Friday, October 7, 2011

Tak LURUS di jalan yang LURUS

Ahli Jemaah masjid telah menunggu hampir setengah jam. Penceramah yang dijemput masih belum tiba. Anak-anak di ruang masjid telah mula membuat bising. Suasana yang sedia panas meresahkan lagi orang-orang tua yang terus menunggu dengan setia. Menunggu lama untuk mendengar ceramah agama akan mendapat pahala, begitulah agaknya pujuk hati mereka.
“Ustaz ini memang begitu. Selalu lewat,” bisik seorang ahli kariah di sebelah saya.
“Minggu dulu pun macam ni,” balas orang di sebelahnya.
“Tak mengapa. Ceramahnya semangat. Sedap didengar,” pintas seorang lagi. Saya hanya mendengar, walaupun dalam hati sudah berkira-kira untuk meninggalkan majlis. Ia telah memakan masa yang diperuntukkan. Masih banyak lagi kerja yang perlu diselesaikan menunggu giliran.
Hampir 40 minit kemudian baru penceramah datang, lengkap dengan jubah dan serbannya. Dalam ceramah yang berdegar-degar itu dia memperkatakan tentang pentingnya mengikut sunah Rasulullah. Saya mendengar sambil mencatat. Cuba menenangkan hati walaupun hati masih tertanya-tanya mengapa sunnah Rasulullah s.a.w dalam menepati janjinya dan menjaga masa tidak disentuh sekali.
Terbayang urutan sejarah bagaimana rasulullah s.a.w sentiasa datang awal ke Masjidil Haram sehingga baginda dilantik menjadi hakim untuk meletakkan ‘Hajarul Aswad’ yang gugur dari tempatnya dalam peristiwa banjir yang melanda kota Mekah. Begitu juga dengan insiden bagaimana Rasulullah menunggu hampir 3 kali seorang yang berjanji bertemu dengannya tetapi tidak datang. Rasulullah sangat menepati masa dan alangkah baiknya jika sunah menepati masa ini dilaksanakan oleh ustaz yang memakai serban dan jubah itu. Nampak lebih sempurna dan indah.
Saya benar-benar skeptis dengan lambang-lambang agama yang kosong makna. Elok juga sunah yang hendak diamalkan disusun mengikut prioriti amal (‘aulawiyat’). Ini kerana ada orang yang sangat menitik-beratkan soal kurang utama dengan meninggalkan soal yang lebih utama.
Bukan sahaja di tempat kita tetapi nun di Mekah sekalipun betapa ramai yang bertolak-tolakan (kekadang sehingga ke peringkat berkelahi) sewaktu ingin melaksanakan ibadat sunat mencium Hajarul aswad. Sedangkan persaudaraan itu lebih wajib dipertahankan berbanding amalan sunat (mencium Hajarul Aswad).
Ya, saya tidak nafikan sudah dalam berpakaian. Serban dan jubah, memang pakaian sunah. Namun kekadang orang hanya mempertahankan bentuk pakaian, tetapi tidak sunah kebersihannya. Akhirnya, masyarakat yang tidak faham mengutuk jubah dan serban yang disinonimkan dengan bau hapak dan kotor. Begitu juga sunah janggut dan misai, ada yang benar-benar iltizam membelanya tetapi kurang terurus. Tidak dirapikan apalagi disisir dengan sebaik-baiknya.
Saya pernah bertemu dengan seorang yang sangat cerewet dengan persoalan tajwid. Sering dia mufaraqah dalam solat berjemaah kerana dakwanya Imam tidak betul bacaan fatehahnya.
“Dadnya kurang tebal,” komennya satu ketika.
“Ronya tidak sempurna,” ulasannya pada satu ketika yang lain.
Begitulah, ada sahaja yang tidak kena dalam bacaan tajwid orang lain. Dia begitu teliti hampir-hampir ke arah cerewet. Namun, sayang seribu kali sayang… anak-anak perempuannya tidak menutup aurat. Anak-anak perempuannya selamba sahaja keluar rumah dengan pakaian yang terdedah, tidak pula mendapat teguran daripadanya. Dia begitu teliti tentang hukum bacaan, tetapi tidak teliti pula dalam hukum amalan.
Di satu ketika saya pernah bertemu dengan seorang yang dianggap intelektual Islam – pakar dalam istilah, bahasa dan nahu sekali gus pakar epistemologi. Pantang tersalah istilah atau huraian, dia akan menerangkannya secara terperinci. Kagum saya melihat kepintaran dan komitmennya. Tetapi saya sedikit kecewa kerana satu ketika saya dapati dia begitu longgar dalam memilih makanan yang halal.
Sewaktu heboh orang membincangkan soal logo halal dan makanan yang haram, beliau sebaliknya selamba makan di restoran-restoran yang meragukan.
“Tuan, kita patut berhati-hati.” Pernah saya mengingatkan.
“Jangan terlalu teliti. Tak merasa kita nanti.”
Saya benar-benar terkejut. Mana ketelitiannya tentang bahasa serta istilah yang ingin dipertuturkan sewaktu memilih makanan yang hendak dimasukkan ke dalam perut? Padahal Rasulullah saw seorang yang sangat fasih balaghahnya tetapi baginda juga sangat teliti dalam memilih makanan. Pernah baginda melarang cucunya memakan kurma yang disedekahkan kerana keluarga tidak boleh makan makanan sedekah. Bahkan Sayidina Abu Bakar pernah memuntahkan kembali susu yang diperoleh daripada sumber yang diragukan.
Saya masih ingat apa yang terjadi dalam majlis sambutan Maulid Nabi beberapa tahun yang lalu. Semua penceramah menekankan betapa pentingnya mengikut sunah Rasulullah dalam seluruh aspek kehidupan. Saya melihat sendiri betapa semangatnya peserta yang mendengarnya. Mengangguk-angguk, menangis dan ketawa dengan alunan kata dan intonasi suara penceramah yang terkenal.
Namun sayang sebalik sahaja selesai majlis Maulid itu sampah-sampah dan bekas minuman air serta botol-botol plastik berserakan. Hati saya jadi tertanya-tanya, di manakah sunnah Rasulullah saw yang sangat menjaga kebersihan itu kita letakkan? Ke mana perginya semangat yang meluap-luap ketika melaungkan selawat tadi?
Mengapa tidak semangat itu diterjemahkan ke dalam bentuk realiti yakni dengan membuang sampah dan sisa minuman serta makanan ke dalam tong sampah yang disediakan. Bukan kebersihan itu pernah ditegaskan oleh Rasulullah saw sebagai sebahagian daripada keimanan?
Pernah juga saya bertemu dengan seorang usahawan yang begitu mengagumi Rasulullah saw dalam bidang keusahawanan. Segala yang tersurat dan tersirat tentang sifat keusahawanan Rasulullah saw dibongkarnya.
“Bagindalah aspirasi dan inspirasi saya dalam bidang perniagaan.”
“Bila saya memberi motivasi kepada anak-anak remaja dan pelajar-pelajar yang berminat dalam perniagaan tidak lain, hanya Rasulullah s.a.w sahaja yang saya tonjolkan sebagai rol model.”
Saya begitu mengaguminya sehinggalah semasa bermusafir bersamanya saya lihat dia begitu culas dengan solat. “Kita perlu berhenti untuk solat jamak qasar,” pinta saya.
“Tak boleh qada sahaja ke?” balasnya.
Saya menggeleng-gelengkan kepala. Lupa agaknya dia tentang sunah Rasulullah yang begitu ‘punctual’ dalam menjaga waktu solat. Agaknya dia terlalu asyik meneliti sunah Rasulullah saw dalam bidang ekonomi terlupa persoalan asas dan teras dalam Islam yakni solat.
Bukan sahaja lewat solat, tetapi tidak solat. Ya, sunah dalam perniagaan memang diikutnya, tetapi bagaimana sunah dalam menjaga solat? Ini mengingatkan saya kepada kecenderungan masyarakat yang melihat Islam pada nilai ekonomi (muamalat) dan aspek nikah kahwin (munakahat) sahaja tetapi lupa pada soal ibadat dan jinayat (perundangan).
Sahabat saya pernah bercerita tentang seorang kenalannya yang kuat berzikir, lemah lembut tutur katanya.
“Dia betul-betul lemah-lembut dan kuat berzikir.”
“Baguslah kalau begitu. Apa masalahnya?’
“Masalahnya, apabila dia memandu. Lajunya macam pelesit. Menggeletar aku dibuatnya. Dia berkata orang yang ingat Allah, tidak takut mati!”
Saya tersenyum. Memandu melebihi had laju sepakat para ulama mengatakan bahawa itu satu dosa. Jadi, itu bukan sunah. Berani mati di jalan yang lurus (di lebuh raya) amat beza dengan berani mati ‘di jalan’ yang lurus (mati syahid, mati dalam iman dan ibadah kepada Allah). Sunah berzikir dan bertutur dengan lemah-lembut memang baik, tetapi jangan abaikan keselamatan nyawa sendiri dan orang lain ketika memandu kereta.
Ada pula lelaki hidung belang yang beria-ia hendak berpoligami kononnya untuk mengikuti sunah nabi, tetapi isteri masing-masing membuka tembelang perangai mereka yang tidak solat, tidak mendidik anak-anak, kasar, pemarah dan culas dalam memberi nafkah serta mendidik anak-anak.
Semua kisah di atas saya paparkan sebagai peringatan bersama tentang betapa lemahnya kita dalam mengikut sunah Rasululllah saw. Kita cenderung melihat di sudut-sudut tertentu yang kita sendiri punya kepentingan. Al Hasil, sering kali kita dapati dorongan memakan makanan sunah lebih hebat diuar-uarkan berbanding dengan mengajak melaksanakan sunah-sunah yang lebih besar dan afdal.
“Ayah, jika minum susu kambing kita boleh jadi baik. Ini minuman sunah.”
“Tapi jangan hanya ikut sunah minum susu kambing sahaja, ikut sunah yang lebih utama daripada itu, “ balas saya.
“Apa dia?”
“Bangun solat Subuh, tinggalkan perkara yang sia-sia.”
“Makan kismis ini yang didoakan ini bagus ayah. Fikiran kita jadi tajam. Ini juga makanan sunah.”
“Ya. Tetapi berusaha menelaah pelajaran dan memberi tumpuan ketika belajar adalah lebih sunah.”
Anak saya terdiam. Sikapnya memilih yang senang-senang dan enak-enak sahaja daripada as sunah saya perbetulkan. Memang untuk beramal, kita boleh pilih yang mudah-mudah dan senang-senang dahulu tetapi kita mesti tahu dan berusaha untuk mengamalkan yang lebih utama. Mana yang ‘sesuai’ dengan selera dan kecenderungan kita, itu yang diutamakan. Manakala yang perlukan kita bersusah payah serta mujahadah kita pinggirkan… seolah-olah itu bukan sunah.
Minum susu kambing misalnya memang sunah, ya itu ada kesannya dalam pembentukan peribadi kita,namun tentulah meninggalkan mengumpat dan memfitnah, bermujahadah melawan nafsu, membaca Al Quran dan mendirikan solat lebih utama dalam usaha kita untuk memperbaiki diri. Ya, tidak ada salahnya menguar-uarkanlah makanan sunah yang boleh membentuk hati dan peribadi, tetapi jangan terlupa aspek-aspek lain yang jauh lebih penting seperti menjaga pergaulan, mengamalkan cara hidup bersandarkan syariat dan lain-lain.
Jadi, persoalannya betapa ramai orang yang mendakwa dan merasakan dia telah mengikut sunah padahal apa yang sebenarnya diikutinya hanyalah hawa nafsu sendiri? Inilah gara-gara tidak tulus mengikut jalan yang lurus!

Thursday, January 6, 2011

Anda Muslim...Mari cari 'nilai' berharga ini

Imej umat Islam yang buruk dan negatif ini perlukan satu usaha pembaikan yang total dan menyeluruh. Usaha ini sangat perlu kerana sudah acap kali Islam terhukum oleh kelemahan umatnya sendiri. Walaupun kita boleh berhujah, kelemahan umat Islam bukanlah bukti kelemahan ajaran Islam, tetapi dunia akan terus tertanya-tanya, “Kalau begitu, di manakah keupayaan Islam dalam memacu kejayaan dan kecemerlangan umatnya?
Sebenarnya apa yang kita cari berada terlalu dekat dengan kita. Setiap minggu kita mendengarkan kekuatan itu dilaungkan oleh khatib-khatib dari mimbar masjid di seluruh dunia pada setiap hari Jumaat. Rahsia kekuatan itu adalah taqwa. Kita perlu kembali kepada taqwa – memahami, menghayati, mengamalkan dan memperjuangkannya. Tidak ada kekuatan lain selain taqwa yang mampu membawa kita keluar daripada belenggu kehinaan ini.
Namun kenyataan di atas mungkin dipandang sinis atau skeptik oleh banyak pihak dikalangan umat Islam sendiri. Mungkin tidak diluahkan dengan kata-kata, tetapi melalui praktiknya ramai yang memandang sepi pada pesan taqwa yang sangat penting itu. Apa tindakan kita untuk memahaminya? Apa program kita untuk membinanya? Apakah ada kebimbangan dan kerisauan kita apabila kita melanggar prinsip-prinsip? Jawapannya, sangat menyedihkan.
KEPENTINGAN TAQWA
Taqwa sangat penting. Justeru, ia dijadikan satu pesanan yang wajib diperdengarkan oleh khatib apabila berkhutbah. Seorang lelaki yang berumur 45 tahun akan mendengar sekurang-kurangnya 1560 kali pesan taqwa dalam hidupnya (jika dia tidak pernah meninggalkan solat Jumaat bermula daripada umurnya 15 tahun). Dan di dalam Al Quran, perkataan yang berkaitan taqwa Allah sebutkan sebanyak 272.
Taqwa inilah yang diwasiatkan oleh Allah awal-awal lagi kepada Nabi Adam a.s: “Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian taqwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat ( Al-A’raf : 26)
Taqwa juga diletakan sebagai penanda aras kemuliaan manusia oleh Pencipta manusia sendiri (Allah). Perbedaan manusia dan kemuliaan manusia ditentukan oleh nilai dan kadar taqwanya yang ada di dalam dadanya. Firman Allah: “Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu adalah yang bertaqwa.”(Al-Hujurat: 13)
Seruan Allah pada surat Ali Imran ayat 102, “Bertaqwalah kamu sekalian dengan sebenar-benarnya taqwa dan janganlah kamu sekali-kali mati kecuali dalam keadaan muslim”. Dalam ayat yang lain, Allah menegaskan lagi, “telah Aku wasiatkan kepada orang-orang yang diberi kitab sebelum kamu dan kepada kamu agar kamu sekelian bertaqwa kepada Allah.
Bayangkan jika ada seorang pemimpin negara mengulang-ulang satu perkara sama ada dalam bentuk gagasan, wawasan, peringatan atau amaran, tentulah perkara itu sangat penting kepada rakyatnya. Maka lebih-lebih lagi bila Allah – Pemerintah sekalian alam, telah menegaskan berkali-kali tentang kepentingan taqwa. Sudah tentu akan beruntunglah mereka yang mengambil berat tentang pesan itu dan celakalah mereka yang mengabaikannya.
Sesungguhnya Allah lebih mengetahui kemaslahatan hamba-Nya dari sesiapa pun dan Allah lebih sayang kepada kita lebih dari sesiapa pun, jika ada di dalam kehidupan ini yang lebih banyak manfaat dan kebaikannya dan menyelamatkan selain daripada taqwa, nescaya Allah akan memerintahkan kepada manusia untuk menngambil berat tentang perkara itu. Namun kerana peringatan Allah hanya difokuskan kepada taqwa, maka tentu sahaja itulah perkara yang pertama dan utama mengatasi segala-galanya.
MANFAAT TAQWA
Imam Ghazali ketika menjelaskan manfaat taqwa telah berkata:
“Taqwa itu harta terpendam yang berharga sekali jika engkau mendapatnya. Maka seolah-olah berkumpul kebaikan dunia dan akhirat di dalam taqwa itu. Dan perhatikan apa yang difirmankan dalam Al Quran mengenai taqwa. Banyak sekali Allah memberi nkeuntungan, pahala yang besar dan keselamatan yang disandarkan pada sifat taqwa.”

Apa yang dikatakan oleh Imam Ghazali itu adalah bersumberkan ayat Quran ini:
“Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. Iaitu orang-orang yang beriman dan mereka selalu bertaqwa. Bagi mereka berita gembira di dalam kehidupan di dunia dan (dalam kehidupan) di Akhirat. Tidak ada perubahan bagi kalimat-kalimat (janji-janji) Allah.Yang demikian itu adalah kemenangan yang besar.” (Yunus: 62-64)
Antara kelebihan taqwa di dalam Al Quran ialah:
1. 1. Bantuan dan perlindungan Allah.
Allah akan hanya membela orang yang bertaqwa. Menjadi seorang Islam, belum ada jaminan mendapat bantuan Allah. Ini menjelaskan mengapa umat Islam ditindas dan dikalahkan oleh musuh-musuh Islam pada hari ini. Firman Allah:
“Allah jadi pembela (pembantu) bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Al Jasiyah: 19)
1. 2. Penyelesaian masalah dan rezeki.
Selain daripada rajin berusaha dan sentiasa produktif, orang bertaqwa akan mendapat menyelesaikan masalah dalam hidup dan rezekinya dijamin oleh Allah saw.Firman Allah:
“Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, Allah akan lepaskan dia daripada masalah hidup dan akan memberi rezeki sekira-kira tidak diketahui dari mana sumbernya.” (At Thalaq: 2-3)
“Jika penduduk satu kampung beriman dan bertaqwa, Tuhan akan bukakan berkat dari langit dan bumi.” (Al A’raf: 96)
3. Dijanjikan syurga dan diselamatkan dari neraka.
“Akan tetapi orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhannya bagi mereka Syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya, sedang mereka kekal di dalamnya sebagai tempat tinggal dari sisi Allah.” (Ali Imran: 198)
“Dan bersegeralah kamu kepada ampunan daripada Tuhanmu dan kepada Syurga yang luas seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa.” (Ali Imran: 133)
“ Itulah Syurga yang akan Kami wariskan kepada hamba-hamba Kami yang selalu bertaqwa.” (Maryam: 63)
“Lalu Aku selamatkan orang-orang bertaqwa dan menjauhkan Neraka bagi mereka yang bertaqwa.”
1. 4. Ditutupi kesalahan dan dilipatgandakan pahala.
“Itulah perintah Allah yang diturunkan-Nya kepada kamu. Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan menutupi kesalahan-kesalahannya dan melipatgandakan pahala baginya.” (At Thalaq: 5)
1. 5. Darjat yang tinggi di Hari Akhirat.
“Kehidupan dunia kelihatan indah bagi orang kafir sehingga mereka memandang rendah kepada orang beriman, tetapi orang yang bertaqwa adalah lebih tinggi daripada mereka di hari Kiamat.” (Al Baqarah: 212)
6. Dicintai Allah.
“Sebenarnya, siapa yang menepati janji (yang dibuatnya) dan bertaqwa, maka sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaqwa.” (Ali Imran: 76)
1. 7. Diampuni dosa.
Orang bertaqwa begitu sensitif dengan dosa. Bahkan mereka sentiasa merasa berdosa walaupun tidak terlibat dengan dosa. Justeru mereka sentiasa melazimi taubat. Dan taubat mereka akan sentiasa diterima.
“Hai orang-orang yang beriman, jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan memberikan kepadamu furqan dan menghapuskan segala kesalahan-kesalahan kamu dan mengampuni (dosa-dosa)mu. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar.” (Al Anfal: 29)
8. Diterima amalan.
“Sesungguhnya Allah hanya menerima ibadah (korban) dari orang-orang yang bertaqwa.” (Al Maidah: 27)
9. Dikurniakan keberkatan hidup.
“Jika penduduk satu kampung beriman dan bertaqwa, Tuhan akan bukakan berkat dari langit dan bumi.” (Al A’raf: 96)
10. Pewaris kekuasaan di bumi.
“Akan Aku wariskan bumi ini kepada orang-orang yang soleh (bertaqwa).” (Al Anbiya: 105)
11. Diberi ilmu yang bermanfaat.
Orang bertaqwa akan mendapat tambahan ilmu menerusi pengalaman ilmu yang sedia diketahuinya. Bahkan, ilmu itu bukan hanya berlegar di minda, tetapi menjunam ke hati dengan kefahaman dan pengahayatan yang mendalam.
“Bertaqwalah kepada Allah, nescaya Allah akan mengajar kamu.” (Al Baqarah: 282)
12. Dipermudahkan urusan.
“Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, Allah akan permudahkan segala urusannya.” (At Thalaq: 4)
13. Diselamatkan dari tipu-daya musuh.
Yahudi dan Nasrani terkenal dengan strategi dan perancangan yang licik untuk menghancurkan umat Islam. Mereka begitu sistematik, fokus dan komited untuk melemahkan perjuangan umat Islam. Namun, orang bertaqwa sentiasa berjaya mengenal dan mengatasi tipu-daya mereka itu.
“Jika kamu bersabar dan bertaqwa, nescaya tipu daya mereka sedikit pun tidak mendatangkan kemudharatan kepada kamu.” (Ali Imran: 120)
14. Diberi petunjuk dalam membezakan antara kebenaran dan kebatilan.
Di tengah kecelaruan faham dan kekeliruan bertindak tidak kira pada zaman apa dan situasi apa pun orang bertaqwa sentiasa dapat membezakan antara kebenaran dan kebatilan.
“Hai orang-orang beriman, jika kamu bertaqwa kepada Allah, Dia akan memberi kepada kamu furqan (membezakan antara kebenaran dan kebatilan.” Al Anfal: 29
TAQWA MENURUT AL QURAN
Mari kita lihat dulu makna taqwa melalui ayat al Quran. Di dalam Kitab Minhajul Abidin, Imam Ghazali menyenaraikan makna taqwa mengikut Al Quran:
• Perasaan takut dan hebat.
“Dan kepadaKulah kamu harus takut.”
“Takutlah kamu pada hari dikembalikan kepada Allah.”
• Bakti dan Tunduk.
“wahai sekalian orang-orang beriman berbaktilah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar bakti.”
• Membersih hati daripada dosa.
“Sesiapa yang taat kepada Allah dan rasulNya, dan takut kepada Allah serta taqwa kepada-nya maka mereka adalah orang-orang yang beruntung.”
Jadi, kesimpulan rengkas erti taqwa melalui ayat Quran tersebut adalah taat, takut juga membersihkan hati daripada sebarang kederhakaan. Sebenarnya banyak lagi erti taqwa yang boleh diambil dari al Quran. Antaranya ialah tauhid dan iman, taubat, meninggalkan maksiat dan ikhlas.
Justeru, taqwa itu bolehlah disifatkan sebagai himpunan segala sifat-sifat kebaikan (mahmudah) sama ada yang zahir ataupun yang batin. Rasulullah saw bersabda:“Hendaknya kamu bertaqwa sebab ia adalah kumpulan segala kebaikan, dan hendaknya engkau berjihad karena ia sikap kependetaan seorang muslim, dan hendaknya engkau selalu berdzikir menyebut nama Allah karena dia cahaya bagimu” (HR. Ibnu Dharis dari Abu Said Al-Khudhari).
ANALOGI PARA SAHABAT
Para sahabat utama Rasulullah saw juga ada memberikan pengertian taqwa dengan pelbagai pendekatan. Ubay bin Ka’ab umpamanya, telah memberi satu analogi yang sangat jelas bila dia ditanya oleh Sayidina Umar r.a, apakah itu taqwa? Dia menjawab; “Pernahkah kamu melalui jalan berduri?” Umar menjawab; “Pernah!” Ubay menyambung, “Lalu apa yang kamu lakukan?” Umar menjawab; “Aku berhati-hati, waspada dan penuh keseriusan.” Maka Ubay berkata; “Maka demikian pulalah taqwa!”
Manakala seorang lagi sahabat Rasulullah saw, yakni Abu Darda r.a telah berkata:
“Kesempurnaan taqwa itu adalah sentiasa seorang hamba itu sentiasa berjaga-jaga dengan Allah ( arahan dan larangannya) walau dalam hal sekecil zarah, sehingga dia akan meninggalkan sesuatu yang halal sekalipun, kerana takut jatuh di dalam yangharam.”
Apa yang dikatakan oleh Abu Darda itu selaras dengan hadis Rasulullah saw:
“Tidak akan sampai seorang hamba ke darjat orang bertaqwa sehingga dia meninggalkan yang hal kecil yang mungkin tidak mengapa, kerana bimbang jatuh di dalam yang ditegah Allah. ( Riwayat Ahmad dan Al-Bukhari).
TAQWA DARI SEGI BAHASA
Manakala dari segi bahasa taqwa bererti pemeliharaan, penjagaan atau perlindungan. Ertinya, taqwa itu adalah rasa di dalam hati yang menggerakkan seseorang memelihara dirinya daripada melakukan perkara-perkara dosa sama ada besar atau kecil yang boleh memudaratkan agama. Asal-usul taqwa adalah menjaga dari kemusyrikan, dosa dan kejahatan dan hal-hal yang meragukan (syubhat).
Keadaan itu sama dengan orang sakit yang berpantang daripada sesuatu makanan kerana takut penyakitnya bertambah kronik. Taqwa juga berarti kewaspadaan, menjaga benar-benar perintah dan menjauhi larangan.
Perkara yang memudaratkan agama itu terbahagi dua. Pertama, perkara-perkara yang jelas haram. Kedua, perkara-perkara halal yang diambil secara berlebihan. Justeru Imam Ghazali telah membahagikan taqwa itu kepada dua bahagian. Pertama, Taqwa Fardu – istiqamah dan taat menjaga diri daripada melakukan perkara yang haram. Kedua, Taqwa Adab – menahan diri daripada berlebih-lebihan dengan perkara yang halal kerana takut dihisab dan malu kepada Allah pada hari Kiamat kelak.
Menurut para ulama tingkatan taqwa itu ada tiga:
1. Membersihkan diri dari syirik.
Maksudnya seseorang itu membersihkan dirinya daripada menyekutukan Allah sama ada dalam akidah (menyembah selain Allah) mahupun dalam ibadah (riyak, ujub, sum’ah).
1. Membersihkan diri daripada dosa besar.
Taqwa peringkat ini tercapai apabila seseorang menjauhi dosa besar yang zahir seperti minum arak, berzina, judi dan lain-lain. Juga meninggalkan dosa besar yang batin seperti takabur, hasad dengki, tamak dan lain-lain.
1. Menjauhi dosa-dosa kecil.
Orang bertaqwa tidak memandang kecil atau besarnya dosa tetapi mereka melihat kepada siapa mereka berdosa. Oleh sebab sedar perbuatan dosa itu adalah kepada Allah maka mereka sangat berhati-hati untuk tidak melakukan sebarang dosa sekalipun dosa kecil. Dalam konteks ini Ibn Abbas telah berkata: “Orang bertaqwa itu ialah orang yang menjauhi (menjaga dirinya) daripada syikrik, dosa-dosa besar dan kejahatan (dosa-dosa kecil.”
SUDAHKAH KITA BERTAQWA?
Justeru, orang bertaqwa akan sentiasa memelihara dirinya daripada semua batas dan hukum-hukum agama. Segala yang wajib dan sunat akan dilaksanakannya. Manakala segala yang haram dan makruh akan ditinggalkannya. Bukan itu sahaja malah, mereka sangat berpada-pada dengan segala yang halal kerana takut dihisab (diperhitungkan di akhirat kelak). Ini selaras dengan kata-kata Sayidina Ali: “Aku sangat berhati-hati dengan dunia kerana haramnya diazab, halalnya dihisab.”
Apabila seseorang memelihara hukum-hukum Allah, maka Allah akan memeliharanya. Dan Allahlah sebaik-baik pemelihara. Dalam erti kata yang lain, dengan bertaqwa seseorang telah mengambil Allah sebagai Pemelihara dalam kehidupan dunia dan akhiratnya. Rasulullah saw bersabada: “Peliharalah Allah, maka Allah akan memelihara kamu…”
Soalnya sekarang apakah kita telah dipelihara Allah? Jawabnya bergantung pada pertama, sejauhmanakah kita telah memelihara hukum-hukam, batasan dan segala kehendak Allah? Jelas sekali tahap ketaqwaan kita masih jauh daripada piawaian yang dikehendaki Allah. Al hasil, kita hingga kini belum mendapat bantuan Allah dalam menghadapi musuh-musuh Islam.
Al Quran telah menegaskan, jaminan kejayaan hanya untuk para muttaqin. Dan orang bertaqwa akan berjaya mengatasi masalahnya dan segala tipu-daya musuh. Hanya menjadi seorang Islam (muslim) belum menjamin kejayaan keatas musuh.
Dan ditegaskan bahawa para muttaqin ialah imereka yang memiliki dua kekuatan. Pertama, ke¬kuatan rohaniah yang bersumberkan ibadah dan sifat-sifat mahmudah. Kedua, kekuatan lahiriah yang dibangunkan se¬cara optimum mengikut batas keupayaan yang paling tinggi.
Maksudnya, orang bertaqwa ialah mereka yang baik hubu¬ngannya dengan Allah dan manusia. Dan mereka juga cemerlang dalam bidang-bidang yang berkaitan dengan ke¬hidupan. Ini selaras dengan peranan manusia di muka bumi sepertimana yang tercatat dalam Al Quran – sebagai hamba, khalifah dan pemakmur muka bumi.
Dilihat dari sudut ini, jelas umat Islam ini belum bertaqwa. Walaupun masih mengakui Islam, tetapi ramai diantara kita tidak meletakkan Islam sebagai landasan pemikiran dan tindakan. Malah ramai pemimpin Islam di seluruh dunia masih di¬dominasi oleh pemikiran sekular, sifat mazmumah dan perbuatan mungkar. Walau¬pun masih beragama Islam, tetapi inilah yang menyebabkan kita belum layak mendapat pembelaan Allah.
Dari segi kekuatan lahiriah khususnya di bidang ke¬tenteraan, ekonomi, sains teknologi, juga jelas kekuatan pihak musuh Islam masih mengatasi kita. Padahal orang muttaqin tidak pernah meminggir¬kan faktor ini justeru Allah sendiri telah mengingatkan me¬lalui firman-Nya:“Dan bersiap-sedialah kamu dengan segala kekuatan daripada tentera-tentera berkuda…”
Maksudnya, orang yang bertaqwa, tidak sekali-kali mengabaikan persiapan lahiriah secara optimu, justeru itu juga hakikatnya perintah Allah. Bahkan, merekalah yang paling serius mempersiapkan diri sebaik mungkin. Cuma andainya berlaku kekurangan juga maka bantuan Allah akan menampung ’kekurangan’ lahiriah itu dengan syarat ketaqwaan mereka sudah mencapai piawaian yang layak diberi bantuan.
Adalah salah sekali, jika dikatakan para muttaqin hanya bersenjatakan doa dan zikir untuk menentang musuh-musuhnya. Muttaqin yakin, taqwa kekuatan primer dan lahiriah adalah kekuatan sekunder. Inilah yang dibuktikan oleh pemimpin Islam seperti Muhammad Al Fateh dan Sultan Salehuddin Al Ayubi. Mereka ‘pakar’ rohani dan mereka juga ‘pakar’ strategi. Mereka dikurniakan kepintaran akal dan ilham yang luar biasa ketika mengahadapi musuh-musuh Islam.
Malangnya, ketaqwaan dan kekuatan lahiriah kita masih tidak mencapai tahap yang dimaksudkan. Ke¬canggihan teknologi dan perancangan yang strategik musuh jauh mengatasi kita. Ditambah dengan kekurangan sifat taqwa, maka kita dengan mudah diratah oleh tipu daya dan kekuatan musuh. Dan ini jelas menunjukkan bahawa kita belum memahami sepenuhnya sama ada yang tersurat apatah lagi yang tersirat di sebalik pesan taqwa!

Thursday, October 28, 2010

Masalah itu 'didikan' Allah..

Setiap masalah yang hendak diselesaikan mestilah difokuskan kepada real problem (masalah sebenar) bukan kepada presenting problem (masalah yang zahir). Apabila kita menumpukan kepada real problem ertinya kita sedang berdepan dengan punca masalah yang lebih bersifat dalaman dan ini memaksa kita menyelami soal hati dan perasaan manusia.
Manakala jika kita hanya berlegar-legar di sekitar presenting problem kita hanya terapung di permukaan yakni berdepan dengan akibat sesuatu masalah. Cara kedua ini tidak akan menyelesaikan sesuatu masalah secara tuntas. Mungkin kita berjaya seketika mengubat akibatnya tetapi masalah itu akan berulang lagi kerana punca sebenarnya tidak diatasi. Hendaklah difahami benar-benar maksud saya ini.
Jika kita ingin menyelesaikan sesuatu masalah, terutamanya yang melibatkan soal perhubungan (komunikasi dan interaksi) dengan orang lain kita hendaklah fokuskan langkah-langkah penyelesaiannya kepada ‘lingkungan pengaruh’ kita bukan ‘lingkungan kebimbangan’ kita. Maksud saya, hendaklah kita bertindak pada batas dan keupayaan diri kita sendiri bukan di luar batasan itu.
Hakikatnya, kita hanya mampu mengawal cara berfikir, pertimbangan, keputusan dan tindakan diri kita sendiri bukan fikiran, pertimbangan, keputusan dan tindakan orang lain. Kejayaan mengubah manusia lain bermula dengan kejayaan mengubah diri kita sendiri. Jangan marah kalau orang lain tidak berubah seperti mana kita kehendaki kalau diri kita sendiri juga tidak berubah mengikut apa yang kita kehendaki.
Tegasnya, lihatlah apa yang anda boleh lakukan pada diri sendiri terlebih dahulu untuk menyelesaikan masalah ini kemudian dengan sendirinya pengaruh kita untuk mengubah orang lain akan meningkat.
Untuk berjaya dalam perhubungan sesama manusia kita hendak memahami orang lain terlebih dahulu, barulah orang lain akan memahami kita. ‘First seek to understand than to be understood’ – pertama carilah jalan untuk memahami kemudian barulah kita difahami. Inilah adalah prinsip dalam mana-mana perhubungan. Jika prinsip ini dilanggar, krisis dalam perhubungan akan berlaku. Maksudnya, kita mestilah terlebih dahulu menjadi ‘telinga’ daripada menjadi ‘mulut’.
Dengar, fahami, hayati, simpati dan kalau boleh empati terhadap apa yang selalu diperkatakan oleh orang lain. Jangan terlalu gopoh hendak menyuarakan isi hati, pandangan dan idea kita… nanti kita tidak akan difahami. Tetapi bersabarlah, dengar dahulu apa yang hendak disampaikan oleh orang lain samada yang disuarakan dalam bentuk lisan atau perbuatan. Tidak semestinya mereka benar… tetapi fahamilah kenapa dan mengapa mereka berpendirian begitu.
Jika mereka yang benar, ini adalah peluang kita untuk mengakui kesalahan dan mula membaiki diri sendiri. Oh, rupanya aku yang menjadi punca masalah. Sebaliknya jika tidak, kita mempunyai peluang untuk menyuarakan ‘kebenaran’ kita dengan lebih tenang, matang dan diterima setelah sekian lama anda sabar mendengar. Ingatlah, ‘what you give, you get back’ – kita akan mendapat semula apa yang kita berikan.
Jika kita sanggup sekian lama mendengar pandangan orang lain, pasti cepat atau lambat pintu hati orang lain akan terbuka untuk mendengar pandangan kita. Ah, selama ini dia begitu sabar mendengar segala pandanganku apa salahnya kalau sekarang aku pula mendengar pandangannya, begitulah nanti suara hati mereka terhadap kita. Ingat, mengamalkan prinsip ini tidak akan merugikan kita, kata orang ‘tidak kalah dengan mengalah’ sebab kuasa mendengar lebih kuat dari kuasa bercakap. Mungkin kerana itu agaknya Allah kurniakan kita dua telinga berbanding satu mulut!
Kemudian, lihat masalah dengan peluang mendapat didikan di sebaliknya. Masalah hakikat adalah agenda pembelajaran dan pendidikan yang datang ‘direct’ daripada Allah untuk membangunkan diri kita. Manusia berkembang dan berkemajuan dengan melangkah anak tangga masalah demi masalah dalam hidupnya. Ini ‘syllbuss’ pelajaran yang anda tidak boleh mengelakkan diri.
Jika dicuba juga… kita akan menghadapi ‘sylbuss’ yang sama melalui peristiwa, manusia dan situasi yang lain. Ingat, masalah ialah anak tangga kehidupan. Jika anda merungut, kenapa aku terpaksa melaluinya, anda akan terus melekat di anak tangga itu. Jika kita cuba melompat, kita akan jatuh tersembam. Kata orang, jangan berlari ketika menaiki tangga.
Jadi, selalu sematkan di hati, bahawa orang-orang yang berjaya dalam hidup sebenarnya telah melalui agenda demi agenda yang sarat dengan dalam episod kehidupan mereka. Malangnya, kita selalu melihat apabila mereka telah sampai ke puncak tetapi ketika mereka mendaki di lurah atau tersembam ke lembah… tidak ada siapa yang tahu, apalagi ingin belajar darinya.
Dan ingatlah, ini semua hakikatnya daripada Allah jua. Cuma ia didatangkan melalui perlakuan dan sikap manusia. Sebagai hamba, kita perlu menerimanya… Ini akan memberikan satu kekuatan dalam diri kita. Yakinlah, Allah mendatangkan ujian yang setimpal dengan keupayaan kita. Malangnya, manusia selalu memandang rendah terhadap keupayaannya sendiri.
Sedangkan hakikatnya, pakar-pakar psikologi, motivasi dan pendidikan sepakat mengatakan bahawa manusia lebih kuat daripada apa yang mereka sendiri jangkakan. Cabarannya ialah kebanyakan manusia tidak tahu bagaimana menggunakan sepenuhnya potensi akal, hati dan perasaan mereka untuk mengatasi masalah-masalah seterusnya berjaya dalam hidup.
Ya, “we can’t direct the wind, but we can adjust our sails” – kita tidak dapat mengawal arah haluan angin, tetapi kita mampu mengawal kemudi pelayaran kita. Baiklah, cuba amalkan semua prinsip-prinsip di atas dalam menghadapi masalah kita. Sengaja saya luaskan horizon pemikiran dan ruang jiwa dengan beberapa prinsip penyelesaian masalah supaya kita sama-sama berfikiran dan berjiwa besar dalam menghadapi kehidupan.
Walaupun langkah ini kekadang dilihat lebih bercorak falsafah berbanding aplikasi, tetapi percayalah ia akan menolong anda untuk menghadapi hidup inii secara lebih pro-aktif. Tips-tips ‘direct’ untuk menyelesaikan masalah (seperti yang selalu diberikan) tidak akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya jika soal hati dan pemikiran masih sempit dan tertekan. Sebaliknya, jika hati telah tenang, fikiran telah lapang, kita akan jadi lebih kuat, kreatif dan sabar untuk menyelesaikan masalah. Malah, ada kalanya masalah belum pun diselesaikan… tetapi kita rasa seolah-olah telah selesai justeru tekanan dan himpitan masalah itu sudah kurang impaknya akibat jiwa dan fikiran kita yang telah dibangunkan. Benarnya kata pepatah, cita-cita besar akan mengecilkan masalah.
Gunakanlah prinsip ‘ujian adalah satu didikan Tuhan’. Tuhan sedang mendidik manusia melalui manusia. Hakikatnya hidup adalah sebuah sekolah dan orang yang menjadi punca ujian kita adalah guru kita. Ada maksud tersirat yang perlu kita pelajari daripadanya. Hadapilah ujian ini dengan mencari maksud di sebalik takdir Allah ini.
Jangan mengeluh, kenapa manusia lain jadi begitu, begini … itu selamanya akan melekatkan kaki kita pada anak tangga ujian itu. Jangan memberontak, kerana kita tidak dapat mengubah realiti… dan kita terjun dari anak tangga yang anda berada sekarang. Jalan sebaik-baik, terimalah seadanya. Aku tidak akan menunggu hingga semua manusia jadi baik barulah aku menjadi baik. Yang penting aku cuba jadi yang manusia yang baik.
Ingatlah, tangan yang menghulur bunga mawar, akan lebih dahulu harum baunya. Jika kita menghulur kebaikan, kebaikan itu akan pulang semula kepada kita. Walaupun mungkin kebaikan kita tidak akan mengubah orang lain yang tetap bersikap negatif terhadap kita, namun kebaikan itu sebenarnya telah pun menggembirakan, menenangkan diri kita sendiri.
Kita telah menghapuskan dendam, iri hati, marah yang bersarang dalam jiwa kita. Kemaafan akan membuahkan kebaikan… Manakala kebencian akan membuahkan kejahatan. Belajarlah menyayangi, nescaya kita akan semakin jahil tentang kebencian dan permusuhan. Dan inilah maksud didikan Allah ketika menjadikan manusia ujud secara bersama (co-existence) di atas dunia ini. Mungkin hikmahnya, agar manusia belajar sesama manusia untuk merasa kesan didikan-Nya!

Wednesday, October 20, 2010

Hawa NAFSU

LAWAN HAWA NAFSUMU!
LAWAN NAFSU MU!
Bagaimana keadaan kita jika terlihat seekor lipan di hujung kaki tetapi kemudian terpandang seekor harimau tidak berapa jauh daripada kita? Apakah kita masih memikirkan bahaya lipan atau bahaya harimau. Ya, tentu sahaja kita akan berikhtiar untuk menyelamatkan diri daripada bahaya harimau. Walaupun lipan dekat, tetapi gigitannya tidaklah seganas cengkaman harimau. Begitulah perumpamaan antara bahaya nafsu dengan bahaya-bahaya yang lain. Nafsu akan menyebabkan kita lebih rasa menderita. Bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat.
Malangnya, hal yang sepenting itu tidak dititik-beratkan. Kejahatan hawa nafsu, sifat-sifat dan kaedah melawannya hampir tidak pernah dibicarakan. Padahal, nafsu itulah angkara segala kejahatan yang kita deritai kini. Sebut sahaja, apa kejahatannya, pasti dalangnya adalah hawa nafsu.
Kita sibuk memperketat kawalan, disiplin dan undang-undang tetapi membiarkan puncanya berkembang subur dan membiak. Mampukah pagar yang rapuh mengawal binatang buas yang bilangannya kian banyak dan tenaganya semakin kuat? Begitulah bandingannya undang-undang ciptaan manusia dengan kejahatan hawa nafsu.
Undang-undang walaupun sehebat mana pun tidak akan berkesan jika nafsu tidak dijinakkan terlebih dahulu. Pagar itu akan diterjah dan rebah dipijak dan diinjak menyebabkan kita terpaksa membina pagar demi pagar, berulang-kali.
KUASAI NAFSU, KUASAI DUNIA
“Jika kita menguasai diri, kita akan menguasai dunia,” demikian kata cerdik pandai. Tetapi bagaimana pula kalau kita gagal menguasai diri? Ya, pasti kita pula yang akan dikuasai dunia. Jika demikian amat buruk akibatnya lantaran dunia itu adalah ‘hamba’ yang baik tetapi ‘tuan’ yang sangat jahat. Orang yang berjaya adalah orang yang gigih mencari kebaikan dunia tetapi selamat daripada tipuannya. Firman Allah: “Sesungguhnya tiadalah kehidupan dunia itu melainkan mata benda yang menipu daya.” (Surah al-An’am 6: 32)
Al-kisah, seorang raja sedang menaiki kuda dengan angkuhnya. Dia terserempak dengan seorang petani yang soleh sedang berjalan kaki. Raja pun bertanya, “siapa kamu?” Petani yang soleh itu menjawab, “aku seorang raja.” Raja tertawa, kemudian terus berkata dengan nada menyindir, “raja kerajaan mana?” Petani menjawab, “raja untuk kerajaan diriku.” Raja terdiam. Dan kemudian petani itu pula bertanya, “adakah tuanku menjadi raja kepada diri sendiri?” Raja terus terdiam kerana faham maksud kata-kata petani yang soleh itu.
Begitulah dalam kehidupan kita sehari-hari. Ramai orang besar yang hakikatnya hanya insan kerdil kerana tidak mampu melawan hawa nafsunya. Kuasa, ilmu, harta dan nama yang tersohor tidak membawa makna dan kebahagiaan dalam hidup sekiranya hidup diperkotak-katikkan oleh hawa nafsu. Hal ini kerana nafsu itu sifat tabiinya hanyalah mengarah kepada kejahatan. Maka hidup seseorang yang dikuasainya hanya akan penuh dengan kejahatan. Jika demikian, mana ada ketenangan dan kebahagiaan? Tidak ada kebahagiaan bagi manusia yang tenggelam dalam kejahatan.
Dikuasai dunia maksudnya, diri kita akan didorong oleh sesuatu yang berbentuk kebendaan, kemasyhuran dan jawatan dalam apa jua fikiran dan tindakan. Ketika itu kita gagal memperalatkan dunia sebaliknya dunialah yang memperalatkan kita. Akibat gagal menguasai dirilah kebanyakan manusia sangat cintakan dunia. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya, manusia itu sangat cintakan mata benda.” (Surah : )
Selain itu cintakan dunia akan menyebabkan manusia cenderung melakukan kejahatan. Sebab itu masyhurlah kata-kata popular dalam kalangan ahli-ahli tasawuf, cinta dunia itu adalah kepala segala kejahatan.
Apabila semua itu terjadi, manusia tidak lagi layak menjadi hamba Allah. Oleh sebab itu, untuk menjadi hamba Allah manusia mestilah menguasai dirinya. Inilah yang dibimbangkan oleh Syeikh Ibn Ataillah dalam al-Hikam menerusi katanya:“Bagaimana akan terang hati seseorang yang segala gambaran dunia itu terpahat dalam cermin hatinya? Atau bagaimanakah dia akan mengembara menuju kepada Allah padahal ia terbelenggu oleh nafsu syhawatnya?
MANUSIA DAN MUJAHADAH
Seterusnya, apakah yang dimaksudkan dengan menguasai diri? Jelas maksud menguasai diri ialah menundukkan nafsu jahat yang ada di dalam diri bagi membolehkan kita melakukan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Sedangkan nafsu itu sebahagian daripada diri kita yang sentiasa ingin menghancurkan diri kita.
Berhubung dengan melawan hawa nafsu ini Imam al-Ghazali menyebutkan tiga tingkatan manusia dalam usaha memerangi hawa nafsunya:
i) Telah menyerah kalah.
Golongan ini tergolong dalam mereka yang dikuasai sepenuhnya hawa nafsunya dan tidak dapat melawannya sama sekali. Ini merupakan keadaan majoriti manusia. Mereka ini telah mempertuhankan hawa nafsunya. Firman Allah: ”Maka, pernahkah kamu melihat orang yang telah menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya.” (Surah al-Jatsiyah: 23)
ii) Sedang dan sentiasa berperang
Golongan ini terdiri daripada mereka yang sentiasa dalam bertarik tali berlawan dengan hawa nafsu. Adakalanya dia menang dan ada kalanya kalah. Insya-Allah, inilah orang yang sedang berjuang (mujahadah). Mereka ini menunaikan apa yang diperintahkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. melalui sabdanya yang bermaksud: ”Berjuanglah kamu melawan hawa nafsumu sebagaimana kamu berjuang melawan musuh-musuhmu.”
iii) Orang yang telah menang
Golongan itu terdiri daripada mereka yang berjaya menguasai sepenuhnya hawa nafsunya. Mereka ini terpelihara daripada berbuat dosa dan maksiat kecuali sangat sedikit melakukan maksiat. Perjuangan menentang hawa nafsu adalah satu bentuk perjuangan jangka panjang. Perjuangan ini hanya akan berakhir dengan kematian. Sikap waspada dan sentiasa siapa siaga amat diperlukan setiap masa.
ERTI MUJAHADAH DAN KEPENTINGANNYA
Melawan hawa nafsu bagi maksud mengawal, mengurus dan mengendalikannya adalah wajib kerana kita hanya wajar menjadi hamba Allah. Demikian yang dapat difahami daripada kaedah, “tidak sempurna sesuatu yang wajib melainkan dengan sesuatu itu maka sesuatu itu juga menjadi wajib.” Berdasarkan itu, jika kita tidak berbuat demikian, sudah tentu kita akan berdosa. Bukankah syurga itu hanya ada pada mereka yang menundukkan kehendak nafsunya kepada kehendak Allah? Firman Allah: “Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri daripada nafsunya, maka sungguh syurgalah tempat tinggalnya” (Surah al-Naziat: 40-41)
Melawan hawa nafsu juga adalah syarat untuk mendapat pimpinan Allah. Firman Allah: “Mereka yang berjuang untuk melawan hawa nafsu kerana hendak menempuh jalan Kami, sesungguhnya Kami akan tunjuk jalan Kami. Sesungguhnya Allah itu berserta dengan orang yang buat baik.” (Surah : )
Kepentingan melawan hawa nafsu ini ditegaskan lagi oleh Rasulullah s.a.w. menerusi sabdanya: “Tidak beriman salah seorang antara kalian hingga hawa nafsunya mengikuti apa yang aku bawa.” Baginda juga bersabda: “Seorang mujahid (iaitu seorang yang berjihad) ialah dia yang melawan hawa nafsunya kerana Allah.”
Mujahadah bermaksud berusaha untuk melawan dan menundukkan kehendak hawa nafsu. Istilah “mujahadah” berasal daripada kata “al-jihad” iaitu berusaha segala kesungguhan, kekuatan dan kesanggupan pada jalan yang diyakini benar. Dengan kata yang lain, seorang yang bermujahadah dengan rela meninggalkan apa yang disukainya demi memburu sesuatu yang diyakininya benar, baik dan betul. Inilah maksud kata-kata Imam al-Ghazali: “Antara tanda kecintaan hamba kepada Allah ialah dia mengutamakan perkara yang disukai Allah daripada kehendak nafsu serta peribadi, sama ada dalam aspek zahir atau batin.”
Selain itu ilmu, taktik dan strategi melawan hawa nafsu wajib dipelajari. Bahkan kita tidak akan menang jika dalam menempuh jalan mujahadah hanya dilakukan dengan semberono. Malangnya, ilmu tentang mujahadah ini seolah-olah terpinggir pada masa kini. Manakala strategi melawan hawa nafsu hampir tidak dibicarakan lagi.
Ironinya, jika dengan musuh zahir yang jarang-jarang kita berdepan dengannya, kita sanggup membelanjakan jutaan ringgit untuk membeli kelengkapan perang dan sejata, mengorbankan banyak masa dan tenaga untuk persiapan berperang, tetapi dengan hawa nafsu yang setiap detik kita berperang dengannya, mengapa ambil tidak indah sahaja. Sedangkan nafsu ini adalah musuh yang paling berbahaya, yang sepatutnya lebih diberi perhatian serius. Rasulullah s.a.w. bersabda:”Orang yang kuat bukanlah orang yang dapat mengalahkan musuhnya tetapi dapat menguasai marahnya.”
PRINSIP ASAS DALAM MELAWAN HAWA NAFSU
Berikut tiga prinsip asas kaedah melawan nafsu. Tiga kaedah ini telah digariskan oleh ulama pakar dalam meneliti perjalanan hati dan nafsu manusia. Dalam kitab Minhajul Abidin misalnya, Imam Ghazali telah menggariskan tiga prinsip asas berikut:
i) Menahan atau menyekat sumber kekuatannya.
Nafsu yang diumpamakan kuda yang liar itu boleh dijinakkan dengan syarat ditahan sumber yang memberikannya tenaga. Jadi, nafsu boleh dikawal dengan menahan makan (berpuasa). Oleh sebab itulah dalam Islam kita diwajibkan berpuasa sebulan dalam setahun. Dan digalakkan juga berpuasa sunat hari-hari tertentu. Malah mereka yang belum mampu berkahwin, nabi Muhammad s.a.w. menganjurkan mereka menjinakkan nafsu seks dengan berpuasa.
Selain menahan perut daripada banyak makan, ada lagi beberapa sumber kekuatan nafsu yang perlu disekat. Antaranya, menahan pandangan (mata) daripada yang haram, telinga daripada mendengar sesuatu yang berdosa, mulut daripada berkata-kata yang dilarang, hati daripada sifat-sifat mazmumah dan lain-lain. Semua ini perlu diketahui dengan cara belajar. Ilmu yang berkaitan dengan menjaga pancaindera inilah yang dimaksudkan dalam ilmu tasawuf sebagai akhlak. Hukum mempelajarinya, fardhu ain bagi setiap mukhallaf.
ii) Membebankan nafsu itu dengan ibadah.
Setelah nafsu yang diumpamakan sebagai kuda liar itu disekat sumber kekuatannya, langkah seterusnya ialah dengan dibebankan ibadah tertentu terutamanya ibadah khusus yang berbentuk fardhu dan sunat. Solat terutamanya, sangat diperlukan dalam kaedah ini semata-mata untuk ‘menyeksa’ nafsu. Bukan sahaja solat lima waktu tetapi solat malam (qiamulalil) sangat berkesan untuk menundukan hawa nafsu.
Begitu juga dengan zikrullah yang lain seperti membaca al-Quran serta wirid-wirid tertentu (yakni yang bersumberkan al-Quran, hadis-hadis sahih dengan tunjuk ajar dan didikan syeikh atau guru yang benar serta mendapat petunjuk (mursyid). Begitu juga dengan amalan sedekah, kerja-kerja amal, mengajar, belajar dan lain-lain amal kebajikan. Pokok pangkalnya, bebankanlah nafsu kita dengan ibadah hingga ia merasa letih untuk melakukan kejahatan. Ingatlah nafsu itu tidak pernah puas dan kehendanya tidak terbatas, maka ibadah yang dapat menundukkannya hendaknya begitu juga. Jangan terbatas dan jangan dibatasi oleh rasa puas.
iii) Berdoa minta bantuan Allah untuk menewaskannya.
Usaha menentang hawa nafsu hendaklah dimulakan, diiringi dan disudahi dengan berdoa kepada Allah. Nafsu itu makhluk Allah, maka Allah sahaja yang mampu memudahkan diri manusia untuk menguasai dirinya sendiri (nafsu). Bahkan, usaha awal kita untuk memperbaiki diri perlulah dimulai dengan membentuk komunikasi dan interaksi yang harmoni dengan Ilahi.
Hubungan ini dibentuk melalui doa. Jika Allah permudahkan, jalan mujahadah yang payah akan menjadi mudah. Bantuan Allah inilah yang sangat kita dambakan. Malah inilah pesan Rasululllah s.a.w. kepada Muaz bin Jabal dengan katanya:
“Wahai Muaz, aku sangat cinta kepadamu. Maka selepas kau mengerjakan solat jangan sekali-kali kau lupa berdoa kepada Allah dengan doa ini: “Ya Allah, bantulah aku mengingati-Mu, bantulah aku mensyukuri nikmat-Mu dan bantulah aku untuk mmperbaiki ibadah kepada-Mu.”
Banyak lagi doa-doa yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam bermujahadah melawan hawa nafsu ini. Antara doanya itu ialah: “Ya Allah ya Tuhanku, berilah aku taqwa, dan bersihkanlah diriku. Sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik yang membersihkan. Engkaulah pelindungku dan pemimpinku.”
LANGKAH-LANGKAH JALAN MUJAHADAH
Langkah-langkah tersusun untuk melawan hawa nafsu seperti berikut:
i) Belajar mengenai sifat nafsu dan angkaranya.
Belajar mengenai sifat-sifat mahmudah dan mazmumah (ilmu akhlak atau tasawuf) adalah wajib. Kita mesti mendapat ilmu yang digali daripada al-Quran dan Sunnah untuk mengetahui sifat-sifat nafsu, angkara kejatannya dan bagaimana melawannya. Para ulama telah mempermudahkan ilmu-ilmu ini mengikut kategorinya tersendiri.
ii) Membina kesedaran dan keazaman yang tinggi.
Tidak cukup dengan mempunyai ilmu sahaja tanpa kesedaran dalam hati dan keazaman yang kuat untuk mengamalkannya. Bagaimana jika kita hanya ada senjata (ilmu) tetapi tidak ada keingininan yang kuat untuk mngamalkannya apabila diserang musuh? Ilmu bukan untuk pengetahuan dan kefahaman semata-mata, tetapi yang lebih penting untuk diamalkan.
iii) Mempraktikkan ilmu.
Inilah tahap yang paling sukar tetapi inilah tahap yang paling penting. Perkara ini memerlukan satu iltizam yang kuat dalam diri kerana apa yang disukai nafsu adalah juga yang disukai oleh diri kita sendiri. Ramai orang yang tahu sesuatu kebaikan tetapi masih malas melakukannya. Dan ramai yang tahu sesuatu kejahatan tetapi masih tega melakukannya.
Semua itu kerana mereka belum ‘mahu’, dan baru sekadar ‘tahu’. Pengetahuan itu dicapai melalui proses belajar manakala kemahuan dibina dengan mempraktikkan apa yang telah kita pelajari. Dengan mempraktiokkan ilmu barulah ilmu yang bertapak di akal dapat dipasakkan ke dalam hati. Oleh sebab itu ‘tahu’ tempat letakkannya di akal tetapi ‘mahu’ itu letaknya di hati.
iv) Terus melatih diri dan bersifat konsisten melawannya.
Ramai juga orang yang telah tahu dan mahu melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan, tetapi tidak lama, mereka berpatah semula ke belakang. Bak kata peribahasa Melayu sekadar “hangat-hangat tahi ayam”. Mereka tidak berdaya untuk konsisten (istiqamah) dalam kebenaran. Apa yang perlu ialah latihan yang berterusan agar tahap pengetahuan dan kemahuan itu diteruskan hingga ke tahap kemampuan.
Imam Ghazali berpesan nafsu tidak dapat dikalahkan dengan tergesa-gesa. Kehendaknya tidak boleh ditekan sekali gus melainkan perlu ditahan secara bertahap-tahap. Latihan menundukkan hawa nafsu ini perlu dilaksanakan sedikit demi sedikit tetapi istiqamah selaras dengan sabda Rasulullah s.a.w.:
“Amalan yang baik ialah amalan yang berterusan (konsisten) sekalipun sedikit.”
“Alah bisa, tegal biasa,” begitulah nafsu yang jahat jika dilatih berterusan untuk melakukan kebaikan, akan terbiasalah nafsu itu dengan kebaikan dan kebajikan. Sampai ke tahap ini, nafsu itu akan menjadi tenaga penggerak atau kenderaan (kuda tunggangan) kepada manusia. Umpama, racun pada ular senduk – di situ ada racun, di situlah juga ada penawarnya. Sebab itu ditegaskan berkali-kali bahawa nafsu itu bukan untuk dihapus tetapi untuk diurus.
Jika diuruskan dengan baik, nafsu akan membawa kepada kemajuan rohaniah dan material dalam kehidupan. Nafsu seks yang diurus melalui pernikahan yang sah, akan memberi ketenangan, keberkatan dan rahmat dalam diri suami dan isteri. Ia juga meneruskan kesinambungan zuriat yang akan menjadi tenaga penggerakan kepada pembangunan ummah. Begitu juga nafsu makan yang terurus, akan memberi tenaga untuk beribadah dan menyebabkan terbentuknya jaringan perniagaan, industri makanan, hub halal, inovasi dan teknologi makanan dalam bidang bioteknologi dan sebagainya.
Manusia yang dibekalkan dengan unsur nafsu inilah yang menjadi sebab mereka dilantik menjadi khalifah di muka bumi – bukan malaikat, kerana dengan nafsu makmurlah muka bumi ini dengan pembangunan yang bersendikan hukum Allah. Sebaliknya, malaikat tidak mempunyai potensi ini kerana mereka sepi daripada sebarang keinginan dan rangsangan. Namun, jika nafsu tidak terurus manusia akan jatuh ke tahap yang lebih hina daripada haiwan (makhluk nafsu tanpa akal).
Jangan menoleh ke belakang… tempuhlah jalan mujahadah. Itulah jalan yang penuh saadah (kebahagiaan). Walaupun itu adalah jalan yang payah, tetapi itulah jalan yang paling mudah. Tidak ada jalan pintas!

Monday, August 16, 2010

Munasabah

SIAPA ANDA? Kalau ditanyakan kepada kita. Mungkin kita akan memberi jawapan kita seorang guru atau pekerja. Kalau ditanya secara ‘biasa’ maka jawapannya seperti di atas, mari kita bertanya secara ’luar biasa’ dan ‘mendalam’. Kalau ditanya siapa anda, akal yang sihat dan rasional akan menyatakan,”Saya hamba Allah” tetap kalau ditanya pada hati, apa perasaan anda terhadap Allah, perintah-perintah Allah, hukum/larangan Allah serta kalam Allah[al-Quran]?
HATI tidak merasa kebesaran dan keagungan Allah, hati tidak merasa dimiliki Allah, hati tidak merasa betapa bernilainya al-Quran.Dek kerana tidak bernilailah kita jarang membacanya,kalau membacanya tidak berusaha memahaminya, jauh sekali mengamalkannya. Dek kerana hati tidak menjunjung perintah Allah kita tinggal solat, kalau solat pun hujung waktu,itu pun sendirian, jauh untuk berjemaah[di masjid atau bersama keluarga].
AKAL mengakui diri ini hamba Allah,namun hati belum menerima hakikat kita ini hamba Allah,yakni milik Allah. Sebenarnya bukan akal yang memberi jawapan tetapi yang menentukan jawapan ialan hati. Kualiti hidup kita sebenarnya banyak bergantung kepada kualiti HUBUNGAN HATI kita dengan ALLAH. Hati adalah RAJA yang ditaati,manakala seluruh anggota adalah RAKYAT. Hati yang hebat ialah ‘muafakat’ dengan kehendak Allah,apa yang Allah ’SUKA’ dan ’BENCI’ Kalau hati sudah muafakat dengan Allah,Kita akan menjadi manusia sangat ghairah dengan ‘KEBAIKAN’.

Muhasabah

REZEKI YANG CUKUP VS REZEKI YANG TIDAK CUKUP-CUKUP..tajuk yang ingin kita catatkan buat muhasabah bersama.Rezeki yang bertambah bukan soal ‘banyak’ atau ‘sedikit’ sahaja yang harus dipertimbangkan tetapi mari kita melihat secara ‘holistik’ iaitu ‘berkatnya’. Kalau rezeki berkat, sedikitnya mencukupi, banyaknya boleh diagih-agih. Berbanding rezeki yang hilang berkat sedikitnya tidak mencukupi. Paling dibimbangi bila si kaya harta miskin jiwa. Kita yakin Allah adalah ‘al-Razzak’[maha memberi rezeki], ‘al-Wahab’[maha memberi]. Apabila seorang insan memberi kepada seorang insan yang lain kerana mencari ‘redha Allah’ maka Allah akan menggantikan dengan ‘pemberian’ yang lain. Mungkin tidak banyak ‘kuantitinya’ tetapi hebat ‘kualitinya’.
Tepat sekali ungkapan Sayidina Ali “Harta manusia yang bernilai disisi Allah ialah harta yang kamu belanjakan di jalan Allah”. Maka sayugianya kita mengambil kesempatan dalam bulan yang hebat ini dengan kita bersedekah harta,tenaga,fikiran,ilmu dan lain-lain. Apa kata, kita hidupkan sedekah dengan program sekolah kita ‘SeBaR’[Sedekah Barakah Ramadhan].Justera, falsafah yang selama ini kita jarang ungkapkan ialah rezeki itu bukanlah yang kita ‘terima’ tetapi apa yang kita ‘beri’.Semakin kita memberi semakin bertambah.Ada manusia pendapatannya kecil tetapi kerana ‘berkat’ maka hidupnya terarah,anak-anak baik, isteri[is 3] solehah dan yang paling hebat hidupnya ‘senang’dan ‘tenang’.

Thursday, August 12, 2010

Ahlan Ya Ramadhan

Asalamualaikum,
Ramadhan datang lagi bertandang menemui kita, mungkin untuk seterusnya atau mungkin untuk kali terakhir..Allah Mengetahui Segalanya. Doa dan harapan agar kita dapat menikmati 'Pesta Ibadah' yang telah disediakan Allah untuk kita gondol hadiah 'Takwa' yang tidak boleh dibeli di Pusat membeli-belah, bazar-bazar Ramadhan apatah lagi di tempat-tempat maksiat...renung-renungkan