa mengatasi tadbir insan. Jangan cuba mengambil alih “kerja Tuhan” yakni cuba menentukan arah angin dalam kehidupan ini tetapi buatlah kerja kita, yakni mengawal pelayaran hidup kita dengan meningkatkan iman dari semasa ke semasa. Kata bijak pandai: “It’s not what happens to you, but it’s what you do about it. It is not how low you fall but how high you bounce back!” • Mendapat hikmah bila diuji. Hikmah adalah sesuatu yang tersirat di sebalik yang tersurat. Hikmah dikurniakan sebagai hadiah paling besar dengan satu ujian. Hikmah hanya dapat ditempa oleh “mehnah” – didikan langsung daripada Allah melalui ujian-ujian-Nya. Ra¬sul¬ullah s.a.w. bersabda, “perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa ujian, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja!” Jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, reda, pemaaf, qanaah daripada Tuhan? Maka dengan ujian bentuk inilah ada di kalangan para rasul ditingkatkan kepada darjat Ulul Azmi – yakni mereka yang paling gigih, sabar dan berani menanggung ujian. Ringkas¬nya, hikmah adalah kurnia termahal di sebalik ujian buat golongan para nabi, siddiqin, syuhada dan solihin ialah mereka yang sentiasa diuji. Firman Allah: Apakah kamu mengira akan masuk ke dalam syurga sedangkan kepada kamu belum datang penderitaan sebagai¬mana yang dideritai orang-orang terdahulu daripada kamu, iaitu mereka ditimpa kesengsaraan, kemelaratan dan ke¬goncangan, sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya merintih: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” (Surah al-Baqarah: 214) Pendek kata, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebaliknya. Malah dalam keadaan ber¬dosa sekalipun, ujian didatangkan-Nya sebagai satu peng¬ampunan. Manakala dalam keadaan taat, ujian didatangkan untuk meningkatkan darjat. Justeru, telah sering para muqarrabin (orang yang hampir dengan Allah) tentang hikmah ujian dengan berkata: “Allah melapangkan bagi mu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan dan Allah menyempitkan bagi mu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan Allah melepaskan engkau dari keduanya, supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah. Apabila keempat-empat perkara ini dapat kita miliki maka hati akan sentiasa riang, gembira dan tenang dengan setiap pekerjaan yang dilakukan. Sentiasa melakukan kerja amal, tolong menolong, bergotong royong, sentiasa bercakap benar, sopan dan hidup dengan berkasih sayang antara satu dengan lain. Marilah kita bersihkan hati kita dari segala kotorannya dengan memperbanyak zikrullah. Itulah satu-satunya jalan untuk mencari kebahagiaan di dunia dan di akhirat nanti. Manusia perlukan zikir umpama ikan perlukan air. Tanpa zikir, hati akan mati. Tidak salah memburu kekayaan, ilmu, nama yang baik, pangkat yang tinggi tetapi zikrullah mestilah menjadi teras dan asasnya. Insya-Allah, dengan zikrullah hati kita akan lapang sekalipun duduk di dalam pondok yang sempit apatah lagi kalau tinggal di istana yang luas. Inilah bukti keadilan Allah kerana meletakkan kebahagiaan pada zikrullah – sesuatu yang dapat dicapai oleh semua manusia tidak kira miskin atau kaya, berkuasa atau rakyat jelata, hodoh atau jelita. Dengan itu semua orang layak untuk bahagia asalkan tahu erti dan melalui jalan yang sebenar dalam mencarinya. Rupa-rupanya yang di cari terlalu dekat… hanya berada di dalam hati sendiri

Wednesday, December 26, 2012

HIDUP SELAGI HIDUP!

Kata bijak pandai, kehidupan umpama satu pelayaran. Cubaan dan ujiannya umpama gelombang yang sangat menggerunkan. Oleh sebab itu bahtera kehidupan mesti kukuh. Kemudinya mesti ampuh. Jika tidak, layar patah dan bahtera akan terolang-aleng lalu tenggelam dihempas gelombang. Jika boleh diumpamakan bahtera itu diri kita, maka kemudinya ialah iman. Kita tidak akan gusar betapapun hebatnya gelombang, jika kemudi di tangan mampu mengawalnya. Maka begitulah dalam menghadapi ujian hidup… kita tidak akan bimbang sekiranya iman di hati tetap mantap. Diri tidak akan hilang kawalan. Kita akan terus menghadapi segalanya dengan penuh keyakinan. Berpegang kepada prinsip: “Jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.” Dengan iman, kita punya keberanian – hidup selagi hidup! Kita tidak, kita akan menjadi umpama bangkai bernyawa, yang hidup segan, mati tak mahu. Tanpa iman, kita menjadi pengecut – menjadi orang yang berani mati kerana takut hidup… membunuh diri! Dikebumikan pada tahun ini tetapi hakikatnya telah mati lima tahun yang lalu! Justeru, iman adalah sumbu kehidupan, harta yang tidak dapat dinilai. Sumayyah sanggup berkorban nyawa demi iman. Bilal sanggup disiksa kerana iman. Sayidina Abu Bakar telah mengorbankan seluruh hartanya demi iman. Bagaimana dengan kita? Sanggupkah kita mengorbankan segala-galanya untuk mendapat iman? Mari kita muhasabah… Bagaimana ketika kita dibangunkan dari tidur yang lena untuk bangun mengerjakan solat Subuh? Lesu atau bersemangat? Sanggupkah kita mengorbankan masa untuk mendengar kuliah agama buat menjana iman? Bandingkan dengan masa yang kita berikan untuk hiburan yang melalaikan? Tanyakan kepada diri ke manakah harta, tenaga dan masa telah kita berikan… ke jalan iman atau sebaliknya? Kalaulah ditanya manakah yang lebih berharga? Iman atau harta? Tentu kita menjawab iman. Tetapi mungkin itu hanya kata-kata. Benarkah itu juga yang kita rasa? Iman sebenarnya lebih berharga daripada mutiara. Malah jika dikumpulkan seluruh isi langit dan bumi ini, maka kita dapati iman tetap lebih berharga. Harta akan musnah jika tidak dibelanjakan ke jalan Allah, namun iman kekal sampai membawa kita ke syurga. Tetapi bak kata pepatah, “hanya jauhari mengenal manikam” – maksudnya hanya orang yang berilmu sahaja yang menyedari tentang agungnya nikmatnya iman. Sijahil tidak akan menghargai nikmat iman, sama seperti sibuta yang yang tidak dapat melihat cahaya atau kera yang disuguhkan bunga! Iman sangat berharga sama ada di dunia mahupun di akhirat. Sesiapa saja yang memiliki iman di dada, dia akan mendapat ketenangan, keharmonian dan kebahagiaan dalam hidup. Sesiapa pula yang memiliki iman di akhirat, dia akan mendapat hati yang sejahtera. Dia akan dapat keredhaan dan keampunan-Nya. Juga dia akan mendapat syurga Allah swt. Dengan adanya nikmat iman, barulah nikmat-nikmat yang lain berguna. Jika ada iman di dada, nikmat harta akan menjadikan seseeorang itu hamba Allah yang pemurah. Dia akan merasakan harta itu adalah amanah dari Allah. Lantas, harta itu tidak akan dibelanjakan ke jalan kejahatan dan kemungkaran. Sebaliknya, akan digunakan ke arah kebaikan. Seorang yang beriman, akan menggunakan nikmat ilmunya ke arah kemajuan dan kebaikan. Dia akan mengajar orang lain dan mencipta rekaan-rekaan yang memudahkan kehidupan masyarakatnya. Dengan iman, seseorang tidak akan menjadi penipu, penzalim dan pemusnah dengan ilmunya. Ya, bila ada iman kita seolah-olah memiliki segala-galanya. Sebaliknya jika hilang iman, kita hilang segala-galanya. Jadi apa sebenarnya iman ini sehingga ia dianggap begitu berharga? Iman sebenarnya bukanlah sekadar ucapan. Iman adalah kepercayaan dalam hati, yang diucapkan dgn lidah. Jika hanya ucapan, tetapi tidak dengan keyakinan, itu munafik (berpura-pura). Jika hanya ada ucapan dan keyakinan tetapi tidak ada tindakan (amalan), itu fasik (berdosa). Memanglah menjadi sunnatullah dan peraturan dalam hidup ini, semua benda yang berharga memang payah untuk dicari. Contohnya pasir, mudah untuk kita mendapatkannya. Di mana-mana pun ada pasir. Tetapi jika hendak mencari mutiara, kita perlu menyelam hingga ke dasar lautan. Mencari dan menggali, membersihkan barulah ditempa sehingga menjadi mutiara yg bersinar dan cantik. Berbagai-bagai jawapanlah yang kita dengar. Ada yang mengatakan, dia boleh mewarisi iman daripada bapanya yang warak. Ada yang berbangga dengan datuknya yang warak. Ada yang mengatakan dia boleh mendapatkan iman melalui pembacaan atau melalui ilmu pengetahun. Apakah begitu mudah? Mari kita susuri realitinya… Oleh kerana iman itu berharga ibarat mutiara, memanglah sukar untuk mendapatkannya. Jadi kita kena berusaha mencari dan terus mencari. Kita memang tidak nafikan, doa si ayah atau si datuk yang bertaqwa memang ada kesannya. Namun itu bukan cara yang utama untuk mendapatkan iman. Lihatlah sejarah Nabi Nuh a.s. Baginda seorang Nabi yang mengajak semua keluarganya untuk beriman kepada Allah swt. Namun si isteri dan seorang anaknya engkar. Malah mereka mengganggap Nabi Nuh gila kerana membina sebuah bahtera besar di atas bukit yang tinggi. Walau nyawa sudah di hujung tanduk ketika tenggelam dalam banjir, mereka tetap tidak mahu beriman kepada Allah atau mengikut ayah mereka Nabi Nuh. Jika kita mengatakan boleh mendapat iman melalui ilmu atau pembacaan, itu juga kita tidak nafikan. Namun mengapa ramai orang yang memiliki ilmu setaraf professor pun masih melakukan kemungkaran? Oleh itu, penting bagi kita mencari iman sebagaimana cara generasi awal Islam mencarinya. Mereka ‘mencari’ iman dengan berfikir, berzikir, bermujahadah dan melaksanakan syariat (peraturan) Allah. Firman Allah swt: “ yakni orang yang mengingati Allah (berzikr) ketika berdiri, duduk, berbaring dan sentiasa berfikir tentang tentang kejadian langit dan bumi lantas berkata, “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau jadikan semua ini dengan sia-sia Maha Suci Engkau ya Allah, selamatkanlah kami dari api neraka.” Al-Imran: 191 Para sahabat mendapat iman dengan melihat alam, binatang, tumbuhan, hujan dan sebagainya. Mereka melaksanakan apa yang didorong oleh Allah menerusi firman-Nya: “Maka apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana unta diciptakan, dan langit, bagaimana ia ditinggikan.” Al-Ghaasyiyah: 17-18 Apabila mereka melihat semua itu mereka berfikir… dan akhirnya tiba pada satu kesimpulan bahawa tidak mungkin semua itu terjadi dengan sendirinya. Pasti ada yang menjadikannya. Jika matahari hebat, tentu Pencipta matahari lebih hebat. Jika alam ini indah, tentulah Penciptanya lebih indah. Tidak terhenti setakat itu sahaja, bahkan mereka terus berzikir (mengingati) Allah. Mereka merasai Allah itu Maha Besar, Maha Suci, Maha Penyayang, Maha Berkuasa dan Maha Sempurna. Mereka merasakan bahawa zat yang mencipta matahari, bulan, bintang dan semesta alam ini mestilah dipatuhi perintah-Nya dan dijauhi larangan-Nya. Lalu merekapun melaksanakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang ditegah oleh Allah. Mereka bersolat, berpuasa, meninggalkan zina, arak dan lain-lain. Walaupun kekadang, yang ditegah Allah itu sesuatu yang disukai, manakala yang disuruh pula dibenci, namun mereka melawan kehendak diri sendiri demi mentaati perintah Allah. Berlaku ‘peperangan’ di dalam diri mereka sendiri – antara apa yang mereka ingin, dengan apa yang diingini Allah. Peperangan inilah yang dikatakan mujahadah atau berjuang sepenuh jiwa untuk mematuhi perintah allah. Hasil mujahadah ini, iman mereka bertambah dan akhirnya mereka merasakan kemanisannya. Firman Allah: “Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang berbuat kebaikan” Al-Ankabut: 69

Friday, November 9, 2012

DUNIA TEMPAT BERPENAT, DI AKHIRAT NANTI KITA BEREHAT

Jangan mencari keadilan yang mutlak di dunia ini. Terimalah hidup seadanya. Jadilah diri sendiri. Kita ubah yang mampu diubah, yang tidak mampu serahkan kepada Allah. Jika bahagia yang dicari, tetapi derita yang diberi… terimalah. Bahagialah dengan derita itu. Manusia akan tersiksa oleh jangkaan dan harapannya. Allah ciptakan putaran hidup ini seumpama kitaran cuaca dan musim. Ada yang menikmati empat musim seperti Eropah. Ada yang kontang sepanjang masa umpama Sahara. Ada yang dingin memanjang seperti di Antartika. Kita hamba… setelah berusaha sehabis daya, pasrah dan menyerahlah. Carilah R&R dalam kembara hidup ini, di sanalah tempat kita berehat seketika… sebelum berehat selama-lamanya! Jika ditakdirkan tidak kita temui sesuatu yang dicari di dunia ini, terimalah hakikat ia memang tidak ada. Di akhirat sana tempat ‘ada’ dan sempurna segala. Jika ‘langit’ hendak runtuh, masakan jari yang kecil ini mampu menahannya. Dalam setiap yang kita miliki, pasti ada jemu dan letihnya. Dalam setiap yang kita tidak miliki, pasti ada kesal dan sayunya. Jangan terlalu dalam segalanya. Jangan terlalu cinta, jangan terlalu benci. Jangan terlalu suka, jangan terlalu duka. Sederhana itulah yang selalu menyelamaktkan ‘hati’ kita. Tidak ada keadilan yang mutlak di dunia ini. Semakin kita terima hakikat ini, hidup kita akan menjadi semakin tenang. Jika tidak, kita akan sentiasa rasa arah, kecewa, dipersenda dan ditipu oleh manusia lain dan keadaan. Sebaliknya, apabila kita mula menerima hakikat dunia memang tidak adil, maka hidup kita kan menjadi lebih tenang dan harmoni. Mengapa di dunia ini tidak ada kedailan yang mutlak? Yang baik, tidak semestinya mendapat ganjaran dan balasan yang baik. Manakala yang jahat, acap kali terlepas dan bebas? Ya, inilah kaedah Allah menguji manusia, agar terserlah siapa yang benar-benar ikhlas berbuat kepadaNya dan siapa pula yang benar-benar meninggalkan kejahatan kerana-Nya jua. Inilah ujian iman. Menerusi pengajian tauhid, yakni dalam mengenal sifat-sifat Allah, memang kita telah sedia maklum bahawa Allah swt akan memberi dan menunjukkan sifat keadilan-Nya secara mutlak dan tuntas di akhirat nanti. Manakala, di dunia ini Allah tidak menunjukkan sifat keadilanNya secara sepenuh dan menyeluruh sebagai ujian kepada orang-orang yang beriman kepadaNya. Lihat bagaimana nabi Zakaria AS, Nabi Yahya AS dan beberapa nabi yang lain telah dibunuh oleh musuh-musuh kebenaran. Sekiranya kita sebagai suami, isteri, ibu-bapa, anak-anak, pemimpin, pengikut… menerima layanan atau balasan yang tidak adil, biasalah. Inilah hakikat dan lumrah hidup yang mesti ditempuh. Jangan mencari yang ‘serba kena’ kerana hidup dipenuhi oleh resam yang ‘serba tidak kena’. Sekiranya kita berbuat baik kerana mengharapkan ganjaran, pembalasan dan ucapan terima kasih daripada manusia, tentu kita akan keewa kerana umumnya manusia memang tidak pandai berterima kasih apalagi untuk membalas budi. Memang, buat baik dibalas baik, tetapi bukan seua kebaikan dibalas di sini (dunia), ada yang Allah simpan di sana (akhirat). Justeru, apabila Allah menyuruh manusia melakuan kebaikan atau meninggalkan kejahatan, Allah akan menyeru kepada manusia yang beriman dengan lafaz “Ya ayyuhal lazi na amanu – wahai orang yang beriman.” Begitu juga apabila Rasulullah saw menyeru untuk umatnya melakukan kebaikan, baginda sering memulakanya dengan berkata, “barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat hendaklah…” Banyak hikmahnya mengapa Allah dan RasulNya berbuat demikian, salah satunya ialah untuk menunjukkan bahawa mereka yang mahu dan mampu melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan dengan ikhlas, sabar dan istqamah hanyalah orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yakni, mereka yang yakin bahawa Allah Maha melihat akan perbuatan itu dan membalasnya dengan ganjaran atau seksa yang setimpal. Allah memujuk, Nabi Muhammad dan orang-orang beriman dengan firmanNya: “Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku).” Impak daripada itu, manusia yang beriman akan menghadapi hidup ini dengan lebih tenang. Tidak banyak merungut, merengus dan marah-marah. Jika madu dibalas tuba, mereka mampu sabar dan redha. Apabila mendapat ‘limau masam’, mereka akan segera membuat ‘air limau’. Makna, sekiranya apa yang mereka terima sebagai balasan, tidak seperti yang diharapkan dan dijangkakan, mereka tidak ‘memberontak’, sebaliknya mereka mengubah hati, fikiran dan perasaan mereka untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan baik. Apabila inginkan kejayaan, tetapi sebaliknya kegagalan yang berlaku… mereka akan berkata, “Tidak mengapa, kegagalan adalah yuran kepada kejayaan, kegagalan adalah ‘kejayaan’ yang ditangguhkan. Orang berjaya lebih banyak merasai kegagalan daripada orang yang gagal.” Mereka tidak mengutuk orang lain, keadaan, diri mereka sendiri apalagi mempersalahan Tuhan. Mereka tidak akan menyesal dan kesal terhadap apa yang berlaku sebaliknya mencari tapak dan semangat baru untuk berusaha dengan lebih baik. Lalu dalam kamus orang berjaya sering tertera pengukuhan kata-kata ini: Kegagalan adalah peluang untuk memulakan semua dengan lebih baik!” Oang yang telah menerima hakikat dunia ini tidak adil, tidak akan bemusuh dengan dirinya sendiri. Dia tidak mendera dirinya dengan kejam. Mengapa aku bodoh sangat? Mengapa aku lurus bendul? Mengapa aku boleh tertipu? Ini bukan langkah muhasabah yang membangunkan jiwa yang proaktif, tetapi satu ‘self sabotaging habit’ yang menyebabkan dirinya menjadi pasif, pesimis atau murung. Kemudian keburukan dari dalam diri itu akan meletus keluar menjadikan dirinya sebagai ‘toxic people’ yang bersifat aggresif, bersangka buruk dan marah-marah kepada orang lain. Dalam surah Al Fatehah, Allah menegaskan bahawa Dialah Raja pada Hari Akhirat. Kalimat ini kita ulang-ulang baca pada setiap hari tidak kurang 17 kali. Semuga makna atau kehendak daripada kalimat ini meresap dalam minda sedar dan separa sedar kita, bahawa Allah akan menunjukkan kebesaran sifat Malik-Nya di akhirat, yang pada waktu itu tidak akan ada siapa yang berani mengangkat muka atau berkata-kata. Di dunia ini, penjahat atau pelaku kemungkaran masih boleh mendabik dada dan meninggikan suara, kerana kuasa yang sementara. Dengan kuasa itu mereka menipu, menindas dan menzalimi dengan pelbagai taktik dan cara. Namun di akhirat nanti, mereka akan kaku, kelu dan membisu apabila Allah menunjukkan kebesaran dan keadilanNya. Di sana nanti barulah kebaikan akan mendapat ganjaran… bukan setimpal tetapi digandakan. Di sana jualah nanti kejahatan akan mendapat balasan… yang pedih, perit dan berganda. Allah yang Maha Adil tidak mencipta dunia ini dengan serba adil untuk menguji manusia sejauh mana iman mereka kepada sifat keadilanNya! Agar dengan itu orang yang beriman rela ‘disusahkan’ kerana Allah dalam usahanya melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Agar dengan itu, orang beriman akan berkata pada hatinya, “ wahai Tuhan, aku rela menerima kesusahan yang sementara dan sedikit di dunia yang serba tidak adil ini demi mendapat kesenangan yang abadi dan lebih baik di akhirat nanti!” Sampai ke takah ini, sekiranya hati masih bertanya, “mengapa dunia ini tidak adil?” Jawabnya, “kerana Allah yang Maha Adil ingin menunjukkan keadilanNya di akhirat.” Ya, keyakinan kepada Hari akhirat sangat penting semasa hidup di dunia. Meletakkan sesuatu itu pada tempatnya, itulah erti keadilan. Hati orang beriman ialah hati yang adil. Dalam hati itu terpahat satu hakikat: Dunia tempat penat, di akhirat tempat berehat! Ya, hidup selepas mati adalah tempat rehat daripada kepenatan daripada ujian hidup sebelum mati. Justeru, Rasulullah saw sendiri berdoa: ” Ya Allah, jadikanlah kematian tempat istirehat daripada segala keburukan dan kejahatan…”

Wednesday, June 20, 2012

Ohh...Hebatnya Rasulullah

SEORANG SUAMI BERNAMA MUHAMMAD S.A.W : Seorang Suami Bernama Muhammad S.A.W... Jika ingin membina dunia yang lebih aman, kembalilah ke rumah masing-masing dan sayangi keluarga kita. Insya-Allah, apabila keluarga telah aman, masyarakat akan aman. Apabila masyarakat aman, negeri dan seterusnya negara akan aman. Dan apabila negara-negara telah aman, seluruh dunia akan aman. Oleh itu, apabila dunia semakin bergolak pada saat ini, percayalah itu semua berpunca daripada pergolakan rumah tangga. Ribut dalam cawan rumah tangga boleh mencetuskan badai di seantero dunia. Perkara yang pertama dan utama dalam hidup seorang lelaki bernama suami adalah keluarga. Tidak ada gunanya dia berjaya di peringkat yang tinggi dan dalam bidang apa sahaja… sekiranya rumah tangganya sendiri berantakan. Justeru, Allah telah awal-awal lagi mengingatkan melalui firmanNya yang bermaksu, selamatkanlah dirimu dan keluargamu daripada api neraka! Setiap lelaki pasti ditanya tentang kepimpinanya. Dan kepimpinan yang pertama akan dipersoalkan di Hari Akhirat nanti, bukan kepimpinan masyarakat, organisasi, jabatan, kabinet atau negaranya… tetapi kepimpinan dalam keluarganya. Seorang wanita mudah masuk ke dalam syurga walaupun tanpa suami bersamanya, tetapi seorang lelaki sangat sukar masuk ke syurga tanpa isterinya. Seorang suami hanya layak ke syurga apabila semua yang berkaitan isteri dan anggota keluarganya sudah dipersoalkan. Oleh kerana itu tertib dalam usaha membina kehidupan yang baik dimulakan dengan membaiki diri, kemudian membaiki rumah tangga dan seterusnya pancarkanlah sinar dalam rumah tangga itu ke tengah masyarakat. Bukankah sinar Islam itu pun bermula dari rumah Rasulullah saw? Nur wahyu dari gua Hira’ terpancar ke dalam diri Rasulullah, kemudian menyinari jiwa Khadijah dan kemudian dari situlah… bermulanya cahaya Islam ke dalam masyarakat Arab di Makkah, seterusnya merebak ke Madinah dan akhirnya tersebar ke seluruh semesta. Justeru, sebelum kita mencari pengiktirafan sebagai pengurus, pengarah, CEO, menteri, perdana menteri, Presiden, raja dan sultan yang berjaya, carilah dahulu pengiktirafan dari dalam rumah tangga sendiri. Jadilah suami yang berjaya. Tegasnya, kita belum benar-benar diiktiraf sebagai seorang yang baik sekiranya belum menjadi suami yang baik. Sekiranya kita bertanya siapakah orang yang paling baik? Dengarlah jawapan dari Rasulullah saw ini: ”Orang yang paling baik diantara kamu adalah orang yang paling baik terhadap keluarganya. Dan aku adalah orang yang paling baik diantara kamu terhadap keluargaku.” Mari sejenak kita layangkan fikiran dan terbangkan rasa menjelajah rumah tangga Rasulullah. Kita saksikan bagaimana manusia agung ini berjuang dalam gelanggang yang paling kecil tetapi sangat besar pengaruhnya kepada pembinaan ummah. Ya, bagaimana sikap, cakap dan diam baginda sebagai seorang suami. Semoga kita tidak hanya mengumpul riwayat dan hikayat, tetapi benar-benar menghayati makna sirah yang tersurat dan tersirat. Adakalanya baginda pulang ke rumah lewat malam malah menjelang dinihari. Kerja dakwah dan memimpn masyarakat acapkali menyebabkan baginda berenggang dengan isteri. Sejarah menceritakan bagaimana baginda tidak akan mengetuk pintu rumah untuk mengejutkan isteri yang sedang nyenyak tidur. Bahkan dibentangkannya sahaja kain ridaknya lalu dijadikan lapik untuk baginda tidur di muka pintu. Apabila baginda bertanya kepada isterinya apakah pada hari itu ada makanan untuk dimasak dan apabila isterinya menjawab tidak ada… baginda akan tersenyum lalu memutuskan pada hari itu baginda akan berpuasa. Tenang dan indah sekali. Pada hari ada rezki untuk dimakan, baginda syukur. Apabila tidak ada, baginda sabar. Sejarah menceritakan juga bagaimana baginda sendiri menjahit bajunya yang koyak dan menampal kasutnya yang bocor. Walaupun dia insan yang paling agung dan mulia, tetapi sentiasa sedia turun ke bawah membuat kerja-kerja yang dianggap remeh dan kecil oleh lelaki-lelaki lain yang kononnya lebih hebat dan unggul. Mereka terlupa bahawa pemimpin yang hebat ialah mereka yang rela membuat kerja-kerja kecil tetapi dengan jiwa yang besar. Dan Rasulullah telah membuktikan hakikat itu! Bayangkan baginda yang sering menangis, bimbang dan takut akan nasib umatnya di akhirat tetapi masih punya masa untuk bergurau senda dengan isteri-isterinya. Bukan sekali baginda berlumba lari dengan iserinya hinggakan Aisyah berkata, “adakalanya baginda menang, adakalanya aku menang.” Sikap baginda yang romantik itu merupakan sesuatu yang masih sangat baru di kalangan umat Arab, kerana baru beberapa tahun sebelumnya wanita dianggap warga kelas dua sehingga bayi perempuan pun biasa ditanam hidup-hidup. Sikap ‘gentleman’ dan romantik baginda bukan sahaja pada Aisyah yang jelita tetapi juga pada Saudah, seorang janda yang telah dinikahi oleh baginda ketika telah berusia. Oleh kerana Saudah telah tua dan kurang berdaya dan badannya yang besar, baginda sering melipatkan lututnya untuk dipijak oleh Saudah apabila isterinya hendak menaiki unta. Sebagai perbandingan, ramai daripada para suami kini yang membuka pintu kereta untuk isterinya? Sekiranya terbayang juga kebimbangan pada raut wajahnya ketika masuk ke rumah isterinya, baginda akan menjawab jika isterinya bertanya kenapa? Ketika peristiwa perjanjian Hudaibiyah dimetrai dan para saabat begitu sedih sehinggakan tidak sedar akan perintah Rasulullah supaya bercukur dan menyembelih binatang, Ummu Salamah mendengar kebimbangan baginda itu lalu mencadangkan agar Rasulullah saw dahulu yang bercukur dan menyembelih korban… Mata baginda bersinar atas cadangan dan pandangan isterinya lantas keluar semula lalu bercukur dan menyembelih kambing tanpa berkata sepatah pun kepada sahabat-sahabatnya. Baginda ‘bercakap’ dengan sikap seperti yang dicadangkan oleh Ummu Salamah. Dan melihat perbuatan baginda itu, para sahabat tersentak, tersedar lalu turut bercukur dan menyembelih binatang. Bayangkan betapa besarnya jiwa baginda tetapi masih sudi mendengar cadangan daripada para isterinya. Jika benar dan betul, baginda akan menerimanya tanpa rasa malu dan ego. Tetapi jika batil dan salah, baginda tidak akan mengalah atau berundur walaupun selangkah. Pernah baginda dihadiahkan seekor kambing untuk dimakan bersama keluarga. Baginda meminta Aisyah agar memberikan daging-daging kambing kepada orang yang lebih memerlukan. Aisyah dengan segera menunaikan perintah baginda… cuma ditinggalkan sedikit yakni bahagian kaki untuk Rasulullah saw. Ya, Rasulullullah gemar memakan kambing terutama bahagian kakinya dan itulah yang dititip oleh Aisyah untuk suaminya tersayang. Apabila tiba waktu makan, Rasulullah bertanya apakah daging-daging kambing itu telah diberikan kepada fakir miskin? Lantas Aisyah menjawab sudah kecuali bahagian kaki yang dimasak untuk baginda. Baginda tersenyum gembira, namun masih sempat mengingatkan isterinya dengan kenyataan yang penuh tarbiah dan hikmah, bahawa semua bahagian kambing itu menjadi hak mereka di akhirat kecuali bahagian kaki itu! Di rumah baginda sentiasa tersenyum, ceria dan menolong kerja-kerja rumah. Hanya apabila azan bergema baginda akan berhenti dan serta merta menuju masjid seolah-olah tidak mengenal isterinya lagi. Jangan terkejut jika diberitakan adakalanya baginda akan mandi bersama dengan isterinya dan menceduk air dari bekas yang sama. Bukan berlakon-lakon, jauh sekali mengada-mengada, tetapi itulah realiti peribadi Rasulullah, insan paling kasih, paling sayang, yang segala perbuatannya lahir dari hati nurani yang paling murni. Sifat romantiknya lahir dari hati. Banyak kali baginda mengingatkan, agar suami berlaku baik kepada wanita dan digalakkan bergurau senda dan bermain-main dengan isteri. Baginda bersabda:” bermain-main itu boleh dalam tiga hal. Ketika melatih kudamu, memanah dan bercanda dengan isterimu.” Biasa baginda mencium isterinya, ketika hendak berpergian jauh ataupun dekat, lama atau sekejap. Ciuman yang bukan hanya apabila nafsu bergolak, tetapi ciuman cinta yang lahir dari hati yang penuh kasih, kasihan dan sayang. Baginda adalah suami yang ‘sporting’. Suatu ketika pada suatu Hari Raya, Sayidina Abu Bakar masuk ke rumah Aisyah di mana pada ketika itu ada dua orang perempuan sedang menari dan memukul gendang, sedangkan nabi menutup dirinya dengan baju (tidak melihat), maka Abu Bakar yang melihat keadaaan itu membentak kedua wanita tersebut, lalu Rasulullah menampakkan wajahnya seraya berkata, “hai Abu Bakar, biarkanlah mereka, sekarang adalah Hari Raya.” Baginda minum daripada gelas yang sama dengan isterinya. Bahkan baginda mencecahkan bibirnya pada tempat di mana betul-betul bibir isterinya minum. Bahkan pada saat-saat akhir pemergiannya pun baginda meminta Siti Aisyah melembutkan kayu sugi dengan menggigitnya dan kemudian baginda minta disugikan dengan kayu sugi tersebut. Hinggakan kerana itu Aisyah menyatakan air liurnya dan air liur baginda bertemu sehingga saat akhir menuju kewafatannya. Apabila baginda berada di bulan Ramadan, sentiasa baginda akan bangun pada waktu dinihari untuk solat dan munajat. Demi kasih sayang terhadap isteri, baginda akan mengejutkan mereka untuk sama-sama memburu kecintaan Allah. Tidak digerakkan isterinya dengan gerakan yang kasar ataupun lengkingan suara yang tinggi, tetapi cuma disentuh dengan penuh kasih sayang dan dibelai dengan kata-kata bujukan. Jika kita ingin menjadi suami… contohilah seorang suami yang bergelar Rasulullah – utusan Allah yang membuktikan kepada kita bahawa perkahwinan itu bukan hanya soal hidup bersama tetapi ‘cinta bersama’ buat selama-lamanya. Masyhurlah kemudiannya kata-kata “marriage is loving-together, not just living together” namun Nabi Muhammadlah suami yang membuktikan hakikat itu dalam kehidupan berumahtangganya lebih 1400 tahun yang lalu.Teladanilah seorang suami bernama Muhammad s.a.w