Wednesday, December 26, 2012

HIDUP SELAGI HIDUP!

Kata bijak pandai, kehidupan umpama satu pelayaran. Cubaan dan ujiannya umpama gelombang yang sangat menggerunkan. Oleh sebab itu bahtera kehidupan mesti kukuh. Kemudinya mesti ampuh. Jika tidak, layar patah dan bahtera akan terolang-aleng lalu tenggelam dihempas gelombang. Jika boleh diumpamakan bahtera itu diri kita, maka kemudinya ialah iman. Kita tidak akan gusar betapapun hebatnya gelombang, jika kemudi di tangan mampu mengawalnya. Maka begitulah dalam menghadapi ujian hidup… kita tidak akan bimbang sekiranya iman di hati tetap mantap. Diri tidak akan hilang kawalan. Kita akan terus menghadapi segalanya dengan penuh keyakinan. Berpegang kepada prinsip: “Jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.” Dengan iman, kita punya keberanian – hidup selagi hidup! Kita tidak, kita akan menjadi umpama bangkai bernyawa, yang hidup segan, mati tak mahu. Tanpa iman, kita menjadi pengecut – menjadi orang yang berani mati kerana takut hidup… membunuh diri! Dikebumikan pada tahun ini tetapi hakikatnya telah mati lima tahun yang lalu! Justeru, iman adalah sumbu kehidupan, harta yang tidak dapat dinilai. Sumayyah sanggup berkorban nyawa demi iman. Bilal sanggup disiksa kerana iman. Sayidina Abu Bakar telah mengorbankan seluruh hartanya demi iman. Bagaimana dengan kita? Sanggupkah kita mengorbankan segala-galanya untuk mendapat iman? Mari kita muhasabah… Bagaimana ketika kita dibangunkan dari tidur yang lena untuk bangun mengerjakan solat Subuh? Lesu atau bersemangat? Sanggupkah kita mengorbankan masa untuk mendengar kuliah agama buat menjana iman? Bandingkan dengan masa yang kita berikan untuk hiburan yang melalaikan? Tanyakan kepada diri ke manakah harta, tenaga dan masa telah kita berikan… ke jalan iman atau sebaliknya? Kalaulah ditanya manakah yang lebih berharga? Iman atau harta? Tentu kita menjawab iman. Tetapi mungkin itu hanya kata-kata. Benarkah itu juga yang kita rasa? Iman sebenarnya lebih berharga daripada mutiara. Malah jika dikumpulkan seluruh isi langit dan bumi ini, maka kita dapati iman tetap lebih berharga. Harta akan musnah jika tidak dibelanjakan ke jalan Allah, namun iman kekal sampai membawa kita ke syurga. Tetapi bak kata pepatah, “hanya jauhari mengenal manikam” – maksudnya hanya orang yang berilmu sahaja yang menyedari tentang agungnya nikmatnya iman. Sijahil tidak akan menghargai nikmat iman, sama seperti sibuta yang yang tidak dapat melihat cahaya atau kera yang disuguhkan bunga! Iman sangat berharga sama ada di dunia mahupun di akhirat. Sesiapa saja yang memiliki iman di dada, dia akan mendapat ketenangan, keharmonian dan kebahagiaan dalam hidup. Sesiapa pula yang memiliki iman di akhirat, dia akan mendapat hati yang sejahtera. Dia akan dapat keredhaan dan keampunan-Nya. Juga dia akan mendapat syurga Allah swt. Dengan adanya nikmat iman, barulah nikmat-nikmat yang lain berguna. Jika ada iman di dada, nikmat harta akan menjadikan seseeorang itu hamba Allah yang pemurah. Dia akan merasakan harta itu adalah amanah dari Allah. Lantas, harta itu tidak akan dibelanjakan ke jalan kejahatan dan kemungkaran. Sebaliknya, akan digunakan ke arah kebaikan. Seorang yang beriman, akan menggunakan nikmat ilmunya ke arah kemajuan dan kebaikan. Dia akan mengajar orang lain dan mencipta rekaan-rekaan yang memudahkan kehidupan masyarakatnya. Dengan iman, seseorang tidak akan menjadi penipu, penzalim dan pemusnah dengan ilmunya. Ya, bila ada iman kita seolah-olah memiliki segala-galanya. Sebaliknya jika hilang iman, kita hilang segala-galanya. Jadi apa sebenarnya iman ini sehingga ia dianggap begitu berharga? Iman sebenarnya bukanlah sekadar ucapan. Iman adalah kepercayaan dalam hati, yang diucapkan dgn lidah. Jika hanya ucapan, tetapi tidak dengan keyakinan, itu munafik (berpura-pura). Jika hanya ada ucapan dan keyakinan tetapi tidak ada tindakan (amalan), itu fasik (berdosa). Memanglah menjadi sunnatullah dan peraturan dalam hidup ini, semua benda yang berharga memang payah untuk dicari. Contohnya pasir, mudah untuk kita mendapatkannya. Di mana-mana pun ada pasir. Tetapi jika hendak mencari mutiara, kita perlu menyelam hingga ke dasar lautan. Mencari dan menggali, membersihkan barulah ditempa sehingga menjadi mutiara yg bersinar dan cantik. Berbagai-bagai jawapanlah yang kita dengar. Ada yang mengatakan, dia boleh mewarisi iman daripada bapanya yang warak. Ada yang berbangga dengan datuknya yang warak. Ada yang mengatakan dia boleh mendapatkan iman melalui pembacaan atau melalui ilmu pengetahun. Apakah begitu mudah? Mari kita susuri realitinya… Oleh kerana iman itu berharga ibarat mutiara, memanglah sukar untuk mendapatkannya. Jadi kita kena berusaha mencari dan terus mencari. Kita memang tidak nafikan, doa si ayah atau si datuk yang bertaqwa memang ada kesannya. Namun itu bukan cara yang utama untuk mendapatkan iman. Lihatlah sejarah Nabi Nuh a.s. Baginda seorang Nabi yang mengajak semua keluarganya untuk beriman kepada Allah swt. Namun si isteri dan seorang anaknya engkar. Malah mereka mengganggap Nabi Nuh gila kerana membina sebuah bahtera besar di atas bukit yang tinggi. Walau nyawa sudah di hujung tanduk ketika tenggelam dalam banjir, mereka tetap tidak mahu beriman kepada Allah atau mengikut ayah mereka Nabi Nuh. Jika kita mengatakan boleh mendapat iman melalui ilmu atau pembacaan, itu juga kita tidak nafikan. Namun mengapa ramai orang yang memiliki ilmu setaraf professor pun masih melakukan kemungkaran? Oleh itu, penting bagi kita mencari iman sebagaimana cara generasi awal Islam mencarinya. Mereka ‘mencari’ iman dengan berfikir, berzikir, bermujahadah dan melaksanakan syariat (peraturan) Allah. Firman Allah swt: “ yakni orang yang mengingati Allah (berzikr) ketika berdiri, duduk, berbaring dan sentiasa berfikir tentang tentang kejadian langit dan bumi lantas berkata, “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau jadikan semua ini dengan sia-sia Maha Suci Engkau ya Allah, selamatkanlah kami dari api neraka.” Al-Imran: 191 Para sahabat mendapat iman dengan melihat alam, binatang, tumbuhan, hujan dan sebagainya. Mereka melaksanakan apa yang didorong oleh Allah menerusi firman-Nya: “Maka apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana unta diciptakan, dan langit, bagaimana ia ditinggikan.” Al-Ghaasyiyah: 17-18 Apabila mereka melihat semua itu mereka berfikir… dan akhirnya tiba pada satu kesimpulan bahawa tidak mungkin semua itu terjadi dengan sendirinya. Pasti ada yang menjadikannya. Jika matahari hebat, tentu Pencipta matahari lebih hebat. Jika alam ini indah, tentulah Penciptanya lebih indah. Tidak terhenti setakat itu sahaja, bahkan mereka terus berzikir (mengingati) Allah. Mereka merasai Allah itu Maha Besar, Maha Suci, Maha Penyayang, Maha Berkuasa dan Maha Sempurna. Mereka merasakan bahawa zat yang mencipta matahari, bulan, bintang dan semesta alam ini mestilah dipatuhi perintah-Nya dan dijauhi larangan-Nya. Lalu merekapun melaksanakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang ditegah oleh Allah. Mereka bersolat, berpuasa, meninggalkan zina, arak dan lain-lain. Walaupun kekadang, yang ditegah Allah itu sesuatu yang disukai, manakala yang disuruh pula dibenci, namun mereka melawan kehendak diri sendiri demi mentaati perintah Allah. Berlaku ‘peperangan’ di dalam diri mereka sendiri – antara apa yang mereka ingin, dengan apa yang diingini Allah. Peperangan inilah yang dikatakan mujahadah atau berjuang sepenuh jiwa untuk mematuhi perintah allah. Hasil mujahadah ini, iman mereka bertambah dan akhirnya mereka merasakan kemanisannya. Firman Allah: “Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang berbuat kebaikan” Al-Ankabut: 69

Friday, November 9, 2012

DUNIA TEMPAT BERPENAT, DI AKHIRAT NANTI KITA BEREHAT

Jangan mencari keadilan yang mutlak di dunia ini. Terimalah hidup seadanya. Jadilah diri sendiri. Kita ubah yang mampu diubah, yang tidak mampu serahkan kepada Allah. Jika bahagia yang dicari, tetapi derita yang diberi… terimalah. Bahagialah dengan derita itu. Manusia akan tersiksa oleh jangkaan dan harapannya. Allah ciptakan putaran hidup ini seumpama kitaran cuaca dan musim. Ada yang menikmati empat musim seperti Eropah. Ada yang kontang sepanjang masa umpama Sahara. Ada yang dingin memanjang seperti di Antartika. Kita hamba… setelah berusaha sehabis daya, pasrah dan menyerahlah. Carilah R&R dalam kembara hidup ini, di sanalah tempat kita berehat seketika… sebelum berehat selama-lamanya! Jika ditakdirkan tidak kita temui sesuatu yang dicari di dunia ini, terimalah hakikat ia memang tidak ada. Di akhirat sana tempat ‘ada’ dan sempurna segala. Jika ‘langit’ hendak runtuh, masakan jari yang kecil ini mampu menahannya. Dalam setiap yang kita miliki, pasti ada jemu dan letihnya. Dalam setiap yang kita tidak miliki, pasti ada kesal dan sayunya. Jangan terlalu dalam segalanya. Jangan terlalu cinta, jangan terlalu benci. Jangan terlalu suka, jangan terlalu duka. Sederhana itulah yang selalu menyelamaktkan ‘hati’ kita. Tidak ada keadilan yang mutlak di dunia ini. Semakin kita terima hakikat ini, hidup kita akan menjadi semakin tenang. Jika tidak, kita akan sentiasa rasa arah, kecewa, dipersenda dan ditipu oleh manusia lain dan keadaan. Sebaliknya, apabila kita mula menerima hakikat dunia memang tidak adil, maka hidup kita kan menjadi lebih tenang dan harmoni. Mengapa di dunia ini tidak ada kedailan yang mutlak? Yang baik, tidak semestinya mendapat ganjaran dan balasan yang baik. Manakala yang jahat, acap kali terlepas dan bebas? Ya, inilah kaedah Allah menguji manusia, agar terserlah siapa yang benar-benar ikhlas berbuat kepadaNya dan siapa pula yang benar-benar meninggalkan kejahatan kerana-Nya jua. Inilah ujian iman. Menerusi pengajian tauhid, yakni dalam mengenal sifat-sifat Allah, memang kita telah sedia maklum bahawa Allah swt akan memberi dan menunjukkan sifat keadilan-Nya secara mutlak dan tuntas di akhirat nanti. Manakala, di dunia ini Allah tidak menunjukkan sifat keadilanNya secara sepenuh dan menyeluruh sebagai ujian kepada orang-orang yang beriman kepadaNya. Lihat bagaimana nabi Zakaria AS, Nabi Yahya AS dan beberapa nabi yang lain telah dibunuh oleh musuh-musuh kebenaran. Sekiranya kita sebagai suami, isteri, ibu-bapa, anak-anak, pemimpin, pengikut… menerima layanan atau balasan yang tidak adil, biasalah. Inilah hakikat dan lumrah hidup yang mesti ditempuh. Jangan mencari yang ‘serba kena’ kerana hidup dipenuhi oleh resam yang ‘serba tidak kena’. Sekiranya kita berbuat baik kerana mengharapkan ganjaran, pembalasan dan ucapan terima kasih daripada manusia, tentu kita akan keewa kerana umumnya manusia memang tidak pandai berterima kasih apalagi untuk membalas budi. Memang, buat baik dibalas baik, tetapi bukan seua kebaikan dibalas di sini (dunia), ada yang Allah simpan di sana (akhirat). Justeru, apabila Allah menyuruh manusia melakuan kebaikan atau meninggalkan kejahatan, Allah akan menyeru kepada manusia yang beriman dengan lafaz “Ya ayyuhal lazi na amanu – wahai orang yang beriman.” Begitu juga apabila Rasulullah saw menyeru untuk umatnya melakukan kebaikan, baginda sering memulakanya dengan berkata, “barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat hendaklah…” Banyak hikmahnya mengapa Allah dan RasulNya berbuat demikian, salah satunya ialah untuk menunjukkan bahawa mereka yang mahu dan mampu melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan dengan ikhlas, sabar dan istqamah hanyalah orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yakni, mereka yang yakin bahawa Allah Maha melihat akan perbuatan itu dan membalasnya dengan ganjaran atau seksa yang setimpal. Allah memujuk, Nabi Muhammad dan orang-orang beriman dengan firmanNya: “Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku).” Impak daripada itu, manusia yang beriman akan menghadapi hidup ini dengan lebih tenang. Tidak banyak merungut, merengus dan marah-marah. Jika madu dibalas tuba, mereka mampu sabar dan redha. Apabila mendapat ‘limau masam’, mereka akan segera membuat ‘air limau’. Makna, sekiranya apa yang mereka terima sebagai balasan, tidak seperti yang diharapkan dan dijangkakan, mereka tidak ‘memberontak’, sebaliknya mereka mengubah hati, fikiran dan perasaan mereka untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan baik. Apabila inginkan kejayaan, tetapi sebaliknya kegagalan yang berlaku… mereka akan berkata, “Tidak mengapa, kegagalan adalah yuran kepada kejayaan, kegagalan adalah ‘kejayaan’ yang ditangguhkan. Orang berjaya lebih banyak merasai kegagalan daripada orang yang gagal.” Mereka tidak mengutuk orang lain, keadaan, diri mereka sendiri apalagi mempersalahan Tuhan. Mereka tidak akan menyesal dan kesal terhadap apa yang berlaku sebaliknya mencari tapak dan semangat baru untuk berusaha dengan lebih baik. Lalu dalam kamus orang berjaya sering tertera pengukuhan kata-kata ini: Kegagalan adalah peluang untuk memulakan semua dengan lebih baik!” Oang yang telah menerima hakikat dunia ini tidak adil, tidak akan bemusuh dengan dirinya sendiri. Dia tidak mendera dirinya dengan kejam. Mengapa aku bodoh sangat? Mengapa aku lurus bendul? Mengapa aku boleh tertipu? Ini bukan langkah muhasabah yang membangunkan jiwa yang proaktif, tetapi satu ‘self sabotaging habit’ yang menyebabkan dirinya menjadi pasif, pesimis atau murung. Kemudian keburukan dari dalam diri itu akan meletus keluar menjadikan dirinya sebagai ‘toxic people’ yang bersifat aggresif, bersangka buruk dan marah-marah kepada orang lain. Dalam surah Al Fatehah, Allah menegaskan bahawa Dialah Raja pada Hari Akhirat. Kalimat ini kita ulang-ulang baca pada setiap hari tidak kurang 17 kali. Semuga makna atau kehendak daripada kalimat ini meresap dalam minda sedar dan separa sedar kita, bahawa Allah akan menunjukkan kebesaran sifat Malik-Nya di akhirat, yang pada waktu itu tidak akan ada siapa yang berani mengangkat muka atau berkata-kata. Di dunia ini, penjahat atau pelaku kemungkaran masih boleh mendabik dada dan meninggikan suara, kerana kuasa yang sementara. Dengan kuasa itu mereka menipu, menindas dan menzalimi dengan pelbagai taktik dan cara. Namun di akhirat nanti, mereka akan kaku, kelu dan membisu apabila Allah menunjukkan kebesaran dan keadilanNya. Di sana nanti barulah kebaikan akan mendapat ganjaran… bukan setimpal tetapi digandakan. Di sana jualah nanti kejahatan akan mendapat balasan… yang pedih, perit dan berganda. Allah yang Maha Adil tidak mencipta dunia ini dengan serba adil untuk menguji manusia sejauh mana iman mereka kepada sifat keadilanNya! Agar dengan itu orang yang beriman rela ‘disusahkan’ kerana Allah dalam usahanya melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Agar dengan itu, orang beriman akan berkata pada hatinya, “ wahai Tuhan, aku rela menerima kesusahan yang sementara dan sedikit di dunia yang serba tidak adil ini demi mendapat kesenangan yang abadi dan lebih baik di akhirat nanti!” Sampai ke takah ini, sekiranya hati masih bertanya, “mengapa dunia ini tidak adil?” Jawabnya, “kerana Allah yang Maha Adil ingin menunjukkan keadilanNya di akhirat.” Ya, keyakinan kepada Hari akhirat sangat penting semasa hidup di dunia. Meletakkan sesuatu itu pada tempatnya, itulah erti keadilan. Hati orang beriman ialah hati yang adil. Dalam hati itu terpahat satu hakikat: Dunia tempat penat, di akhirat tempat berehat! Ya, hidup selepas mati adalah tempat rehat daripada kepenatan daripada ujian hidup sebelum mati. Justeru, Rasulullah saw sendiri berdoa: ” Ya Allah, jadikanlah kematian tempat istirehat daripada segala keburukan dan kejahatan…”

Wednesday, June 20, 2012

Ohh...Hebatnya Rasulullah

SEORANG SUAMI BERNAMA MUHAMMAD S.A.W : Seorang Suami Bernama Muhammad S.A.W... Jika ingin membina dunia yang lebih aman, kembalilah ke rumah masing-masing dan sayangi keluarga kita. Insya-Allah, apabila keluarga telah aman, masyarakat akan aman. Apabila masyarakat aman, negeri dan seterusnya negara akan aman. Dan apabila negara-negara telah aman, seluruh dunia akan aman. Oleh itu, apabila dunia semakin bergolak pada saat ini, percayalah itu semua berpunca daripada pergolakan rumah tangga. Ribut dalam cawan rumah tangga boleh mencetuskan badai di seantero dunia. Perkara yang pertama dan utama dalam hidup seorang lelaki bernama suami adalah keluarga. Tidak ada gunanya dia berjaya di peringkat yang tinggi dan dalam bidang apa sahaja… sekiranya rumah tangganya sendiri berantakan. Justeru, Allah telah awal-awal lagi mengingatkan melalui firmanNya yang bermaksu, selamatkanlah dirimu dan keluargamu daripada api neraka! Setiap lelaki pasti ditanya tentang kepimpinanya. Dan kepimpinan yang pertama akan dipersoalkan di Hari Akhirat nanti, bukan kepimpinan masyarakat, organisasi, jabatan, kabinet atau negaranya… tetapi kepimpinan dalam keluarganya. Seorang wanita mudah masuk ke dalam syurga walaupun tanpa suami bersamanya, tetapi seorang lelaki sangat sukar masuk ke syurga tanpa isterinya. Seorang suami hanya layak ke syurga apabila semua yang berkaitan isteri dan anggota keluarganya sudah dipersoalkan. Oleh kerana itu tertib dalam usaha membina kehidupan yang baik dimulakan dengan membaiki diri, kemudian membaiki rumah tangga dan seterusnya pancarkanlah sinar dalam rumah tangga itu ke tengah masyarakat. Bukankah sinar Islam itu pun bermula dari rumah Rasulullah saw? Nur wahyu dari gua Hira’ terpancar ke dalam diri Rasulullah, kemudian menyinari jiwa Khadijah dan kemudian dari situlah… bermulanya cahaya Islam ke dalam masyarakat Arab di Makkah, seterusnya merebak ke Madinah dan akhirnya tersebar ke seluruh semesta. Justeru, sebelum kita mencari pengiktirafan sebagai pengurus, pengarah, CEO, menteri, perdana menteri, Presiden, raja dan sultan yang berjaya, carilah dahulu pengiktirafan dari dalam rumah tangga sendiri. Jadilah suami yang berjaya. Tegasnya, kita belum benar-benar diiktiraf sebagai seorang yang baik sekiranya belum menjadi suami yang baik. Sekiranya kita bertanya siapakah orang yang paling baik? Dengarlah jawapan dari Rasulullah saw ini: ”Orang yang paling baik diantara kamu adalah orang yang paling baik terhadap keluarganya. Dan aku adalah orang yang paling baik diantara kamu terhadap keluargaku.” Mari sejenak kita layangkan fikiran dan terbangkan rasa menjelajah rumah tangga Rasulullah. Kita saksikan bagaimana manusia agung ini berjuang dalam gelanggang yang paling kecil tetapi sangat besar pengaruhnya kepada pembinaan ummah. Ya, bagaimana sikap, cakap dan diam baginda sebagai seorang suami. Semoga kita tidak hanya mengumpul riwayat dan hikayat, tetapi benar-benar menghayati makna sirah yang tersurat dan tersirat. Adakalanya baginda pulang ke rumah lewat malam malah menjelang dinihari. Kerja dakwah dan memimpn masyarakat acapkali menyebabkan baginda berenggang dengan isteri. Sejarah menceritakan bagaimana baginda tidak akan mengetuk pintu rumah untuk mengejutkan isteri yang sedang nyenyak tidur. Bahkan dibentangkannya sahaja kain ridaknya lalu dijadikan lapik untuk baginda tidur di muka pintu. Apabila baginda bertanya kepada isterinya apakah pada hari itu ada makanan untuk dimasak dan apabila isterinya menjawab tidak ada… baginda akan tersenyum lalu memutuskan pada hari itu baginda akan berpuasa. Tenang dan indah sekali. Pada hari ada rezki untuk dimakan, baginda syukur. Apabila tidak ada, baginda sabar. Sejarah menceritakan juga bagaimana baginda sendiri menjahit bajunya yang koyak dan menampal kasutnya yang bocor. Walaupun dia insan yang paling agung dan mulia, tetapi sentiasa sedia turun ke bawah membuat kerja-kerja yang dianggap remeh dan kecil oleh lelaki-lelaki lain yang kononnya lebih hebat dan unggul. Mereka terlupa bahawa pemimpin yang hebat ialah mereka yang rela membuat kerja-kerja kecil tetapi dengan jiwa yang besar. Dan Rasulullah telah membuktikan hakikat itu! Bayangkan baginda yang sering menangis, bimbang dan takut akan nasib umatnya di akhirat tetapi masih punya masa untuk bergurau senda dengan isteri-isterinya. Bukan sekali baginda berlumba lari dengan iserinya hinggakan Aisyah berkata, “adakalanya baginda menang, adakalanya aku menang.” Sikap baginda yang romantik itu merupakan sesuatu yang masih sangat baru di kalangan umat Arab, kerana baru beberapa tahun sebelumnya wanita dianggap warga kelas dua sehingga bayi perempuan pun biasa ditanam hidup-hidup. Sikap ‘gentleman’ dan romantik baginda bukan sahaja pada Aisyah yang jelita tetapi juga pada Saudah, seorang janda yang telah dinikahi oleh baginda ketika telah berusia. Oleh kerana Saudah telah tua dan kurang berdaya dan badannya yang besar, baginda sering melipatkan lututnya untuk dipijak oleh Saudah apabila isterinya hendak menaiki unta. Sebagai perbandingan, ramai daripada para suami kini yang membuka pintu kereta untuk isterinya? Sekiranya terbayang juga kebimbangan pada raut wajahnya ketika masuk ke rumah isterinya, baginda akan menjawab jika isterinya bertanya kenapa? Ketika peristiwa perjanjian Hudaibiyah dimetrai dan para saabat begitu sedih sehinggakan tidak sedar akan perintah Rasulullah supaya bercukur dan menyembelih binatang, Ummu Salamah mendengar kebimbangan baginda itu lalu mencadangkan agar Rasulullah saw dahulu yang bercukur dan menyembelih korban… Mata baginda bersinar atas cadangan dan pandangan isterinya lantas keluar semula lalu bercukur dan menyembelih kambing tanpa berkata sepatah pun kepada sahabat-sahabatnya. Baginda ‘bercakap’ dengan sikap seperti yang dicadangkan oleh Ummu Salamah. Dan melihat perbuatan baginda itu, para sahabat tersentak, tersedar lalu turut bercukur dan menyembelih binatang. Bayangkan betapa besarnya jiwa baginda tetapi masih sudi mendengar cadangan daripada para isterinya. Jika benar dan betul, baginda akan menerimanya tanpa rasa malu dan ego. Tetapi jika batil dan salah, baginda tidak akan mengalah atau berundur walaupun selangkah. Pernah baginda dihadiahkan seekor kambing untuk dimakan bersama keluarga. Baginda meminta Aisyah agar memberikan daging-daging kambing kepada orang yang lebih memerlukan. Aisyah dengan segera menunaikan perintah baginda… cuma ditinggalkan sedikit yakni bahagian kaki untuk Rasulullah saw. Ya, Rasulullullah gemar memakan kambing terutama bahagian kakinya dan itulah yang dititip oleh Aisyah untuk suaminya tersayang. Apabila tiba waktu makan, Rasulullah bertanya apakah daging-daging kambing itu telah diberikan kepada fakir miskin? Lantas Aisyah menjawab sudah kecuali bahagian kaki yang dimasak untuk baginda. Baginda tersenyum gembira, namun masih sempat mengingatkan isterinya dengan kenyataan yang penuh tarbiah dan hikmah, bahawa semua bahagian kambing itu menjadi hak mereka di akhirat kecuali bahagian kaki itu! Di rumah baginda sentiasa tersenyum, ceria dan menolong kerja-kerja rumah. Hanya apabila azan bergema baginda akan berhenti dan serta merta menuju masjid seolah-olah tidak mengenal isterinya lagi. Jangan terkejut jika diberitakan adakalanya baginda akan mandi bersama dengan isterinya dan menceduk air dari bekas yang sama. Bukan berlakon-lakon, jauh sekali mengada-mengada, tetapi itulah realiti peribadi Rasulullah, insan paling kasih, paling sayang, yang segala perbuatannya lahir dari hati nurani yang paling murni. Sifat romantiknya lahir dari hati. Banyak kali baginda mengingatkan, agar suami berlaku baik kepada wanita dan digalakkan bergurau senda dan bermain-main dengan isteri. Baginda bersabda:” bermain-main itu boleh dalam tiga hal. Ketika melatih kudamu, memanah dan bercanda dengan isterimu.” Biasa baginda mencium isterinya, ketika hendak berpergian jauh ataupun dekat, lama atau sekejap. Ciuman yang bukan hanya apabila nafsu bergolak, tetapi ciuman cinta yang lahir dari hati yang penuh kasih, kasihan dan sayang. Baginda adalah suami yang ‘sporting’. Suatu ketika pada suatu Hari Raya, Sayidina Abu Bakar masuk ke rumah Aisyah di mana pada ketika itu ada dua orang perempuan sedang menari dan memukul gendang, sedangkan nabi menutup dirinya dengan baju (tidak melihat), maka Abu Bakar yang melihat keadaaan itu membentak kedua wanita tersebut, lalu Rasulullah menampakkan wajahnya seraya berkata, “hai Abu Bakar, biarkanlah mereka, sekarang adalah Hari Raya.” Baginda minum daripada gelas yang sama dengan isterinya. Bahkan baginda mencecahkan bibirnya pada tempat di mana betul-betul bibir isterinya minum. Bahkan pada saat-saat akhir pemergiannya pun baginda meminta Siti Aisyah melembutkan kayu sugi dengan menggigitnya dan kemudian baginda minta disugikan dengan kayu sugi tersebut. Hinggakan kerana itu Aisyah menyatakan air liurnya dan air liur baginda bertemu sehingga saat akhir menuju kewafatannya. Apabila baginda berada di bulan Ramadan, sentiasa baginda akan bangun pada waktu dinihari untuk solat dan munajat. Demi kasih sayang terhadap isteri, baginda akan mengejutkan mereka untuk sama-sama memburu kecintaan Allah. Tidak digerakkan isterinya dengan gerakan yang kasar ataupun lengkingan suara yang tinggi, tetapi cuma disentuh dengan penuh kasih sayang dan dibelai dengan kata-kata bujukan. Jika kita ingin menjadi suami… contohilah seorang suami yang bergelar Rasulullah – utusan Allah yang membuktikan kepada kita bahawa perkahwinan itu bukan hanya soal hidup bersama tetapi ‘cinta bersama’ buat selama-lamanya. Masyhurlah kemudiannya kata-kata “marriage is loving-together, not just living together” namun Nabi Muhammadlah suami yang membuktikan hakikat itu dalam kehidupan berumahtangganya lebih 1400 tahun yang lalu.Teladanilah seorang suami bernama Muhammad s.a.w

Thursday, April 19, 2012

Secebis kisah orang berilmu

Sungguh saya terkesima dengan kesederhanaannya. Pengajarannya sungguh bersahaja tetapi berwibawa. Dalam kuliah selepas Subuh itu, dia merujuk kepada kitab kuning – Muniyatul Musolli, karangkan Syeikh Daud Al Fatani. Dia bukan ustaz yang popular, pun bukan ilmuwan selebriti yang sering muncul di kaca TV. Dia hanya imam biasa, bergamis dan berserban seadanya. Namun dia punya suara yang merdu dan bacaan qiraat yang sangat mantap. Rela mengajar, walaupun dengan bilangan murid yang paling minima!
Saya masih ingat analoginya, “lampu isyarat sudah hijau, tetapi kereta di hadapan kita masih tidak bergerak-gerak. Kita hendak marah dengan kelembapannya. Tetapi sebaik sahaja kita melihat pada kereta itu tertera tanda L, kita jadi sejuk dan memaafkan. Oh, dia masih belajar memandu…”
Dia menyambung, “maka begitulah kita harapkan semasa belajar ini. Kita harapkan Allah ampunkan kita jika kita berterusan belajar. Ibadah kita banyak lagi kecacatan dan kekurangannya, tetapi apabila kita berterusan belajar, semoga Allah memaafkan kita. Contohnya, solat yang kita dirikan selama ini, siapa yang berani menjamin semuanya sudah sempurna? Semuanya sudah tepat seperti solat nabi? Tidak ada siapa yang berani. Lalu apa jalan keluarnya? Ya, dengan berterusan belajar. Insya-Allah, Tuhan akan ampunkan kita sekiranya kita masih belajar solat.”
Benarlah, seorang dikira sampai ke tahap ilmu yang sempurna apabila dia terus belajar. Rasa tidak berilmu ialah sifat utama orang berilmu. Semakin kita belajar, terasa semakin banyak perkara yang tidak kita ketahui. Inilah sifat sejati orang berilmu. Lihatlah imam-imam besar bertahap mujtahid yang berterusan belajar tepat seperti yang sering diungkapkan, tuntutlah ilmu daripada buaian hingga ke liang lahad.
Walau sebanyak mana pun ilmu yang telah digali oleh manusia, hakikatnya masih sekelumit dibandingkan dengan ilmu Allah yang melangit. Justeru, sebanyak mana pun dan setinggi mana pun ilmu yang dimiliki seseorang, dia sewajarnya terus merendahkan diri kepada Allah. Di antara tanda orang yang merendah diri dengan Allah itu, dia juga akan merendah diri sesama manusia. Justeru, jika terdapat ahli ilmu yang sombong, dia hakikatnya bukan ilmuwan tetapi hanya seorang hina dari kelas bawahan!
Bergaullah dengan ahli ilmu yang sebenar, kita akan terasa tenang dengan kerendahan hatinya. Tutur kata dan tingkah lakunya sangat menyenangkan. Semakin tinggi penghormatan yang diberikan oleh manusia kepadanya, semakin tinggi pula penghormatannya kepada manusia lain. Ketangkasannya dalam berfikir disepadukan dengan kelembutan hatinya dalam berzikir.
Kini semakin ramai orang yang mempunyai kelulusan agama yang tinggi dan kepetahan berkata-kata yang sangat memukau. Namun, kita masih kekurangan orang yang mempunyai ketinggian budi dan kehalusan pekerti. Oleh kerana itu para ilmuwan kini kebanyakannya hanya mampu mengumpulkan peminat, bukan pengikut. Kata-katanya hanya menjadi hiburan penyedap pendengaran, kurang diterjemahkan ke dalam bentuk tindakan yang membawa penyelesaian.
Betapa Tok guru dahulu, hidupnya sederhana tetapi terlalu kaya dengan karisma dan wibawa. Orang sanggup mati kerananya. Kata-katanya diikuti dari hati, bukan sekadar ambil hati. Apa rahsianya? People dont care how much you know, untill they know how much you care – manusia tidak peduli sejauh mana pengetahuan anda, sehingga mereka tahu sejauh mana anda ambil peduli!
Ya, ulama-ulama dahulu bukan hanya mewarisi ilmu para nabi tetapi yang paling utama mereka mewarisi ‘hati’ para nabi. Sifat-sifat mahmudahnya begitu ketara. Jika mereka berbicara, pasti disebut kelebihan-kelebihan guru-guru mereka sebelumnya. Jatuh pena di tangan, tidak akan diletakannya di atas kitab atau Al Quran. Jangan ada sesuatu yang diletakkan lebih tinggi daripada Al Quran dan Al Hadis… Bukan sahaja di dalam hati, bahkan daripada segi kedudukan fizikalnya.
Sering kali mereka menjawab ‘wallahuaklam’ pada soalan-soalan yang diajukan. Mereka tidak berlagak seperti manusia serba tahu. Mereka boleh bertukar posisi, bertindak sebagai murid yang banyak mendengar apabila dirasakan orang yang dihadapinya lebih mengetahui. Bukan mudah menjadi ‘pendengar’ ketika selalu berperanan sebagai ‘penutur’ tetapi kerana sifat tawaduk mereka, para ulama silam sanggup kelihatan bodoh daripada terus berlagak pandai dan memandai-mandai.
Sesungguhnya, ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Biarpun mungkin tidak punya peminat, tetapi pengikut yang setia tetap ada. Jiwa sufi yang tersemat di dalam diri menyebabkan mereka kaya di dalam kesederhanaannya. Mereka itulah murabbi sejati, sekalipun bukan seorang selebriti.
Guru yang mengajar kitab kuning, yang saya ceritakan pada awal tulisan ini hanya menaiki motosikal… tetapi sungguh, saya jarang memandang wajahnya melainkan di situ ada senyuman

Wednesday, January 4, 2012

Salam Tahun Baru 2012...

HIDUP SELAGI HIDUP…
Sebagai penulis saya ingin mesej tulisan saya segera sampai kepada pembaca. Oleh itu antara blog, majalah dan buku saya sering dahulukan penulisan di blog. Begitulah yang saya amalkan sejak dahulu. Tetapi kebelakangan ini saya terpaksa memikirkan semula kaedah itu.

Ini kerana tulisan saya di dalam blog kekadang dipetik oleh satu media cetak sedangkan tulisan itu saya akan berikan kepada media cetak yang lain. Bukan mendahului kehendak komersial tetapi saya perlu berpegang kepada etika, perjanjian dan adab dengan penerbit.

Pada dasarnya saya tidak suka terikat dengan mana-mana penerbit. Bagi saya penulis mesti bebas untuk memilih wadah penulisannya sendiri. Di dalam melaksanakan misi dakwah kita tidak boleh mengikat diri dengan mana-mana pihak kerana bagi saya prinsip perkongsian mengatasi persaingan. Jalan-jalan menuju Allah sebanyak urat atau rengut nafas di leher. Masuklah ke negeri Mesir dari pelbagai pintu! Begitu kita dipesankan oleh ungkapan yang masyhur itu selalu.

Kita wajar meraikan kepelbagaian. ‘Kek’ dakwah ini perlu diluaskan. Mudah-mudahan di mana pun jua kita, dakwah melalui penulisan ini dapat diteruskan… umpama air yang sentiasa mengalir, umpama asap yang terus meresap. Lalu apakan daya, saya cuba membongkar kembali tulisan lama-lama. Saya cuba ketengahkan jua kerana merasakan mesejnya sentiasa baru. Salah satunya tulisan ini…

HIDUP SELAGI HIDUP!

Kata bijak pandai, kehidupan umpama satu pelayaran. Cubaan dan ujiannya umpama gelombang yang sangat menggerunkan. Oleh sebab itu bahtera kehidupan mesti kukuh. Kemudinya mesti ampuh. Jika tidak, layar patah dan bahtera akan terolang-aleng lalu tenggelam dihempas gelombang. Jika boleh diumpamakan bahtera itu diri kita, maka kemudinya ialah iman. Kita tidak akan gusar betapapun hebatnya gelombang, jika kemudi di tangan mampu mengawalnya.

Maka begitulah dalam menghadapi ujian hidup… kita tidak akan bimbang sekiranya iman di hati tetap mantap. Diri tidak akan hilang kawalan. Kita akan terus menghadapi segalanya dengan penuh keyakinan. Berpegang kepada prinsip:
“Jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.”

Dengan iman, kita punya keberanian – hidup selagi hidup! Kita tidak, kita akan menjadi umpama bangkai bernyawa, yang hidup segan, mati tak mahu. Tanpa iman, kita menjadi pengecut – menjadi orang yang berani mati kerana takut hidup… membunuh diri! Dikebumikan pada tahun ini tetapi hakikatnya telah mati lima tahun yang lalu!

Justeru, iman adalah sumbu kehidupan, harta yang tidak dapat dinilai. Sumayyah sanggup berkorban nyawa demi iman. Bilal sanggup disiksa kerana iman. Sayidina Abu Bakar telah mengorbankan seluruh hartanya demi iman. Bagaimana dengan kita? Sanggupkah kita mengorbankan segala-galanya untuk mendapat iman? Mari kita muhasabah…

Bagaimana ketika kita dibangunkan dari tidur yang lena untuk bangun mengerjakan solat Subuh? Lesu atau bersemangat? Sanggupkah kita mengorbankan masa untuk mendengar kuliah agama buat menjana iman? Bandingkan dengan masa yang kita berikan untuk hiburan yang melalaikan? Tanyakan kepada diri ke manakah harta, tenaga dan masa telah kita berikan… ke jalan iman atau sebaliknya?

Kalaulah ditanya manakah yang lebih berharga? Iman atau harta? Tentu kita menjawab iman. Tetapi mungkin itu hanya kata-kata. Benarkah itu juga yang kita rasa? Iman sebenarnya lebih berharga daripada mutiara. Malah jika dikumpulkan seluruh isi langit dan bumi ini, maka kita dapati iman tetap lebih berharga. Harta akan musnah jika tidak dibelanjakan ke jalan Allah, namun iman kekal sampai membawa kita ke syurga.

Tetapi bak kata pepatah, “hanya jauhari mengenal manikam” – maksudnya hanya orang yang berilmu sahaja yang menyedari tentang agungnya nikmatnya iman. Sijahil tidak akan menghargai nikmat iman, sama seperti sibuta yang yang tidak dapat melihat cahaya atau kera yang disuguhkan bunga!

Iman sangat berharga sama ada di dunia mahupun di akhirat. Sesiapa saja yang memiliki iman di dada, dia akan mendapat ketenangan, keharmonian dan kebahagiaan dalam hidup. Sesiapa pula yang memiliki iman di akhirat, dia akan mendapat hati yang sejahtera. Dia akan dapat keredhaan dan keampunan-Nya. Juga dia akan mendapat syurga Allah swt.

Dengan adanya nikmat iman, barulah nikmat-nikmat yang lain berguna. Jika ada iman di dada, nikmat harta akan menjadikan seseeorang itu hamba Allah yang pemurah. Dia akan merasakan harta itu adalah amanah dari Allah. Lantas, harta itu tidak akan dibelanjakan ke jalan kejahatan dan kemungkaran. Sebaliknya, akan digunakan ke arah kebaikan.

Seorang yang beriman, akan menggunakan nikmat ilmunya ke arah kemajuan dan kebaikan. Dia akan mengajar orang lain dan mencipta rekaan-rekaan yang memudahkan kehidupan masyarakatnya. Dengan iman, seseorang tidak akan menjadi penipu, penzalim dan pemusnah dengan ilmunya. Ya, bila ada iman kita seolah-olah memiliki segala-galanya. Sebaliknya jika hilang iman, kita hilang segala-galanya.

Jadi apa sebenarnya iman ini sehingga ia dianggap begitu berharga? Iman sebenarnya bukanlah sekadar ucapan. Iman adalah kepercayaan dalam hati, yang diucapkan dgn lidah. Jika hanya ucapan, tetapi tidak dengan keyakinan, itu munafik (berpura-pura). Jika hanya ada ucapan dan keyakinan tetapi tidak ada tindakan (amalan), itu fasik (berdosa).

Memanglah menjadi sunnatullah dan peraturan dalam hidup ini, semua benda yang berharga memang payah untuk dicari. Contohnya pasir, mudah untuk kita mendapatkannya. Di mana-mana pun ada pasir. Tetapi jika hendak mencari mutiara, kita perlu menyelam hingga ke dasar lautan. Mencari dan menggali, membersihkan barulah ditempa sehingga menjadi mutiara yg bersinar dan cantik.

Berbagai-bagai jawapanlah yang kita dengar. Ada yang mengatakan, dia boleh mewarisi iman daripada bapanya yang warak. Ada yang berbangga dengan datuknya yang warak. Ada yang mengatakan dia boleh mendapatkan iman melalui pembacaan atau melalui ilmu pengetahun. Apakah begitu mudah? Mari kita susuri realitinya…

Oleh kerana iman itu berharga ibarat mutiara, memanglah sukar untuk mendapatkannya. Jadi kita kena berusaha mencari dan terus mencari. Kita memang tidak nafikan, doa si ayah atau si datuk yang bertaqwa memang ada kesannya. Namun itu bukan cara yang utama untuk mendapatkan iman.

Lihatlah sejarah Nabi Nuh a.s. Baginda seorang Nabi yang mengajak semua keluarganya untuk beriman kepada Allah swt. Namun si isteri dan seorang anaknya engkar. Malah mereka mengganggap Nabi Nuh gila kerana membina sebuah bahtera besar di atas bukit yang tinggi. Walau nyawa sudah di hujung tanduk ketika tenggelam dalam banjir, mereka tetap tidak mahu beriman kepada Allah atau mengikut ayah mereka Nabi Nuh.

Jika kita mengatakan boleh mendapat iman melalui ilmu atau pembacaan, itu juga kita tidak nafikan. Namun mengapa ramai orang yang memiliki ilmu setaraf professor pun masih melakukan kemungkaran? Oleh itu, penting bagi kita mencari iman sebagaimana cara generasi awal Islam mencarinya. Mereka ‘mencari’ iman dengan berfikir, berzikir, bermujahadah dan melaksanakan syariat (peraturan) Allah.

Firman Allah swt:
“ yakni orang yang mengingati Allah (berzikr) ketika berdiri, duduk, berbaring dan sentiasa berfikir tentang tentang kejadian langit dan bumi lantas berkata, “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau jadikan semua ini dengan sia-sia Maha Suci Engkau ya Allah, selamatkanlah kami dari api neraka.”

Al-Imran: 191

Para sahabat mendapat iman dengan melihat alam, binatang, tumbuhan, hujan dan sebagainya. Mereka melaksanakan apa yang didorong oleh Allah menerusi firman-Nya:

“Maka apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana unta diciptakan, dan langit, bagaimana ia ditinggikan.”

Al-Ghaasyiyah: 17-18

Apabila mereka melihat semua itu mereka berfikir… dan akhirnya tiba pada satu kesimpulan bahawa tidak mungkin semua itu terjadi dengan sendirinya. Pasti ada yang menjadikannya. Jika matahari hebat, tentu Pencipta matahari lebih hebat. Jika alam ini indah, tentulah Penciptanya lebih indah.

Tidak terhenti setakat itu sahaja, bahkan mereka terus berzikir (mengingati) Allah. Mereka merasai Allah itu Maha Besar, Maha Suci, Maha Penyayang, Maha Berkuasa dan Maha Sempurna. Mereka merasakan bahawa zat yang mencipta matahari, bulan, bintang dan semesta alam ini mestilah dipatuhi perintah-Nya dan dijauhi larangan-Nya. Lalu merekapun melaksanakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang ditegah oleh Allah. Mereka bersolat, berpuasa, meninggalkan zina, arak dan lain-lain.

Walaupun kekadang, yang ditegah Allah itu sesuatu yang disukai, manakala yang disuruh pula dibenci, namun mereka melawan kehendak diri sendiri demi mentaati perintah Allah. Berlaku ‘peperangan’ di dalam diri mereka sendiri – antara apa yang mereka ingin, dengan apa yang diingini Allah. Peperangan inilah yang dikatakan mujahadah atau berjuang sepenuh jiwa untuk mematuhi perintah allah. Hasil mujahadah ini, iman mereka bertambah dan akhirnya mereka merasakan kemanisannya. Firman Allah:
“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang berbuat kebaikan”

Al-Ankabut: 69