Thursday, October 28, 2010

Masalah itu 'didikan' Allah..

Setiap masalah yang hendak diselesaikan mestilah difokuskan kepada real problem (masalah sebenar) bukan kepada presenting problem (masalah yang zahir). Apabila kita menumpukan kepada real problem ertinya kita sedang berdepan dengan punca masalah yang lebih bersifat dalaman dan ini memaksa kita menyelami soal hati dan perasaan manusia.
Manakala jika kita hanya berlegar-legar di sekitar presenting problem kita hanya terapung di permukaan yakni berdepan dengan akibat sesuatu masalah. Cara kedua ini tidak akan menyelesaikan sesuatu masalah secara tuntas. Mungkin kita berjaya seketika mengubat akibatnya tetapi masalah itu akan berulang lagi kerana punca sebenarnya tidak diatasi. Hendaklah difahami benar-benar maksud saya ini.
Jika kita ingin menyelesaikan sesuatu masalah, terutamanya yang melibatkan soal perhubungan (komunikasi dan interaksi) dengan orang lain kita hendaklah fokuskan langkah-langkah penyelesaiannya kepada ‘lingkungan pengaruh’ kita bukan ‘lingkungan kebimbangan’ kita. Maksud saya, hendaklah kita bertindak pada batas dan keupayaan diri kita sendiri bukan di luar batasan itu.
Hakikatnya, kita hanya mampu mengawal cara berfikir, pertimbangan, keputusan dan tindakan diri kita sendiri bukan fikiran, pertimbangan, keputusan dan tindakan orang lain. Kejayaan mengubah manusia lain bermula dengan kejayaan mengubah diri kita sendiri. Jangan marah kalau orang lain tidak berubah seperti mana kita kehendaki kalau diri kita sendiri juga tidak berubah mengikut apa yang kita kehendaki.
Tegasnya, lihatlah apa yang anda boleh lakukan pada diri sendiri terlebih dahulu untuk menyelesaikan masalah ini kemudian dengan sendirinya pengaruh kita untuk mengubah orang lain akan meningkat.
Untuk berjaya dalam perhubungan sesama manusia kita hendak memahami orang lain terlebih dahulu, barulah orang lain akan memahami kita. ‘First seek to understand than to be understood’ – pertama carilah jalan untuk memahami kemudian barulah kita difahami. Inilah adalah prinsip dalam mana-mana perhubungan. Jika prinsip ini dilanggar, krisis dalam perhubungan akan berlaku. Maksudnya, kita mestilah terlebih dahulu menjadi ‘telinga’ daripada menjadi ‘mulut’.
Dengar, fahami, hayati, simpati dan kalau boleh empati terhadap apa yang selalu diperkatakan oleh orang lain. Jangan terlalu gopoh hendak menyuarakan isi hati, pandangan dan idea kita… nanti kita tidak akan difahami. Tetapi bersabarlah, dengar dahulu apa yang hendak disampaikan oleh orang lain samada yang disuarakan dalam bentuk lisan atau perbuatan. Tidak semestinya mereka benar… tetapi fahamilah kenapa dan mengapa mereka berpendirian begitu.
Jika mereka yang benar, ini adalah peluang kita untuk mengakui kesalahan dan mula membaiki diri sendiri. Oh, rupanya aku yang menjadi punca masalah. Sebaliknya jika tidak, kita mempunyai peluang untuk menyuarakan ‘kebenaran’ kita dengan lebih tenang, matang dan diterima setelah sekian lama anda sabar mendengar. Ingatlah, ‘what you give, you get back’ – kita akan mendapat semula apa yang kita berikan.
Jika kita sanggup sekian lama mendengar pandangan orang lain, pasti cepat atau lambat pintu hati orang lain akan terbuka untuk mendengar pandangan kita. Ah, selama ini dia begitu sabar mendengar segala pandanganku apa salahnya kalau sekarang aku pula mendengar pandangannya, begitulah nanti suara hati mereka terhadap kita. Ingat, mengamalkan prinsip ini tidak akan merugikan kita, kata orang ‘tidak kalah dengan mengalah’ sebab kuasa mendengar lebih kuat dari kuasa bercakap. Mungkin kerana itu agaknya Allah kurniakan kita dua telinga berbanding satu mulut!
Kemudian, lihat masalah dengan peluang mendapat didikan di sebaliknya. Masalah hakikat adalah agenda pembelajaran dan pendidikan yang datang ‘direct’ daripada Allah untuk membangunkan diri kita. Manusia berkembang dan berkemajuan dengan melangkah anak tangga masalah demi masalah dalam hidupnya. Ini ‘syllbuss’ pelajaran yang anda tidak boleh mengelakkan diri.
Jika dicuba juga… kita akan menghadapi ‘sylbuss’ yang sama melalui peristiwa, manusia dan situasi yang lain. Ingat, masalah ialah anak tangga kehidupan. Jika anda merungut, kenapa aku terpaksa melaluinya, anda akan terus melekat di anak tangga itu. Jika kita cuba melompat, kita akan jatuh tersembam. Kata orang, jangan berlari ketika menaiki tangga.
Jadi, selalu sematkan di hati, bahawa orang-orang yang berjaya dalam hidup sebenarnya telah melalui agenda demi agenda yang sarat dengan dalam episod kehidupan mereka. Malangnya, kita selalu melihat apabila mereka telah sampai ke puncak tetapi ketika mereka mendaki di lurah atau tersembam ke lembah… tidak ada siapa yang tahu, apalagi ingin belajar darinya.
Dan ingatlah, ini semua hakikatnya daripada Allah jua. Cuma ia didatangkan melalui perlakuan dan sikap manusia. Sebagai hamba, kita perlu menerimanya… Ini akan memberikan satu kekuatan dalam diri kita. Yakinlah, Allah mendatangkan ujian yang setimpal dengan keupayaan kita. Malangnya, manusia selalu memandang rendah terhadap keupayaannya sendiri.
Sedangkan hakikatnya, pakar-pakar psikologi, motivasi dan pendidikan sepakat mengatakan bahawa manusia lebih kuat daripada apa yang mereka sendiri jangkakan. Cabarannya ialah kebanyakan manusia tidak tahu bagaimana menggunakan sepenuhnya potensi akal, hati dan perasaan mereka untuk mengatasi masalah-masalah seterusnya berjaya dalam hidup.
Ya, “we can’t direct the wind, but we can adjust our sails” – kita tidak dapat mengawal arah haluan angin, tetapi kita mampu mengawal kemudi pelayaran kita. Baiklah, cuba amalkan semua prinsip-prinsip di atas dalam menghadapi masalah kita. Sengaja saya luaskan horizon pemikiran dan ruang jiwa dengan beberapa prinsip penyelesaian masalah supaya kita sama-sama berfikiran dan berjiwa besar dalam menghadapi kehidupan.
Walaupun langkah ini kekadang dilihat lebih bercorak falsafah berbanding aplikasi, tetapi percayalah ia akan menolong anda untuk menghadapi hidup inii secara lebih pro-aktif. Tips-tips ‘direct’ untuk menyelesaikan masalah (seperti yang selalu diberikan) tidak akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya jika soal hati dan pemikiran masih sempit dan tertekan. Sebaliknya, jika hati telah tenang, fikiran telah lapang, kita akan jadi lebih kuat, kreatif dan sabar untuk menyelesaikan masalah. Malah, ada kalanya masalah belum pun diselesaikan… tetapi kita rasa seolah-olah telah selesai justeru tekanan dan himpitan masalah itu sudah kurang impaknya akibat jiwa dan fikiran kita yang telah dibangunkan. Benarnya kata pepatah, cita-cita besar akan mengecilkan masalah.
Gunakanlah prinsip ‘ujian adalah satu didikan Tuhan’. Tuhan sedang mendidik manusia melalui manusia. Hakikatnya hidup adalah sebuah sekolah dan orang yang menjadi punca ujian kita adalah guru kita. Ada maksud tersirat yang perlu kita pelajari daripadanya. Hadapilah ujian ini dengan mencari maksud di sebalik takdir Allah ini.
Jangan mengeluh, kenapa manusia lain jadi begitu, begini … itu selamanya akan melekatkan kaki kita pada anak tangga ujian itu. Jangan memberontak, kerana kita tidak dapat mengubah realiti… dan kita terjun dari anak tangga yang anda berada sekarang. Jalan sebaik-baik, terimalah seadanya. Aku tidak akan menunggu hingga semua manusia jadi baik barulah aku menjadi baik. Yang penting aku cuba jadi yang manusia yang baik.
Ingatlah, tangan yang menghulur bunga mawar, akan lebih dahulu harum baunya. Jika kita menghulur kebaikan, kebaikan itu akan pulang semula kepada kita. Walaupun mungkin kebaikan kita tidak akan mengubah orang lain yang tetap bersikap negatif terhadap kita, namun kebaikan itu sebenarnya telah pun menggembirakan, menenangkan diri kita sendiri.
Kita telah menghapuskan dendam, iri hati, marah yang bersarang dalam jiwa kita. Kemaafan akan membuahkan kebaikan… Manakala kebencian akan membuahkan kejahatan. Belajarlah menyayangi, nescaya kita akan semakin jahil tentang kebencian dan permusuhan. Dan inilah maksud didikan Allah ketika menjadikan manusia ujud secara bersama (co-existence) di atas dunia ini. Mungkin hikmahnya, agar manusia belajar sesama manusia untuk merasa kesan didikan-Nya!

Wednesday, October 20, 2010

Hawa NAFSU

LAWAN HAWA NAFSUMU!
LAWAN NAFSU MU!
Bagaimana keadaan kita jika terlihat seekor lipan di hujung kaki tetapi kemudian terpandang seekor harimau tidak berapa jauh daripada kita? Apakah kita masih memikirkan bahaya lipan atau bahaya harimau. Ya, tentu sahaja kita akan berikhtiar untuk menyelamatkan diri daripada bahaya harimau. Walaupun lipan dekat, tetapi gigitannya tidaklah seganas cengkaman harimau. Begitulah perumpamaan antara bahaya nafsu dengan bahaya-bahaya yang lain. Nafsu akan menyebabkan kita lebih rasa menderita. Bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat.
Malangnya, hal yang sepenting itu tidak dititik-beratkan. Kejahatan hawa nafsu, sifat-sifat dan kaedah melawannya hampir tidak pernah dibicarakan. Padahal, nafsu itulah angkara segala kejahatan yang kita deritai kini. Sebut sahaja, apa kejahatannya, pasti dalangnya adalah hawa nafsu.
Kita sibuk memperketat kawalan, disiplin dan undang-undang tetapi membiarkan puncanya berkembang subur dan membiak. Mampukah pagar yang rapuh mengawal binatang buas yang bilangannya kian banyak dan tenaganya semakin kuat? Begitulah bandingannya undang-undang ciptaan manusia dengan kejahatan hawa nafsu.
Undang-undang walaupun sehebat mana pun tidak akan berkesan jika nafsu tidak dijinakkan terlebih dahulu. Pagar itu akan diterjah dan rebah dipijak dan diinjak menyebabkan kita terpaksa membina pagar demi pagar, berulang-kali.
KUASAI NAFSU, KUASAI DUNIA
“Jika kita menguasai diri, kita akan menguasai dunia,” demikian kata cerdik pandai. Tetapi bagaimana pula kalau kita gagal menguasai diri? Ya, pasti kita pula yang akan dikuasai dunia. Jika demikian amat buruk akibatnya lantaran dunia itu adalah ‘hamba’ yang baik tetapi ‘tuan’ yang sangat jahat. Orang yang berjaya adalah orang yang gigih mencari kebaikan dunia tetapi selamat daripada tipuannya. Firman Allah: “Sesungguhnya tiadalah kehidupan dunia itu melainkan mata benda yang menipu daya.” (Surah al-An’am 6: 32)
Al-kisah, seorang raja sedang menaiki kuda dengan angkuhnya. Dia terserempak dengan seorang petani yang soleh sedang berjalan kaki. Raja pun bertanya, “siapa kamu?” Petani yang soleh itu menjawab, “aku seorang raja.” Raja tertawa, kemudian terus berkata dengan nada menyindir, “raja kerajaan mana?” Petani menjawab, “raja untuk kerajaan diriku.” Raja terdiam. Dan kemudian petani itu pula bertanya, “adakah tuanku menjadi raja kepada diri sendiri?” Raja terus terdiam kerana faham maksud kata-kata petani yang soleh itu.
Begitulah dalam kehidupan kita sehari-hari. Ramai orang besar yang hakikatnya hanya insan kerdil kerana tidak mampu melawan hawa nafsunya. Kuasa, ilmu, harta dan nama yang tersohor tidak membawa makna dan kebahagiaan dalam hidup sekiranya hidup diperkotak-katikkan oleh hawa nafsu. Hal ini kerana nafsu itu sifat tabiinya hanyalah mengarah kepada kejahatan. Maka hidup seseorang yang dikuasainya hanya akan penuh dengan kejahatan. Jika demikian, mana ada ketenangan dan kebahagiaan? Tidak ada kebahagiaan bagi manusia yang tenggelam dalam kejahatan.
Dikuasai dunia maksudnya, diri kita akan didorong oleh sesuatu yang berbentuk kebendaan, kemasyhuran dan jawatan dalam apa jua fikiran dan tindakan. Ketika itu kita gagal memperalatkan dunia sebaliknya dunialah yang memperalatkan kita. Akibat gagal menguasai dirilah kebanyakan manusia sangat cintakan dunia. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya, manusia itu sangat cintakan mata benda.” (Surah : )
Selain itu cintakan dunia akan menyebabkan manusia cenderung melakukan kejahatan. Sebab itu masyhurlah kata-kata popular dalam kalangan ahli-ahli tasawuf, cinta dunia itu adalah kepala segala kejahatan.
Apabila semua itu terjadi, manusia tidak lagi layak menjadi hamba Allah. Oleh sebab itu, untuk menjadi hamba Allah manusia mestilah menguasai dirinya. Inilah yang dibimbangkan oleh Syeikh Ibn Ataillah dalam al-Hikam menerusi katanya:“Bagaimana akan terang hati seseorang yang segala gambaran dunia itu terpahat dalam cermin hatinya? Atau bagaimanakah dia akan mengembara menuju kepada Allah padahal ia terbelenggu oleh nafsu syhawatnya?
MANUSIA DAN MUJAHADAH
Seterusnya, apakah yang dimaksudkan dengan menguasai diri? Jelas maksud menguasai diri ialah menundukkan nafsu jahat yang ada di dalam diri bagi membolehkan kita melakukan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Sedangkan nafsu itu sebahagian daripada diri kita yang sentiasa ingin menghancurkan diri kita.
Berhubung dengan melawan hawa nafsu ini Imam al-Ghazali menyebutkan tiga tingkatan manusia dalam usaha memerangi hawa nafsunya:
i) Telah menyerah kalah.
Golongan ini tergolong dalam mereka yang dikuasai sepenuhnya hawa nafsunya dan tidak dapat melawannya sama sekali. Ini merupakan keadaan majoriti manusia. Mereka ini telah mempertuhankan hawa nafsunya. Firman Allah: ”Maka, pernahkah kamu melihat orang yang telah menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya.” (Surah al-Jatsiyah: 23)
ii) Sedang dan sentiasa berperang
Golongan ini terdiri daripada mereka yang sentiasa dalam bertarik tali berlawan dengan hawa nafsu. Adakalanya dia menang dan ada kalanya kalah. Insya-Allah, inilah orang yang sedang berjuang (mujahadah). Mereka ini menunaikan apa yang diperintahkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. melalui sabdanya yang bermaksud: ”Berjuanglah kamu melawan hawa nafsumu sebagaimana kamu berjuang melawan musuh-musuhmu.”
iii) Orang yang telah menang
Golongan itu terdiri daripada mereka yang berjaya menguasai sepenuhnya hawa nafsunya. Mereka ini terpelihara daripada berbuat dosa dan maksiat kecuali sangat sedikit melakukan maksiat. Perjuangan menentang hawa nafsu adalah satu bentuk perjuangan jangka panjang. Perjuangan ini hanya akan berakhir dengan kematian. Sikap waspada dan sentiasa siapa siaga amat diperlukan setiap masa.
ERTI MUJAHADAH DAN KEPENTINGANNYA
Melawan hawa nafsu bagi maksud mengawal, mengurus dan mengendalikannya adalah wajib kerana kita hanya wajar menjadi hamba Allah. Demikian yang dapat difahami daripada kaedah, “tidak sempurna sesuatu yang wajib melainkan dengan sesuatu itu maka sesuatu itu juga menjadi wajib.” Berdasarkan itu, jika kita tidak berbuat demikian, sudah tentu kita akan berdosa. Bukankah syurga itu hanya ada pada mereka yang menundukkan kehendak nafsunya kepada kehendak Allah? Firman Allah: “Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri daripada nafsunya, maka sungguh syurgalah tempat tinggalnya” (Surah al-Naziat: 40-41)
Melawan hawa nafsu juga adalah syarat untuk mendapat pimpinan Allah. Firman Allah: “Mereka yang berjuang untuk melawan hawa nafsu kerana hendak menempuh jalan Kami, sesungguhnya Kami akan tunjuk jalan Kami. Sesungguhnya Allah itu berserta dengan orang yang buat baik.” (Surah : )
Kepentingan melawan hawa nafsu ini ditegaskan lagi oleh Rasulullah s.a.w. menerusi sabdanya: “Tidak beriman salah seorang antara kalian hingga hawa nafsunya mengikuti apa yang aku bawa.” Baginda juga bersabda: “Seorang mujahid (iaitu seorang yang berjihad) ialah dia yang melawan hawa nafsunya kerana Allah.”
Mujahadah bermaksud berusaha untuk melawan dan menundukkan kehendak hawa nafsu. Istilah “mujahadah” berasal daripada kata “al-jihad” iaitu berusaha segala kesungguhan, kekuatan dan kesanggupan pada jalan yang diyakini benar. Dengan kata yang lain, seorang yang bermujahadah dengan rela meninggalkan apa yang disukainya demi memburu sesuatu yang diyakininya benar, baik dan betul. Inilah maksud kata-kata Imam al-Ghazali: “Antara tanda kecintaan hamba kepada Allah ialah dia mengutamakan perkara yang disukai Allah daripada kehendak nafsu serta peribadi, sama ada dalam aspek zahir atau batin.”
Selain itu ilmu, taktik dan strategi melawan hawa nafsu wajib dipelajari. Bahkan kita tidak akan menang jika dalam menempuh jalan mujahadah hanya dilakukan dengan semberono. Malangnya, ilmu tentang mujahadah ini seolah-olah terpinggir pada masa kini. Manakala strategi melawan hawa nafsu hampir tidak dibicarakan lagi.
Ironinya, jika dengan musuh zahir yang jarang-jarang kita berdepan dengannya, kita sanggup membelanjakan jutaan ringgit untuk membeli kelengkapan perang dan sejata, mengorbankan banyak masa dan tenaga untuk persiapan berperang, tetapi dengan hawa nafsu yang setiap detik kita berperang dengannya, mengapa ambil tidak indah sahaja. Sedangkan nafsu ini adalah musuh yang paling berbahaya, yang sepatutnya lebih diberi perhatian serius. Rasulullah s.a.w. bersabda:”Orang yang kuat bukanlah orang yang dapat mengalahkan musuhnya tetapi dapat menguasai marahnya.”
PRINSIP ASAS DALAM MELAWAN HAWA NAFSU
Berikut tiga prinsip asas kaedah melawan nafsu. Tiga kaedah ini telah digariskan oleh ulama pakar dalam meneliti perjalanan hati dan nafsu manusia. Dalam kitab Minhajul Abidin misalnya, Imam Ghazali telah menggariskan tiga prinsip asas berikut:
i) Menahan atau menyekat sumber kekuatannya.
Nafsu yang diumpamakan kuda yang liar itu boleh dijinakkan dengan syarat ditahan sumber yang memberikannya tenaga. Jadi, nafsu boleh dikawal dengan menahan makan (berpuasa). Oleh sebab itulah dalam Islam kita diwajibkan berpuasa sebulan dalam setahun. Dan digalakkan juga berpuasa sunat hari-hari tertentu. Malah mereka yang belum mampu berkahwin, nabi Muhammad s.a.w. menganjurkan mereka menjinakkan nafsu seks dengan berpuasa.
Selain menahan perut daripada banyak makan, ada lagi beberapa sumber kekuatan nafsu yang perlu disekat. Antaranya, menahan pandangan (mata) daripada yang haram, telinga daripada mendengar sesuatu yang berdosa, mulut daripada berkata-kata yang dilarang, hati daripada sifat-sifat mazmumah dan lain-lain. Semua ini perlu diketahui dengan cara belajar. Ilmu yang berkaitan dengan menjaga pancaindera inilah yang dimaksudkan dalam ilmu tasawuf sebagai akhlak. Hukum mempelajarinya, fardhu ain bagi setiap mukhallaf.
ii) Membebankan nafsu itu dengan ibadah.
Setelah nafsu yang diumpamakan sebagai kuda liar itu disekat sumber kekuatannya, langkah seterusnya ialah dengan dibebankan ibadah tertentu terutamanya ibadah khusus yang berbentuk fardhu dan sunat. Solat terutamanya, sangat diperlukan dalam kaedah ini semata-mata untuk ‘menyeksa’ nafsu. Bukan sahaja solat lima waktu tetapi solat malam (qiamulalil) sangat berkesan untuk menundukan hawa nafsu.
Begitu juga dengan zikrullah yang lain seperti membaca al-Quran serta wirid-wirid tertentu (yakni yang bersumberkan al-Quran, hadis-hadis sahih dengan tunjuk ajar dan didikan syeikh atau guru yang benar serta mendapat petunjuk (mursyid). Begitu juga dengan amalan sedekah, kerja-kerja amal, mengajar, belajar dan lain-lain amal kebajikan. Pokok pangkalnya, bebankanlah nafsu kita dengan ibadah hingga ia merasa letih untuk melakukan kejahatan. Ingatlah nafsu itu tidak pernah puas dan kehendanya tidak terbatas, maka ibadah yang dapat menundukkannya hendaknya begitu juga. Jangan terbatas dan jangan dibatasi oleh rasa puas.
iii) Berdoa minta bantuan Allah untuk menewaskannya.
Usaha menentang hawa nafsu hendaklah dimulakan, diiringi dan disudahi dengan berdoa kepada Allah. Nafsu itu makhluk Allah, maka Allah sahaja yang mampu memudahkan diri manusia untuk menguasai dirinya sendiri (nafsu). Bahkan, usaha awal kita untuk memperbaiki diri perlulah dimulai dengan membentuk komunikasi dan interaksi yang harmoni dengan Ilahi.
Hubungan ini dibentuk melalui doa. Jika Allah permudahkan, jalan mujahadah yang payah akan menjadi mudah. Bantuan Allah inilah yang sangat kita dambakan. Malah inilah pesan Rasululllah s.a.w. kepada Muaz bin Jabal dengan katanya:
“Wahai Muaz, aku sangat cinta kepadamu. Maka selepas kau mengerjakan solat jangan sekali-kali kau lupa berdoa kepada Allah dengan doa ini: “Ya Allah, bantulah aku mengingati-Mu, bantulah aku mensyukuri nikmat-Mu dan bantulah aku untuk mmperbaiki ibadah kepada-Mu.”
Banyak lagi doa-doa yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam bermujahadah melawan hawa nafsu ini. Antara doanya itu ialah: “Ya Allah ya Tuhanku, berilah aku taqwa, dan bersihkanlah diriku. Sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik yang membersihkan. Engkaulah pelindungku dan pemimpinku.”
LANGKAH-LANGKAH JALAN MUJAHADAH
Langkah-langkah tersusun untuk melawan hawa nafsu seperti berikut:
i) Belajar mengenai sifat nafsu dan angkaranya.
Belajar mengenai sifat-sifat mahmudah dan mazmumah (ilmu akhlak atau tasawuf) adalah wajib. Kita mesti mendapat ilmu yang digali daripada al-Quran dan Sunnah untuk mengetahui sifat-sifat nafsu, angkara kejatannya dan bagaimana melawannya. Para ulama telah mempermudahkan ilmu-ilmu ini mengikut kategorinya tersendiri.
ii) Membina kesedaran dan keazaman yang tinggi.
Tidak cukup dengan mempunyai ilmu sahaja tanpa kesedaran dalam hati dan keazaman yang kuat untuk mengamalkannya. Bagaimana jika kita hanya ada senjata (ilmu) tetapi tidak ada keingininan yang kuat untuk mngamalkannya apabila diserang musuh? Ilmu bukan untuk pengetahuan dan kefahaman semata-mata, tetapi yang lebih penting untuk diamalkan.
iii) Mempraktikkan ilmu.
Inilah tahap yang paling sukar tetapi inilah tahap yang paling penting. Perkara ini memerlukan satu iltizam yang kuat dalam diri kerana apa yang disukai nafsu adalah juga yang disukai oleh diri kita sendiri. Ramai orang yang tahu sesuatu kebaikan tetapi masih malas melakukannya. Dan ramai yang tahu sesuatu kejahatan tetapi masih tega melakukannya.
Semua itu kerana mereka belum ‘mahu’, dan baru sekadar ‘tahu’. Pengetahuan itu dicapai melalui proses belajar manakala kemahuan dibina dengan mempraktikkan apa yang telah kita pelajari. Dengan mempraktiokkan ilmu barulah ilmu yang bertapak di akal dapat dipasakkan ke dalam hati. Oleh sebab itu ‘tahu’ tempat letakkannya di akal tetapi ‘mahu’ itu letaknya di hati.
iv) Terus melatih diri dan bersifat konsisten melawannya.
Ramai juga orang yang telah tahu dan mahu melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan, tetapi tidak lama, mereka berpatah semula ke belakang. Bak kata peribahasa Melayu sekadar “hangat-hangat tahi ayam”. Mereka tidak berdaya untuk konsisten (istiqamah) dalam kebenaran. Apa yang perlu ialah latihan yang berterusan agar tahap pengetahuan dan kemahuan itu diteruskan hingga ke tahap kemampuan.
Imam Ghazali berpesan nafsu tidak dapat dikalahkan dengan tergesa-gesa. Kehendaknya tidak boleh ditekan sekali gus melainkan perlu ditahan secara bertahap-tahap. Latihan menundukkan hawa nafsu ini perlu dilaksanakan sedikit demi sedikit tetapi istiqamah selaras dengan sabda Rasulullah s.a.w.:
“Amalan yang baik ialah amalan yang berterusan (konsisten) sekalipun sedikit.”
“Alah bisa, tegal biasa,” begitulah nafsu yang jahat jika dilatih berterusan untuk melakukan kebaikan, akan terbiasalah nafsu itu dengan kebaikan dan kebajikan. Sampai ke tahap ini, nafsu itu akan menjadi tenaga penggerak atau kenderaan (kuda tunggangan) kepada manusia. Umpama, racun pada ular senduk – di situ ada racun, di situlah juga ada penawarnya. Sebab itu ditegaskan berkali-kali bahawa nafsu itu bukan untuk dihapus tetapi untuk diurus.
Jika diuruskan dengan baik, nafsu akan membawa kepada kemajuan rohaniah dan material dalam kehidupan. Nafsu seks yang diurus melalui pernikahan yang sah, akan memberi ketenangan, keberkatan dan rahmat dalam diri suami dan isteri. Ia juga meneruskan kesinambungan zuriat yang akan menjadi tenaga penggerakan kepada pembangunan ummah. Begitu juga nafsu makan yang terurus, akan memberi tenaga untuk beribadah dan menyebabkan terbentuknya jaringan perniagaan, industri makanan, hub halal, inovasi dan teknologi makanan dalam bidang bioteknologi dan sebagainya.
Manusia yang dibekalkan dengan unsur nafsu inilah yang menjadi sebab mereka dilantik menjadi khalifah di muka bumi – bukan malaikat, kerana dengan nafsu makmurlah muka bumi ini dengan pembangunan yang bersendikan hukum Allah. Sebaliknya, malaikat tidak mempunyai potensi ini kerana mereka sepi daripada sebarang keinginan dan rangsangan. Namun, jika nafsu tidak terurus manusia akan jatuh ke tahap yang lebih hina daripada haiwan (makhluk nafsu tanpa akal).
Jangan menoleh ke belakang… tempuhlah jalan mujahadah. Itulah jalan yang penuh saadah (kebahagiaan). Walaupun itu adalah jalan yang payah, tetapi itulah jalan yang paling mudah. Tidak ada jalan pintas!